lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
Global Sumud Flotilla yang disekat melalui jalan laut tidak akan mematahkan semangat sukarelawan untuk meneruskan misi melalui jalan darat.
12 Oct 25
18
Fun Run & Ride For Waqf 2025 Semarak Kesedaran Mental, Semangat Kebajikan
Fun Run & Ride For Waqf 2025 Semarak Kesedaran Mental, Semangat Kebajikan
Program Mental Health Fun Run & Ride for Waqf 2025 yang berlangsung di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini bukan sekadar aktiviti kecergasan, tetapi juga menjadi platform memperkukuh kesedaran terhadap kesihatan mental serta menyemai semangat kebajikan berasaskan wakaf.
12 Oct 25
15
Terengganu Terus Cemerlang Lahirkan Atlet Bertaraf Dunia - Timbalan Menteri
Terengganu Terus Cemerlang Lahirkan Atlet Bertaraf Dunia - Timbalan Menteri
KUALA NERUS, 12 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiktiraf kehebatan atlet negeri Terengganu yang sentiasa mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa menerusi bakat dan pencapaian berprestasi tinggi. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, berkata Terengganu sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan bakat serta semangat juang luar biasa, melahirkan ramai ikon sukan negara sejak dahulu lagi. “Nama-nama besar seperti Nazmizan Mohamad, pelari pecut kebanggaan negara yang pernah beraksi di pentas Olimpik Athens 2004 berasal dari Dungun. Dari daerah yang sama juga lahir wira dunia digelar ‘The Pocket Rocketman’, Dato’ Azizulhasni Awang, yang menjadi simbol kejayaan sukan berbasikal dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia. “Kedua-dua tokoh ini membuktikan bahawa Terengganu tidak pernah kering dalam melahirkan juara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim. Adam Adli turut menzahirkan ucapan tahniah kepada generasi baharu anak Terengganu yang meneruskan legasi kecemerlangan tersebut, antaranya Qabil Irfan Azlan yang mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol ESBK Talent 2025. Selain itu, beliau berkata, Muhammad Hakim Danish Ramli bakal mencipta detik bersejarah apabila membuat penampilan sulung di Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2025 dalam kelas Moto3, yang dijadual berlangsung hujung Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang. Dalam pada itu, Adam Adli turut memuji pencapaian atlet wanita Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, yang beberapa kali dinobatkan sebagai ‘Ratu Pecut’ di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). “Kejayaan mereka semua membuktikan bahawa dengan disiplin, latihan berterusan dan semangat kental, anak muda Malaysia mampu mengangkat nama negara di persada dunia,” ujarnya.  
12 Oct 25
85
Kerja Penebangan Pokok Berisiko Di Laluan Pengkalan Atap–Mengabang Lekor Dipergiat
Kerja Penebangan Pokok Berisiko Di Laluan Pengkalan Atap–Mengabang Lekor Dipergiat
KUALA NERUS, 12 Oktober – Pihak berkuasa tempatan melaksanakan kerja-kerja penebangan pokok besar di sepanjang laluan Pengkalan Atap–Mengabang Lekor, susulan kekerapan insiden kemalangan maut yang pernah berlaku di kawasan tersebut sebelum ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, tindakan itu merupakan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan penduduk setempat dan pengguna jalan raya, di samping mengurangkan risiko kemalangan akibat pokok tumbang pada masa akan datang. “Setakat ini, semua pokok yang dikenal pasti berisiko telah berjaya ditebang, kecuali satu pokok terakhir yang belum dapat ditebang atas faktor teknikal tertentu,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi, baru-baru ini. Bagi menyelesaikan isu pokok yang masih belum ditebang itu, Ahli Majlis MBKT, Che Sulaiman Ismail, bersama Pengarah Kejuruteraan MBKT, Zahiruddin, serta pasukan teknikal telah turun padang untuk meneliti keadaan sebenar dan mengemukakan permohonan rasmi bagi melaksanakan kerja penebangan baki pokok berkenaan. Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) turut memberi jaminan bahawa tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat bagi menjamin kesejahteraan serta keselamatan komuniti setempat, selaras dengan keutamaan pihak berkuasa terhadap keselamatan awam.
