Artikel "Semasa" Terkini
COVID 19- Pertubuhan Forum Udara Bersih Sasar Agih 4,000 PPE
KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (PFUBM) menyasarkan menghasilkan kira-kira 4,000 peralatan perlindungan diri (PPE) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dalam tepoh terdekat.
Pengarah Projek Frontliner PPE Support Team Dr Noor Zaitun Yahaya, berkata sehingga kini 2,000 PPE berjaya dihasilkan bagi projek fasa pertama dan telah diagihkan kepada pihak yang memerlukan, termasuk barisan hadapan di Kelantan dan Pahang.
Katanya, PFUBM bersedia menghasilkan lebih banyak PPE sekiranya mendapat permintaan, terutama daripada negeri yang masih mencatatkan kes baharu penularan Covid-19.
“Dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) dan Majlis Dakwah Negara Negeri Terengganu (MDNT), apa yang dirancang itu mampu dilaksanakan.
“Projek penghasilan PPE dibiayai oleh dana sumbangan, NGO, badan korporat, serta orang ramai,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan 148 Set Isolasi kepada barisan hadapan, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UMT, Prof Nor Aieni Mokhtar dan Pegawai Eksekutif TESDEC, Dato’ Md Kamaru Al-Amin,
Katanya, individu atau institusi yang berhasrat menyokong projek ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Malaysia Berhad (5630-6414-4012 atas nama The Clean Air Forum Society of Malaysia).
"Semua sumbangan dikecualikan daripada cukai (tertakluk kepada kelulusan pihak LHDN). Para penyumbang boleh kemukakan bukti pembayaran untuk Resit Pelepasan Cukai yang akan diberi setelah transaksi berjaya dan boleh die-melkan kepada: cleanairmalaysia@gmail.com atau hubungi Dr Mohd Shahrir di talian 017 – 9681102," katanya.
02 May 20
202
KPDNHEP Terengganu Isytihar 16 Barangan Kawalan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan (KPDNHEP) Terengganu menyenaraikan 16 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2020 bermula 20 Januari hingga 2 Februari ini.
02 May 20
44
Segmen : Hari Ini Dalam Sejarah (Minggu Ke 2 Dalam Januari 2019)
Segmen baru di TV Darul Iman, hari ini dalam sejarah. Minggu Ke 2 Dalam Januari 2019. Jom saksikan rewind Januari 2019. Jangan lupa share tau.
01 May 20
52
COVID 19 : Rakyat Terengganu Dinasihatkan Berjaga-jaga, Ikut Langkah Pencegahan
Oleh: Aslam Wira
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Rakyat Terengganu dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dengan penularan wabak coronavirus (Covid-19) yang kini berada di peringkat kedua.
Setelah wabak ini diisytiharkan sebagai 'pandemik' oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan negeri telah mengeluarkan satu pekeliling untuk menangguhkan sebarang program yang melibatkan orang ramai.
Arahan ini juga adalah tertakluk kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu ekoran daripada penularan wabak yang semakin meningkat di Malaysia.
Kerajaan negeri telah menggesa semua program-program yang melibatkan perhimpunan melebihi 100 orang peserta hendaklah ditangguhkan buat sementara waktu.
Berdasarkan statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga jam empat petang semalam seramai 158 orang telah dilaporkan positif COVID-19.
Walaubagaimanapun, Terengganu masih lagi terkawal dan tiada kes disahkan positif dilaporkan setakat ini.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak COVID-19 dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang disyorkan daripada laman sesawang KKM, http://www.moh.gov.my @ https://www.infosihat.gov.my
13 Mar 20
835
Empat Nelayan Hilang Ditemui Selamat
KUALA TERENGGANU, 14 Februari- Empat nelayan yang dilaporkan hilang di laut sejak keluar 7 Februari lalu, ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, nelayan-nelayan itu ditemui lebih kurang 10 batu nautika ia dilaporkan hilang pada 5.15 petang.
"Kami menerima laporan kehilangan pada 10.00 malam dua hari lalu dan memulakan pencarian awal pagi semalam menggunakan Kapal Maritim (KM) Jujur dan KM Gemia.
Komander Maritim Ariffin Ghazali.
"Hari ini merupakan hari kedua pencarian pihak APMM dan nelayan terbabit ditemui oleh KM Gemia setelah tujuh hari hilang di laut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di jeti Ibu Pejabat APMM Terengganu, di sini, malam ini.
