KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Juara treble liga hoki kebangsaan musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekali lagi membuktikan keampuhan mereka apabila menewaskan skuad hoki Pahang dengan keputusan 4-2, sekali gus merangkul kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025.
Kejohanan edisi ke-63 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil semalam menyaksikan kegemilangan THT mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada musim lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan membanggakan itu.
“Tahniah diucapkan kepada pasukan hoki Terengganu (THT) atas kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak 2025. Semoga terus cemerlang dan mengharumkan nama Terengganu di pentas hoki negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, semalam.
Pertemuan sengit antara dua skuad dari Pantai Timur itu menyaksikan THT mendominasi separuh masa pertama dengan jaringan 3-0.
Gol pertama hadir melalui ledakan Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee sebelum minit ke-20, diikuti dua gol berturut-turut oleh bekas pemain skuad kebangsaan, Faizal Saari, yang mengukuhkan kedudukan pasukan.
THT kemudian menambah jaringan keempat menerusi Darwisy Hamdan pada minit ke-36, sekaligus mengekalkan cengkaman ke atas pasukan lawan.
Pasukan Pahang bagaimanapun berjaya merapatkan jurang apabila mereka merobek benteng pertahanan THT dan menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir, namun tetap tidak mampu menafikan kemenangan milik skuad Terengganu apabila wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 4-2 memihak kepada THT.
Jurulatih THT, Harfizi Baharom, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap persiapan pasukan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.
“Masa depan nampak baik kerana kami ada lapan pemain muda yang bermain buat kali pertama dalam Piala Razak, dan mereka adalah sebahagian daripada skuad SUKMA tahun depan,” katanya seperti dilaporkan oleh New Straits Times (NST).
Harfizi turut memuji keserasian antara pemain senior dan pemain muda yang menjadi antara faktor utama kemenangan pasukan.
“Pemain-pemain muda ini bergabung dengan baik bersama pemain senior seperti Faizal, ketua pasukan Firhan Ashari dan lain-lain. Mereka bermain bersungguh-sungguh untuk membantu Terengganu mempertahankan kejuaraan,” ujarnya lagi.