12 Oct 25
39
Peruntukan RM2.3 Juta Perkukuh Ekosistem Sukan
Peruntukan RM2.3 Juta Perkukuh Ekosistem Sukan
KUALA NERUS, 12 oktober - Dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan di Negeri Terengganu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan RM2.3 Juta yang melibatkan lima projek pembangunan meliputi naik taraf dan projek terbaharu. Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, beberapa projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur sukan di Terengganu di tahap terbaik. "Dalam ucapan Perdana Menteri semasa Pembentangan Belanjawan 2026 semalam, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah turun ke setiap negeri bagi memahami keutamaan pembangunan sukan di peringkat negeri. "Hasil libat urus tersebut turut diambil kira dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk cadangan naik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan di Stadium Hoki Kuala Terengganu,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim. Mengulas lebih lanjut, Adam Adli berkata keseluruhan inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kemudahan sukan di negeri ini, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti. "Peningkatan aktiviti ekonomi setempat dan penyertaan rakyat dalam gaya hidup aktif selaras dengan aspirasi Malaysia Madani," ujarnya.
12 Oct 25
54
Suri Rumah Pencorak Masa Depan Bangsa
Suri Rumah Pencorak Masa Depan Bangsa
KUALA NERUS, 11 Oktober – Peranan suri rumah bukan lagi terhad menguruskan rumah tangga, sebaliknya mereka adalah tunjang utama yang mencorak masa depan bangsa.  Profesor Madya Dr. Roslina Ismail dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menegaskan bahawa, perubahan struktur keluarga moden, seperti keluarga kecil dan ibu tunggal, telah memberi tekanan tambahan kepada suri rumah.  Beliau menekankan perlunya suri rumah untuk terus memperkasa diri dengan ilmu dan sokongan agar dapat menghadapi cabaran seperti tekanan mental, pengasingan sosial, dan isu pengiktirafan. "Suri rumah hari ini perlu celik digital dan mempunyai asas pengurusan. Mereka bukan sekadar mengikut peredaran zaman, tetapi menjadi ejen perubahan," tegas Dr. Roslina yang turut berkongsi data demografi menunjukkan peningkatan bilangan wanita melebihi lelaki di beberapa daerah, menyoroti peranan wanita sebagai pencari nafkah keluarga. Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel pada Forum Cabaran Suri Masa Kini : Siapa Ambil Berat? sempena Simposium Suri Sejahtera 2025, anjuran Urusetia Wanita Terengganu (USWA), yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, semalam. Forum yang disemarakkan dengan kehadiran suri rumah dari pelbagai latar belakang dari seluruh Terengganu, termasuklah wakil dari Kelantan, telah membongkar pelbagai cabaran dan potensi luar biasa yang dimiliki oleh golongan ini.  Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Nor Asilah Mohamed Zin. Sementara itu, Nor Asilah turut berkongsi inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa suri rumah.  Beliau menyatakan bahawa kerajaan memperakui suri rumah sebagai nadi masyarakat dan tulang belakang negara. "Kerajaan Negeri Kelantan melalui USWA telah melancarkan program 'Cakna Suri' yang memberikan sumbangan kewangan sebagai penghargaan kepada suri rumah.  “Selain itu, kami juga mempunyai Mawaddah Center yang menyediakan khidmat kaunseling percuma dan inisiatif pengisytiharan Hari Suri Misali setiap tahun bagi meraikan sumbangan suri rumah," jelasnya. Beliau turut menyentuh tentang inisiatif caruman Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi suri rumah, yang mana kerajaan membantu mencarum bagi memastikan mereka mendapat perlindungan. Forum ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyuarakan cabaran, tetapi turut memahat inspirasi dan semangat baharu buat setiap suri yang hadir. 