Menurutnya, nelayan berkenaan iaitu Azwan Yusof, 36; Walik Hafizul Walek@Raffa, 35; Hanafi Nasrizal Hamtha, 26, dan Mohd Faizan Musa, 29 yang menaiki bot kelas A dengan nombor pendaftaran TRF 1178 itu ditunda Kapal Maritim (KM) Gemia ke jeti APMM, sebentar tadi.
"Keempat-empat nelayan terbabit kini berada dalam keadaan stabil setelah kita memberikan makanan serta rawatan awal.
Bot nelayan yang hilang sejak tujuh hari lalu.
"Pemeriksaan awal, kita dapati bot mengalami kerosakan pada bateri menyebabkan ia tidak dapat dihidupkan dan mereka hanyut," katanya.
Terdahulu, bot dinaiki nelayan dari Kampung Losong dilaporkan hilang selepas keluar ke laut Jumaat lalu.
Adik Azuan yang merupakan tekong bot, Mohd Amri Yusof, 33, melaporkan kejadian itu kepada APMM Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut, dua hari lalu setelah abangnya tidak dapat dihubungi.
KM Gemia sedang menunda bot ke jeti.
14 Feb 20
542
Coronavirus : Terengganu, Jabatan Kesihatan Pantau Tapak ECRL Dan Pelabuhan
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Kerajaan Terengganu dan Jabatan Kesihatan terus memantau beberapa kawasan terutamanya tempat penginapan pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pelabuhan bagi membendung penularan wabak coronavirus (2019-nCoV) di negeri itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, meskipun tiada kes melibatkan virus itu di Terengganu, langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil bagi menghilangkan kebimbangan rakyat.
“Semua kawasan akan dipantau, termasuklah kemasukan kapal-kapal dari pelabuhan Kerteh dan Kemaman, alhamdulillah setakat ini pemeriksaan mendapati tiada apa-apa yang berlaku.
“Dalam tempoh ini ada sekitar 1,400 orang dari negara luar termasuk yang bekerja telah masuk melalui pelabuhan berkenaan, dan apabila dijalankan imbasan, mereka ini tidak dijangkiti virus,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memaklumkan, kehadiran pelancong dari negara China telah dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui beberapa pintu masuk utama.
“Pelancong-pelancong yang datang ke Terengganu melalui lapangan-lapangan terbang antarabangsa sama ada di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang akan diperiksa oleh KKM.
“Sebelum masuk ke Terengganu, mereka diperiksa di sana dahulu, ada pun yang masuk melalui sempadan negara, contohnya Thailand-Kelantan, kerajaan turut menjalankan pemeriksaan.
“Buat masa ini, di pihak kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan, kita sentiasa lakukan pantauan, langkah waspada kita tingkatkan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar mengambil maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak berautoriti sebelum membuat apa-apa tindakan.
Untuk rekod, jumlah kematian akibat virus meningkat 26 hingga132 orang di China, manakala jumlah kes yang disahkan meningkat kepada 5,974 kes.
Jumlah kes di China kini melebihi 5,327 kes Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang membunuh kira-kira 800 orang di seluruh dunia pada 2002-2003.
28 Jan 20
125
Jangan Panik, Tiada Jangkitan Coronavirus Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Orang ramai khususnya rakyat Terengganu dinasihatkan agar tidak panik dan mempercayai sebarang berita palsu berkaitan jangkitan Novel Coronavirus di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menegaskan perkara itu selepas tersebar berita seorang kanak-kanak yang disyaki dijangkiti Coronavirus dilarikan dari Hospital Kemaman.
Sebaliknya apa yang berlaku katanya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak faham dengan apa yang dimaklumkan oleh doktor kerana masalah komunikasi bahasa lalu membawa pulang semula anaknya ke tapak ECRL dan bukannya melarikan diri.
"Tambahan pula kanak-kanak berkenaan cuma mengalami simpton Coronavirus dan masih belum disahkan positif penyakit itu sebagaimana tular di laman sosial.
"Sebarang maklumat selanjutnya akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Hospital Terengganu dalam masa terdekat, warga Kemaman khususnya jangan panik dan mempercayai khabar angin," tegasnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, kanak-kanak tersebut bagaimanapun sudah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dikuarantin.
"Pihak Hospital meminta bantuan Polis untuk mengesan kanak-kanak ini. Polis serta-merta mengambil tindakan bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak ini di ECRL.
"Kemudiannya membawa kanak-kanak ini menaiki ambulans dan terus dibawa ke Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu," tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan warga China berusia lima tahun menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Bagaimanapun pemeriksaan mendapati, kanak-kanak itu tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki Patient Under Investigation (PUI) atau pesakit Coronavirus.
