lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Lautan Rakyat Dijangka Hadir Maulid Akhbar Terengganu Berselawat
Lautan Rakyat Dijangka Hadir Maulid Akhbar Terengganu Berselawat
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Lautan umat Islam dijangka membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok menghadiri Majlis Maulid Akhbar Terengganu Berselawat : Solidariti Untukmu Al-Aqsa. Program penuh keberkatan itu bakal diserikan dengan kehadiran tokoh ulama tersohor dari Tarim, Yaman,  Al-Habib Umar, yang dijadul menyampaikan tausiah khas pada malam esok. Majlis yang bermula pada jam 7.00 malam hingga 11.30 malam itu akan turut menampilkan Daie Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus bersama wira Sumud Flotila, Ustaz Mad Kecik dan Chief Awie.  Program yang diadakan itu bertemakan hitam putih dan mafla Palestin itu bukan sekadar sambutan maulid semata-mata tetapi ia juga menjadi tanda solidariti umat Islam Terengganu terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim zionis. Dalam pada itu, orang ramai diseru untuk hadir awal ke stadium dan membawa sejadah bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta bersama-sama menunaikan solat hajat sebelum acara utama bermula.  
13 Oct 25
2135
Pelajar Perempuan Jangan Bersendirian, Langkah Awal Elak Tragedi - Maliaman
Pelajar Perempuan Jangan Bersendirian, Langkah Awal Elak Tragedi - Maliaman
HULU TERENGGANU, 12 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menasihati pelajar khususnya pelajar perempuan agar tidak bergerak bersendirian walaupun dalam kawasan sekolah, sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kes jenayah seksual di institusi pendidikan. Beliau berkata, tragedi melibatkan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini wajar menjadi peringatan serius kepada semua pihak, termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat, agar tidak leka dalam aspek keselamatan pelajar. "Kita mesti menaruh kebimbangan. Jangan rasa selesa sangat. Walaupun di Terengganu belum berlaku, tapi kejadian di negeri lain seperti Melaka, Sabah dan Johor itu sudah cukup mengingatkan kita. "Pelajar perempuan khususnya tidak boleh bersendirian, walaupun dalam sekolah. Kalau nak ke tandas, biar berteman, supaya perkara di luar jangka tidak berlaku," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Yayasan Salim, RAKR Tok Randok, Ajil.  Menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah sebagai sebahagian daripada langkah memperketat kawalan keselamatan, Maliaman turut menegaskan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam mencegah tragedi tidak diingini. Beliau turut menekankan bahawa kesedaran tentang keselamatan bermula daripada rumah, dengan ibu bapa memainkan peranan utama menanam sikap berhati-hati dan bertanggungjawab dalam diri anak-anak. "Saya setuju dengan cadangan pemasangan CCTV, sebab ia boleh membantu kawalan. Tapi yang paling penting ialah kawalan dan kesedaran kita sendiri, khususnya ibu bapa dan pelajar. "Pelajar-pelajar mesti merasa patut diawasi. Pelajar-pelajar perempuan khususnya," jelasnya.  Tambahnya, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) turut digesa memperkukuh usaha kesedaran dan pemantauan bagi memastikan sekolah sentiasa menjadi tempat selamat dan kondusif untuk pelajar. "Jadi kita pakat-pakat jagalah. JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), JPINT sendiri dan juga Yayasan (Yayasan Terengganu) maknanya kita mengambil peringatan.  "Peringatkan kepada pihak pengetua dan juga rakan-rakan pentadbiran supaya tidak mengambil isu ini dengan sambil lewa," ujarnya.  
13 Oct 25
1203
Wanita Inspirasi Pemacu Perubahan Sosial
Wanita Inspirasi Pemacu Perubahan Sosial
Wanita perlu menjadi ejen perubahan sosial dengan meniup semangat kebaikan dan membawa masyarakat lebih dekat kepada Allah SWT melalui ilmu, akhlak serta keteladanan.
13 Oct 25
26
Tolak Normalisasi Arak Dalam Majlis Kerajaan
Tolak Normalisasi Arak Dalam Majlis Kerajaan
Kerajaan negeri tegas menolak normalisasi arak dalam majlis rasmi kerajaan kerana ia membawa mudarat besar kepada masyarakat berbanding keuntungan ekonomi atau pelancongan semata-mata.