12 Oct 25
42
Fun Run & Ride For Waqf 2025 Semarak Kesedaran Mental, Semangat Kebajikan
Fun Run & Ride For Waqf 2025 Semarak Kesedaran Mental, Semangat Kebajikan
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Program Mental Health Fun Run & Ride for Waqf 2025 yang berlangsung di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini bukan sekadar aktiviti kecergasan, tetapi juga menjadi platform memperkukuh kesedaran terhadap kesihatan mental serta menyemai semangat kebajikan berasaskan wakaf. Program edisi keempat itu dianjurkan oleh Pejabat Setiusaha Kerajaan Terengganu (SUK) melalui AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia 2025, bertemakan 'Make My Day: RunRide For Waqf'. Lebih 1,800 peserta menyertai acara larian dan kayuhan santai yang turut disertai penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi, serta masyarakat umum, menampilkan suasana harmoni penuh keceriaan di tengah bandar raya Kuala Terengganu. Antara aktiviti yang diadakan termasuk Fun Run & Ride, pameran kesihatan mental, kaunter wakaf dan sumbangan amal, selain cabutan bertuah serta aktiviti kekeluargaan. Penyertaan kali ini turut mendapat sokongan agensi kerajaan, NGO dan rakan strategik. Menariknya, RM1,000 ditawarkan kepada agensi atau kumpulan yang menghantar peserta paling ramai, manakala dua kategori cabutan bertuah disediakan bagi kategori larian dan berbasikal dengan hadiah berupa peralatan kemas (cincin), gold bar, peralatan elektronik serta hadiah utama motosikal Honda Beat. Menurut Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang, penganjuran kali ini membawa pendekatan unik apabila yuran penyertaan peserta disalurkan sepenuhnya kepada Dana Wakaf Kebajikan Negeri Terengganu. "Dalam kita menjalani aktiviti kecerdasan sukan, jadi penerapan elemen agama itu kita masukkan. Yuran penyertaan yang kita kumpul daripada peserta ini, seratus peratus Kita infakkan kepada dana wakaf.  "Jadi maksudnya kita dapat kesihatan, fizikal dan mental serta pahala," katanya dalam satu temubual rancangan Selamat Pagi Terengganu di saluran TV Darul Iman (TVDI) ketika mengupas mengenai acara yang telah dijalankan pagi tadi. Beliau yang juga merupakan Setiausaha Dewan Undangan Negeri menjelaskan, kerjasama bersama MAIDAM menjadi simbol penyatuan antara kesejahteraan fizikal, mental dan rohani, selaras dengan agenda negeri memperkukuh keseimbangan hidup rakyat Terengganu. Tambahnya, melihat pada sambutan masyarakat dalam acara lepas yang amat menggalakkan menjadi petunjuk bahawa kesedaran dan penerimaan dalam kalangan masyarakat terhadap kesihatan mental amat positif. Menurutnya lagi, program itu kekal dilangsungkan di perkarangan Wisma Darul Iman pada kali ini sebagai lokasi tradisi penganjuran sejak kali pertama ia dilaksanakan. "Jadi untuk penunggang basikal, jarak untuk ditempuhi adalah sejauh 42km, untuk 'Fun Run' itu adalah 5km dan kedua-duanya akan melalui Drawbridge. Drawbridge itu (juga) adalah laluan tradisi program ini," jelasnya. Sementara itu, Pegawai Psikologi Pejabat SUK Terengganu, Mohd Yusnoruddin Mohd Yuznah, menegaskan bahawa isu kesihatan mental masih dianggap 'pembunuh senyap' dalam masyarakat. "Kalau sakit fizikal orang nampak, tapi kalau sakit mental susah nak dikesan. Malah ramai segan untuk berkongsi kerana stigma. Melalui program ini, kita nak buka ruang dan fahaman bahawa menjaga kesihatan mental adalah satu bentuk ibadah juga," ujarnya. Menurut beliau, tema tahun ini 'Make My Day' membawa mesej positif bahawa setiap individu mampu menceriakan hari orang lain dan membantu menyebarkan aura kebahagiaan dalam komuniti.
