HULU TERENGGANU, 14 September – Dalam kepayahan menempuh banjir saban tahun dan hidup sebagai insan kelainan upaya, seorang bapa di Kampung Lebak tidak mampu menahan sebak apabila anaknya terpilih menyertai Program Walimatul Urus Perdana 2025 anjuran Kerajaan Negeri Terengganu bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Bapa pengantin, Sufian Ismail, mengakui perjalanan hidupnya penuh getir sebelum pulang ke kampung halaman mencari rezeki secara sederhana.
"Saya pernah berkhidmat di Media Prima Berhad di Kuala Lumpur sebagai pembantu komunikasi, namun akhirnya saya pulang ke Kuala Berang untuk mencari rezeki dengan menjual aiskrim.
"Kali ini anak saya yang diberi peluang menyertai Program Walimatul Urus Perdana. Saya terlalu terharu, dan hanya mampu ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta YPKT kerana memilih anak saya," ujarnya.

Dalam luahan hatinya, beliau turut menceritakan cabaran yang sering membelenggu keluarganya di Kampung Lebak yang sudah diwartakan sebagai kawasan banjir.
"Setiap tahun kami diuji dengan bencana ini, sehinggakan Kampung Lebak digazetkan sebagai kawasan banjir, dan saya sendiri pernah menyaksikan segala harta benda tenggelam dalam sekelip mata.
"Saya adalah pemegang kad OKU yang berdaftar dengan JKM, dengan menerima hanya RM450 sebulan, itulah yang saya gunakan untuk menyara keluarga disamping rezeki tambahan sebagai penjual aiskrim," jelasnya.
Menantunya, Mohd Hanafi Mohd Izzuddin yang berasal dari Kuala Lumpur turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri.
"Saya hanyalah seorang anak muda biasa dari Kuala Lumpur, namun diberi penghormatan menyertai program ini bersama pasangan. Saya benar-benar terhutang budi kepada pihak penganjur.
"Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bukan sahaja menganjurkan program ini dengan begitu baik, malah memilih saya dan isteri untuk diraikan bersama pasangan lain," tambahnya.
Program Walimatul Urus Perdana 2025 menyaksikan Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.2 juta bagi membantu 192 pasangan B40 melangsungkan perkahwinan secara serentak di seluruh negeri, termasuk 20 pasangan dari daerah Hulu Terengganu.”
Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.