Pihak hospital memberi rawatan biasa kepada kanak-kanak itu.
Kanak-kanak itu dimasukkan ke wad di hopsital berkenaan jam 6.15 petang tadi,
Terdahulu dilaporkan, kanak-kanak itu bersama ibu bapanya ke Hospital Kemaman jam 13.34 tengah hari tadi untuk mendapatkan rawatan.
27 Jan 20
82
Kad Sejahtera Bantu Warga Emas Kekal Sihat
Penerima-penerima bantuan Kad Sejahtera bersama Dr Azman.
Oleh : Ariss Alias
Foto : Hidayah Azlin
SETIU, 7 Januari - Penerima Kad Sejahtera menyifatkan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Terengganu itu amat bernilai bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapat kesihatan sempurna.
Warga emas, Awang Jusoh, 69, dari Kampung Chalok berkata, dengan RM70 diperuntukan bagi setiap rawatan nilai berkenaan sudah sangat besar buat dirinya.
“Isteri dan anak-anak juga dapat menumpang sama manfaat ini. Sudah rahmat buat kami, kami sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kad Sejahtera peringkat DUN Langkap semalam.
Bagi penduduk Kampung Rahmat, Mariam Chik, 76, dia terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat mendapatkan kesihatan yang terbaik.
“Insya-Allah mak cik akan gunakan kad ini dengan sebaiknya. Selepas ini mudah untuk mak cik dapatkan rawatan daripada klinik swasta, dapat menjamin kesihatan kami,” ujarnya.
Awang Jusoh.
Dalam majlis berkenaan, seramai 364 pemohon menerima Kad Sejahtera yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim semalam di Dewan Sivik Chalok Kedai.
Sementara itu, Dr Azman menyifatkan bantuan tersebut akan memudah dan menyenangkan penerima untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka terutamanya warga emas di kawasan luar bandar.
“Nilai dalam Kad Sejahtera berjumlah RM500, penerima dan ahli keluarga apabila hendak mendapatkan rawatan di klinik panel, hanya perlu membawa kad ini sahaja dan nilai akan dipotong mengikut kadar kos rawatan.
“Mungkin ada yang mengatakan kenapa tidak membuat tuntutan insuran, tetapi bagi mereka yang tidak berkemampuan duit yang bayar kepada insuran itulah kegunaan untuk pembelanjaan asas. Bantuan ini adalah dalam bentuk sebenar keperluan masyarakat,” tambah beliau lagi.
Mariam Chik (kiri).
Program Kad Sejahtera merupakan satu program ‘Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan Asas’ yang mensasarkan 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun 2019 sebagai permulaan.
06 Jan 20
251
'Terengganu Beach Games Bukan Program Kerajaan Negeri'
Poster iklan kejohanan yang menimbulkan pertikaian warga net, sebelum ini.
KUALA TERENGGANU, 23 September- Terengganu Beach Games bukan program anjuran kerajaan negeri, itu kenyataan yang dikeluarkan pengurus acara Terengganu Beach Games, Mohd Fazli A.Rahman kepada Urus Setia Darul Iman (UPDI).
Beliau yang ditemui di pejabat UPDI, hari ini menafikan penglibatan kerajaan negeri dalam penganjuran program berkenaan serta acara-acara yang dipertandingkan.
"Cuma, kita ada mendapatkan kelulusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi lokasi program sahaja, secara berbayar (sewa tapak)," katanya.
Beliau turut memohon maaf berikutan timbul isu dan persoalan warga net tentang percampuran atlet lelaki dan perempuan pada Kejohanan Dodgeball Pata 2019 yang bakal berlangsung dalam program tersebut.
"Kami maklum dengan isu ini dan Persatuan Dodgeball Terengganu juga mengakui mereka tidak merujuk kepada pihak berkaitan sebelum melaksanakan kejohanan itu.
"Pihak mereka akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkenaan hal ini," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor yang dikaitkan dengan Persatuan Dodgeball Terengganu menafikan perkara tersebut.
"Baru-baru ini, memang saya ada menerima kunjungan Dodgeball Terengganu yang berhasrat mencadangkan saya sebagai penaungnya, namun itu baru diperingkat cadangan tidak rasmi tanpa sebarang surat pelantikan.
