KUALA NERUS, 15 September - Meskipun keadaan cuaca yang kurang mengizinkan, kehadiran pengunjung ke Karnival Pantai 2025 di Teluk Ketapang berjaya menarik lebih 130,000 pengunjung selama empat hari ia berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, keunikan yang ada pada Karnival Pantai menjadi faktor utama pengunjung untuk hadir meskipun terdapat halangan cuaca.

“Saya dimaklumkan bahawa sepanjang empat hari penganjuran, walaupun dilanda hujan lebat, jumlah pengunjung yang hadir ke Karnival Pantai 2025 ini melebihi 130,000 orang. Dua malam hujan, mereka tetap datang, tetap bersama-sama memeriahkan suasana.
“Pelbagai permainan tradisional yang disediakan mendapat sambutan hangat. Lastik, tarik upih, dan macam-macam lagi, semuanya dicuba oleh pengunjung. Respon yang saya terima daripada sahabat-sahabat dari luar negeri sangat positif.
“Inilah keunikan kita. Negeri lain mungkin ada acara mereka tersendiri, tetapi acara seperti ini hanya ada di negeri kita. Ia menonjolkan identiti, warisan, dan kekuatan budaya masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Pantai 2025, semalam.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha untuk 'menjual' lebih banyak acara berkonsepkan warisan budaya yang unik di Terengganu dalam anjuran akan datang.
"Saya dah turun ke semua daerah. Macam-macam budaya ada. Kalau Kuala Berang dialek percakapan tu dua tiga jenis dah. Marang pun sama. Marang tu kawasan Kedai Buluh dialek percakapan dia lain.
"Ini semua kita nak kena beritahu kepada generasi penerus supaya dia faham bahawasanya daerah-daerah di Terengganu ni macam-macam apa ada. Makanan beratus makanan. Pakaian songket, batik, lukisan, kebudayaan.
"Silap gayung tu memang popular dah, yang lain banyak lagi, tarian-tarian lama yang kita boleh olah mengikut apa kehendak kerajaan sekarang ini. Kita boleh tunjuk ke seluruh negara," jelasnya.

Tambahnya lagi, kehadiran pengunjung yang ramai ke karnival tersebut turut menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi rakyat negeri yang mencuri peluang untuk berniaga sepanjang ia berlangsung.
"Dengan kehadiran 130,000 itu, apa yang kita dapat? Sekurang-kurangnya peniaga-peniaga secara langsung dapat limpahan ekonomi. Oleh kerana malam ini malam terakhir, kita pergi tadi (di ruangan penjaja) barang-barang makanan habis dah.
"Tidak cukup. Keropok tidak cukup. Satar tidak cukup. 'Otak-otak' tidak cukup. Semua makanan tradisional belaka.
"Yang inilah saya rasa sangat teruja dan insya-Allah untuk tahun depan kita fokus lagi supaya Karnival Pantai 2026 lebih hebat lagi dengan peralatan, dengan acara, dengan makanan, dengan persembahan semua tradisional," ujarnya.