11 Oct 25
57
Israel Sebenarnya Sudah Kalah, Gencatan Senjata Helah Tutup Malu - Abdul Hadi
Israel Sebenarnya Sudah Kalah, Gencatan Senjata Helah Tutup Malu - Abdul Hadi
MARANG - Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Israel sebenarnya telah mengalami kekalahan dalam pertempuran menentang Palestin di Gaza dan desakan untuk gencatan senjata hanyalah helah bagi menutup rasa malu. Beliau berkata, di sebalik keangkuhan Israel yang mendakwa memiliki tentera yang tidak boleh dikalahkan, realitinya mereka gagal menewaskan kebangkitan pejuang Hamas yang berjuang dengan pertolongan ALLAH SWT. Menurutnya, secara politik, Hamas telah mencapai kemenangan manakala Israel berada di pihak yang tewas, sehingga terpaksa meminta bantuan kuasa besar untuk mengadakan rundingan. "Dia (Israel) nak mengundur, malu. Dia tak undur, dia perang. Tembak, tembak, tembak... akhirnya panggil Amerika tolong dia (untuk berunding). "Dia kalah sebenarnya. Jadi politiknya, Israel kalah. Hamas menang," katanya ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila di sini, hari ini. Pandangan Abdul Hadi itu hadir ketika pusingan terbaru rundingan gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kemajuan signifikan. Pada Khamis, Hamas mengesahkan persetujuan terhadap fasa pertama pelan damai yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump, yang merangkumi pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza, dan kemasukan bantuan kemanusiaan. Kabinet Israel turut dilaporkan telah meluluskan rangka kerja bagi perjanjian tersebut, walaupun beberapa butiran lanjut mengenai pengunduran sepenuhnya dan status Gaza pada masa hadapan masih belum diperincikan. Mengulas lanjut mengenai strategi pertempuran, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kekuatan tentera Zionis dengan kelengkapan canggih ternyata tidak mampu menandingi strategi pejuang Palestin. Jelasnya, serangan bom yang meruntuhkan bangunan di Gaza tidak melemahkan Hamas, sebaliknya menjadikan runtuhan itu sebagai kubu pertahanan yang lebih kukuh. "Hamas duduk dalam tanah (terowong). Bila bangunan runtuh, mereka (lagi) kukuh dalam tanah itu. Nak masuk dengan kereta kebal tak boleh... Hamas keluar ikut celah batu, tembak seorang-seorang (tentera Israel)," ujarnya. Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan ini masih belum berakhir dan menyeru umat Islam untuk terus mendoakan kemenangan buat saudara di Palestin.