13 Oct 25
23
Rosol Cadang PM Berehat Bagi Hadapi Kes Sivil
Rosol Cadang PM Berehat Bagi Hadapi Kes Sivil
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas rasmi sehingga kes sivil membabitkan beliau dan Yusuf Rotter diselesaikan. Cadangan tersebut dilontarkan ketika beliau membahaskan isu tatakelola dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. “Saya tertarik dengan istilah ‘tatakelola’, namun ia tidak memberi makna jika akhirnya menjadi ‘tata kelaut’. Untuk memastikan keadilan ditegakkan dan mengelakkan wujudnya persepsi dua darjat dalam penghakiman, saya mencadangkan agar YAB Tambun berehat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga kes ini selesai,” katanya. Rosol menegaskan, cadangan tersebut bukan bersifat serangan politik, sebaliknya bertujuan menjaga kewibawaan institusi Perdana Menteri dan memberi ruang kepada proses perundangan berjalan tanpa gangguan. Tambah beliau, langkah itu mencerminkan integriti kepimpinan dan menjadi teladan kepada rakyat dalam menegakkan prinsip ketelusan serta akauntabiliti.  
13 Oct 25
107
Wany Hasrita Kongsi Perjuangan Wanita Berkerjaya
Wany Hasrita Kongsi Perjuangan Wanita Berkerjaya
KUALA NERUS, 13 Oktober - "Sentiasa ingat, kita ada maruah ibu bapa untuk dijaga," itu antara prinsip utama yang dipegang penyanyi dan selebriti terkenal, Wany Hasrita dalam mengharungi cabaran sebagai seorang wanita berkerjaya dalam industri hiburan tanah air. Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman peribadinya dalam program Bicara Selebriti yang diadakan sempena sambutan Hari Sayyidatina Aisyah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, semalam. Menurut Wany, atau nama sebenarnya Nur Shahzwani Hasrita Hasbullah, di sebalik penampilan luaran, kekuatan sebenar seorang wanita berakar umbi daripada pegangan agamanya yang teguh. "Bagi saya, apa-apa pun yang terjadi, kita kena cakap 'Allah ada'. Apa-apa pun, tak apa Allah ada. Dari situ sebenarnya sumber kekuatan kita. Bila kita dekat dengan agama kita, apabila kita pegang agama kita betul-betul, saya rasa semua yang kita lalui di dunia ini, kita akan lalui," katanya dalam sesi bicara tersebut. Beliau turut menambah bahawa inspirasi daripada tokoh Saidatina Aisyah amat mendalam dalam hidupnya, sehinggakan beliau menamakan anak perempuannya, Aisyah, bersempena dengan isteri Rasulullah S.A.W itu. Berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang selebriti, Wany mengakui bahawa mengekalkan amalan ibadah, terutamanya solat, dalam jadual kerja padat adalah satu perjuangan yang memerlukan keazaman tinggi. Beliau menceritakan pengalaman paling mencabar ketika menjalani penggambaran di Busan, Korea dalam cuaca yang sangat sejuk, di mana beliau terpaksa berlari mencari tempat untuk berwuduk dan solat. "Nak ambil wuduk, cuci tangan tiga kali pun dah tak rasa apa dah. Tangan, kaki, dah memang bergetar-getar. Solat pun sejuk juga, tapi itulah antara yang paling ‘struggle’," kongsinya. Wany menegaskan bahawa untuk menjaga ibadah, ia bergantung kepada kemahuan diri sendiri untuk berusaha mencari jalan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ketika ditanya mengenai cara beliau mengekalkan kesederhanaan dan prinsip hidup, Wany menekankan dua perkara utama iaitu memilih lingkungan sosial yang baik dan mendengar nasihat ibu. "Pentingnya circle (lingkungan) yang bagus, yang mengejar akhirat. Secara tidak langsung ia akan mengingatkan saya sendiri. Apabila kawan-kawan yang baik, kita akan sendiri berjaga-jaga," jelasnya. Beliau turut berpesan kepada para hadirin, terutamanya golongan muda, agar sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga serta mendengar nasihat ibu bapa. "Dengarlah cakap ibu. Apa pun yang jadi, percayalah, selalunya apa yang dia cakap tu betul. Mereka lebih tahu," ujar beliau dengan nada sebak sambil menahan air mata. Program Bicara Selebriti berkenaan berjaya menarik minat ramai hadirin dan dilihat sebagai satu platform yang efektif dalam menyebarkan mesej positif dan inspirasi kepada kaum wanita, selari dengan tema acara iaitu 'Wanita Inspirasi'.  