"Dalam pertemuan itu, saya turut dimaklumkan tentang kejohanan yang akan diadakan tetapi sama sekali tidak mengetahui percampuran atlet lelaki dan wanita dalam satu pasukan sebagaimana yang diiklankan," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan segera oleh persatuan tersebut dengan merujuk exco Sukan negeri.
"Mereka telah mengatur pertemuan dengan YB Wan Sukairi dan semoga dapat diselesaikan dengan baik kerana ia melibatkan prinsip patuh syariah yang dipegang kerajaan negeri," katanya.
Sebelum ini, poster iklan berkenaan Kejohanan Dodgeball Pata 2019 sempena Terengganu Beach Games yang memaparkan kategori terbuka 3 lawan 3 akan melibatkan dua atlet lelaki dan satu wanita dalam acara tersebut.
Ia kemudiannya mengundang persoalan warga net berkaitan dasar patuh syariah yang dipromosikan kerajaan negeri dalam penganjuran sukan di negeri itu.
Untuk rekod, Terengganu Beach Games yang akan berlangsung 26 September itu nanti merupakan anjuran Jawatankuasa Terengganu Beach Games terdiri daripada Persatuan Taekwando Terengganu, Persatuan Dodgeball Terengganu, Persatuan Lumba Basikal Terengganu dan Kuala Terengganu Residen (KUTERER).
23 Sep 19
1140
Azmani 'Vokalis' Baharu Iklim
Azmani membuat kemunculan pertama dengan menyampaikan lagu Gerhana Cinta Luka.
KUALA TERENGGANU, 15 September- Kumpulan 'rock' ternama Malaysia, Iklim mengejutkan peminat apabila menampilkan 'vokalis' baharu pada penampilan kumpulan berkenaan dalam Karnival Pantai 2019 di Dataran Batu Buruk, semalam.
Pengurusnya, Yusli Mohd Hassan memaklumkan, Iklim bakal kembali mewarnai industri seni tanah air dengan Mohd Azmani Mohd Isa bertindak menggantikan tempat Allahyarham Saleem sebagai penyanyi utama.
Penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu merupakan bekas penyanyi utama Kumpulan Kulit yang aktif di antara penghujung tahun 90-an dan terkenal dengan lagu 'Kita Yang Tak Berdosa'.
Umarul (bertopi) dan Mohalim masih hebat seperti dahulu.
"Azmani membawa imej baru dalam Iklim dan suaranya sendiri sesuai dengan lagu-lagu baharu yang akan dilancarkan kumpulan ini," katanya ketika ditemui selepas program Malam Kesenian Islam, semalam.
Program tersebut turut menampilkan penyanyi terkemuka yang juga merupakan anak Allahyarham Saleem, Syafiq Farhain, kumpulan nasyid terkenal, Hijjaz dan Seedrain.
Peminat bertuah menyaksikan gandingan Syafiq dan kumpulan Iklim.
Lebih menarik, peminat Syafiq di Terengganu bertuah kerana menyaksikan sendiri gandingan penyanyi berkenaan bersama Iklim sebagaimana yang diingin selama ini.
Yusli juga menyatakan, Iklim akan mula mengeluarkan album dengan lagu-lagu baharu bermula tahun hadapan.
"Insya-Allah, kami akan menyertai satu konsert amal pertengahan Oktober ini serta akan melancarkan lagu baru menjelang tahun baru nanti.
Hijjaz merupakan antara artis yang menghiburkan Malam Kesenian Islam.
"Kembalinya kami sebagai satu pasukan adalah hasil cetusan kerajaan negeri dan penaja serta kerinduan peminat," ungkapnya.
Dalam pada itu, gitaris Iklim, Umarul Mahdzar berharap peminat dapat menerima kemunculan semula kumpulan tersebut dengan baik.
"Di usia ini, kami akan berusaha semampu mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Harap peminat boleh terima seadanya penyanyi yang kami ada," katanya.
Seedrain tampil cemerlang bersama nama besar di pentas Karnival Pantai Terengganu 2019.
Ahli kumpulan Iklim terdiri daripada Umarul sebagai gitaris merangkap composer, Kamaruddin Ibrahim (pemain dram), Mohd Salim Saleh atau lebih dikenali sebagai Mohalim (gitar ‘bass’) Mohamad Huzali Ali (papan nada atau ‘keyboard’) dan Yusli sendiri sebagai pengurus dan turut berperanan sebagai penyanyi kedua.
Manakala, Azmani dan Basri Ismail (gitaris kedua) merupakan anggota baharu kumpulan itu.
Yusli, pengurus yang mengumpulkan semula anggota Iklim.
14 Sep 19
6445