10 Oct 25
104
Ahmad Amzad Seru Keseimbangan Wilayah Dalam Belanjawan MADANI 2026
Ahmad Amzad Seru Keseimbangan Wilayah Dalam Belanjawan MADANI 2026
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim menzahirkan penghargaan terhadap pembentangan Belanjawan MADANI 2026 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, dengan menyifatkannya sebagai usaha menyeluruh bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menstabilkan kedudukan fiskal negara. Dalam kenyataan medianya, beliau menegaskan bahawa secara prinsipnya, pihak pembangkang menyokong segala langkah yang membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, memperkukuh ekonomi tempatan dan meningkatkan ketelusan pengurusan kewangan negara. Namun begitu, beliau turut menarik perhatian terhadap keperluan memastikan pembangunan wilayah lebih seimbang, khususnya bagi negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang, yang menurutnya masih memerlukan perhatian lebih dalam agihan pembangunan nasional. Antara perkara yang ditekankan ialah keperluan menstruktur semula tadbir urus Lembaga Pelabuhan Kemaman agar menjadi entiti berdikari dan berfokus, selaras dengan potensinya sebagai pelabuhan laut dalam strategik berasaskan industri tenaga, minyak dan gas.  Ahmad Amzad turut menyarankan agar projek-projek utama di Pantai Timur seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Ibai, sektor perikanan, pertanian dan tenaga hijau dilaksanakan secara tuntas, bukan sekadar diumumkan. Dalam aspek kesihatan, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah baik kapasiti rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu serta hospital daerah lain, selepas menerima aduan kes kekangan peralatan dan pakar yang menjejaskan rawatan bayi serta pesakit kritikal. Selain itu, beliau turut menekankan keadilan fiskal antara negeri, dengan mencadangkan agar ECERDC diperkasa dan autonomi pelaksanaan projek strategik diberikan kepada negeri pengeluar sumber seperti Terengganu bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara setara. Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa pembangkang mengambil pendekatan kritis tetapi membina, dengan tujuan memperkukuh dasar dan memastikan pembangunan negara tidak tertumpu hanya kepada wilayah tengah, sebaliknya lebih menyeluruh dan inklusif. “Sudah tiba masanya Pelabuhan Kemaman, Kuala Terengganu, Dungun, Kerteh dan seluruh Terengganu diangkat sebagai teras pertumbuhan ekonomi maritim, tenaga dan inovasi Pantai Timur. Belanjawan yang baik mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata, termasuk dalam aspek kesihatan dan keselamatan nyawa rakyat,” katanya. Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agar Terengganu dan Pantai Timur tidak lagi menjadi wilayah pinggiran, tetapi pemacu utama masa depan Malaysia.
10 Oct 25
55
Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
Misi Kemanusiaan Palestin Diteruskan Melalui Percubaan Darat
KUALA NERUS, 9 Oktober - Global Sumud Flotilla yang disekat melalui jalan laut tidak akan mematahkan semangat sukarelawan untuk meneruskan misi melalui jalan darat. Wira Sumud Flotilla dari Terengganu, Ustaz Muhammad Abdullah berkata, Sumud Nusantara telah mengadakan perbincangan dan menyatakan usaha untuk menyampaikan bantuan kemanusian kepada Palestin melalui bumi Rafah.  "Alhamdulillah , hari ini kita dapat keputusan bahawa telah ada perjanjian damai yang menampakkan peluang cerah untuk  masuk ke bumi Gaza melalui darat. "Berdoalah bersama, agar kita dipermudahkan urusan untuk masuk ke darat dan semua 23 peserta yang telah mengikuti misi melalui laut akan turut terlibat untuk masuk melalui darat. "Itulah tujuan kita (melalui misi Sumud Nusantara) sebelum ini untuk memastikan dunia akan terus bercakap mengenai isu Palestin dan sekarang ini seluruh dunia mula bercakap sehinggakan tidak pernah dalam sejarah dari 199 buah negara, 157 atau 2/3 negara mengundi untuk Palestin Merdeka," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika tiba di Terengganu dan telah disambut oleh ribuan rakyat Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini. Seorang lagi peserta Sumud Nusantara, Mohd Asmawi Mukhtar pula berpandangan, pelbagai misi perlu terus dilaksanakan sehingga Palestin itu dibebaskan sepenuhnya dan sehingga kekejaman Israel dapat dihentikan. "Apa yang kita perlu lakukan adalah secara kerjasama, bukan saya sahaja, bukan Ustaz Muhammad sahaja tetapi tetapi semua orang perlu memperjuangkannya," katanya. Tambah Asmawi, apa yang dilalui sepanjang terlibat dengan misi adalah beliau dapat melihat betapa zalim dan jahatnya Zionis Israel.  "Sepanjang perjalanan (terlibat dengan misi) benar-benar menguji dari sudut mental, dan menjadi penguat adalah Ustaz Muhammad yang selalu membacakan doa agar diberikan keselamatan dan bantuan dapat disampaikan, namun dihalang," ujar beliau.  
09 Oct 25
116