13 Oct 25
58
'Jangan Pernah Lupakan Mereka' - Gema Semangat Perjuangan Palestin
'Jangan Pernah Lupakan Mereka' - Gema Semangat Perjuangan Palestin
KUALA NERUS, 13 Oktober - Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah di sini bergema dengan laungan takbir penuh semangat, menyahut seruan aktivis kemanusiaan terkenal, Heliza Helmi, sebagai tanda solidariti yang tidak berbelah bahagi untuk perjuangan rakyat Palestin.  Momen penuh emosi itu menjadi kemuncak ‘Slot Khas Wirawati Global Sumud Flotilla’ yang menampilkan beliau dan adindanya, Hazwani Helmi. Segmen khas itu merupakan sebahagian daripada pengisian utama program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 yang bertemakan "Wanita Inspirasi".  Dalam perkongsian mereka, pasangan wirawati itu membawa para hadirin menyelami realiti dan cabaran misi kemanusiaan di peringkat global, terutamanya dalam usaha membantu dan menyuarakan nasib rakyat Palestin yang ditindas. Melalui penceritaan yang berkesan, Heliza dan Hazwani menyuntik kesedaran dan menggesa orang ramai agar tidak pernah melupakan saudara seagama di sana dan terus menghulurkan sokongan dalam apa jua bentuk. Kedua-duanya telah berkongsi pengalaman mendebarkan mereka menyertai Misi Global Sumud Flotilla dalam usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza, Palestin. Heliza menjelaskan bahawa nama misi "Sumud" diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud teguh, kuat, cekal dan tabah, yang menggambarkan sifat sebenar rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. "Misi ini bukan semata-mata misi bantuan untuk bagi makanan, tapi ini adalah misi untuk buat bising," tegas Heliza, menjelaskan bahawa tujuan utama flotilla tersebut adalah untuk memastikan isu Palestin tidak dilupakan oleh dunia selepas lebih dua tahun peperangan. Walaupun berdepan pelbagai kesukaran termasuk keadaan kapal yang tidak sempurna dan ditawan oleh tentera Israel, kedua-dua beradik itu menekankan bahawa kekuatan mereka datang daripada doa dan keyakinan kepada Allah. "Kadang-kadang kita doa tapi kita punya keyakinan tu tak sepenuh hati... tapi ketika kita tidak ada apa-apa, kita nak sangat, Allah je yang kita tempat bergantung," ujarnya. Bagi mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti mereka yang tidak ternilai dalam arena kemanusiaan, majlis turut menganugerahkan Anugerah Khas Khidmat Bakti kepada Heliza dan Hazwani Helmi.  Penganugerahan tersebut sebagai satu simbol penghargaan atas keberanian dan dedikasi mereka dalam memperjuangkan isu-isu global.
13 Oct 25
20
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
Dua Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Jadi Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang dirampas kerana menceroboh dan mencuri hasil laut negara akan dilupuskan dengan kaedah penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Rhu, Besut pada 21 Oktober depan. Langkah ini merupakan tindakan tegas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dalam membanteras pencerobohan nelayan asing di samping inisiatif memulihara ekosistem marin negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata proses penenggelaman bot-bot ini adalah bukti komitmen APMM dan kerajaan negeri dalam mengawal kedaulatan laut serta melindungi khazanah hasil laut negara. “Dua buah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara kita akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Pulau Rhu Besut pada 21 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada APMM Terengganu yang terus komited mengawal laut Terengganu dari anasir asing yang merosakkan dan mencuri khazanah hasil laut. Menurut beliau, sebelum dilupuskan, semua enjin dan peralatan bernilai akan ditanggalkan daripada bot tersebut. Katanya, hanya badan bot sahaja yang akan ditenggelamkan untuk memastikan ia selamat dan sesuai dijadikan habitat baharu hidupan laut. Pelupusan bot yang dijadikan tukun tiruan dilihat memberikan kesan jangka panjang sebagai struktur sokongan kepada pemuliharaan biodiversiti marin, menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut, sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan. APMM Terengganu sebelum ini telah kerap kali menggunakan kaedah penenggelaman bot nelayan asing yang dilucut hak mahkamah sebagai tukun tiruan di perairan negeri, menandakan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan perikanan haram.
13 Oct 25
88
THT Pertahan Kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025
THT Pertahan Kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Juara treble liga hoki kebangsaan musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekali lagi membuktikan keampuhan mereka apabila menewaskan skuad hoki Pahang dengan keputusan 4-2, sekali gus merangkul kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025. Kejohanan edisi ke-63 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil semalam menyaksikan kegemilangan THT mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada musim lalu. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan membanggakan itu. “Tahniah diucapkan kepada pasukan hoki Terengganu (THT) atas kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025. Semoga terus cemerlang dan mengharumkan nama Terengganu di pentas hoki negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, semalam. Hishamuddin Pertemuan sengit antara dua skuad dari Pantai Timur itu menyaksikan THT mendominasi separuh masa pertama dengan jaringan 3-0. Gol pertama hadir melalui ledakan Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee sebelum minit ke-20, diikuti dua gol berturut-turut oleh bekas pemain skuad kebangsaan, Faizal Saari, yang mengukuhkan kedudukan pasukan. THT kemudian menambah jaringan keempat menerusi Darwisy Hamdan pada minit ke-36, sekaligus mengekalkan cengkaman ke atas pasukan lawan. Pasukan Pahang bagaimanapun berjaya merapatkan jurang apabila mereka merobek benteng pertahanan THT dan menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir, namun tetap tidak mampu menafikan kemenangan milik skuad Terengganu apabila wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 4-2 memihak kepada THT. Sumber: Malaysian Hockey Confederation (MHC) Jurulatih THT, Harfizi Baharom, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap persiapan pasukan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan. “Masa depan nampak baik kerana kami ada lapan pemain muda yang bermain buat kali pertama dalam Piala Razak, dan mereka adalah sebahagian daripada skuad SUKMA tahun depan,” katanya seperti dilaporkan oleh New Straits Times (NST). Harfizi turut memuji keserasian antara pemain senior dan pemain muda yang menjadi antara faktor utama kemenangan pasukan. “Pemain-pemain muda ini bergabung dengan baik bersama pemain senior seperti Faizal, ketua pasukan Firhan Ashari dan lain-lain. Mereka bermain bersungguh-sungguh untuk membantu Terengganu mempertahankan kejuaraan,” ujarnya lagi. Sumber: Malaysian Hockey Confederation (MHC)  
12 Oct 25
364
Kerajaan Terengganu Tanggung Sehingga RM100,000 Kos Rumah Untuk Nelayan B40
Kerajaan Terengganu Tanggung Sehingga RM100,000 Kos Rumah Untuk Nelayan B40
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu menanggung hampir RM100,000 kos pembinaan sebuah rumah bagi Skim Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) untuk diberikan kepada golongan nelayan berlesen B40 pada harga subsidi serendah RM54,000. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kos sebenar pembinaan setiap unit rumah adalah hampir RM150,000. "Harga kos sebuah rumah adalah hampir RM150,000, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan kepada nelayan yang layak pada harga RM54,000 sahaja. Baki kos pembinaan itu sepenuhnya akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.  Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Khas PSN di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Projek PSN melibatkan kos keseluruhan sekitar RM33 juta, dengan Kerajaan Negeri membiayai kira-kira RM20 juta dan dibantu dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM13 juta. "Kos keseluruhan ini tidak termasuk nilai tanah yang telah diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri," tambah beliau. Menurut Dr Azman, terdapat tiga lokasi PSN yang sedang dibangunkan, iaitu di Pulau Skepeng Kemaman, Benting Lintang Besut, dan Seberang Penarik Setiu. "Dua projek iaitu PSN Kemaman dan PSN Besut telah siap sepenuhnya. Dalam mesyuarat hari ini, kita telah menerima senarai cadangan peserta daripada kalangan nelayan berlesen B40. Insya-Allah, majlis penyerahan kunci rumah-rumah ini dijadualkan pada awal Disember 2025," jelasnya.            
12 Oct 25
3244