Artikel "Semasa" Terkini
UC TATI Perkukuh Ekosistem Inovasi TVET, Selaras PITAS 2030
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Usaha Kolej Universiti TATI (UC TATI) memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal negeri Terengganu melalui lawatan akademik ke Jepun pada awal Oktober yang lalu disifatkan selari dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerana melalui pelan strategik negeri Terengganu itu antara perkara yang ditekankan adalah pembangunan modal insan berteraskan ilmu, teknologi dan nilai Islam.
"Apabila pelajar TVET (pendidikan dan latihan teknikal) berupaya mencipta dan berinovasi, ia bukan sahaja memperkukuh UC TATI, tetapi juga membuka peluang eknomi baharu untuk rakyat Terengganu," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata apa yang bermakna delegasi Terengganu telah didedahkan dengan pengalaman Jepun dalam memupuk budaya 'Science driven innovation'.
Dalam pada itu Satiful berkata, dalam kunjungan ke negara terbabit pihak UC TATI, Leave A Nest Japan dan Hadid Group yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).
"Di mana 'Leave A Nest' akan menyediakan bimbingan dan akses kepada rangkaian inovasi Jepun, Hadid Group akan menyokong pembangunan industri dan komersialisasi produk pelajar.
"Manakala UC TATI, akan berfungsi sebagai hub pelaksanaan program yang mengabungkan TVET dengan keusahawanan teknologi," katanya.
21 Oct 25
26
Tidak Wajar Jemput Donald Trump ke Malaysia - Khalil
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Batu Burok) Muhammad Khalil Abdul Hadi menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 pada 26 Oktober ini.
Menurut beliau, langkah itu tidak wajar memandangkan Trump pernah menjadi antara penyokong utama rejim Zionis Israel.
“Kita sebagai rakyat Malaysia menganggap bahawa Donald Trump ini kedudukannya sama seperti Benjamin Netanyahu. Amerika Syarikat di bawah pimpinan Trump adalah antara penyokong terbesar Israel dari segi kewangan, senjata dan pelbagai bantuan lain,” katanya.
Dr. Khalil menegaskan, Malaysia perlu berhati-hati agar tidak menghantar mesej yang salah terhadap perjuangan membela Palestin.
“Rakyat Malaysia sentiasa bersama Palestin. Jangan sampai kita mengguris perasaan mereka dengan meraikan tokoh yang pernah menyokong kezaliman terhadap umat Islam,” ujarnya.
21 Oct 25
63
Terengganu Lawat The Weststar Group Teroka Kerjasama Strategik
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Kunjungan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke The Weststar Grup bukan hanya sekadar pertemuan rasmi sebaliknya ia menjadi platform bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama strategik antara negeri dan industri.
Menurut Ahmad Samsuri, pertemuan berlangsung dalam suasana penuh positif dalam suasana santai, perbincangan berlangsung dengan penuh nilai hormat dan keterbukaan.
"The Weststar Group yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim telah membuktikan keupayaan syarikat tempatan untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa," ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri sentiasa bersedia dan terbuka dalam menjalin hubungan dengan pelbagai pihak demi kepentingan serta pembangunan negeri Terengganu.
"Demi masa depan Terengganu yang lebih berdaya maju, kami sedia mendengar, berfikir dan membina jalinan," ujar beliau.
21 Oct 25
98
Projek RM78 Juta Bukit Tebuk Untuk 420 Keluarga Dungun
DUNGUN, 19 Oktober – Harapan lebih 420 keluarga di Dungun untuk memiliki kediaman sendiri bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri Terengganu melancarkan Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan Bercampur Bukit Tebuk bernilai RM78 juta, di atas tanah seluas 36.83 ekar yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju swasta bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah berkualiti.
"Pembangunan ini melibatkan kos sebanyak RM78 juta di atas kawasan seluas 36.83 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember 2030.
"Projek ini adalah hasil usahasama kerajaan negeri dan pemaju swasta yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk Dungun," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir, ADUN Sura, Dr.Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid bin Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Wan Adnan Wan Derahman.
Menurut beliau, projek ini merangkumi 444 unit kediaman dan komersial, termasuk 120 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Jenis A, 112 unit RMM Jenis B, 140 unit rumah teres setingkat Jenis C, 38 unit rumah link banglo 1.5 tingkat Jenis D, 18 unit rumah berkembar setingkat Jenis E dan 16 unit kedai satu tingkat.
"Harga jualan bagi RMM Jenis A ditetapkan pada RM90,000 manakala Jenis B bermula RM185,000.
"Penetapan harga bagi unit komersial akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pemaju," jelasnya.
Wan Sukairi berkata, tawaran pembelian rumah akan dibuat mengikut kategori pendapatan isi rumah bagi memastikan golongan sasar benar-benar menikmati manfaatnya.
"RPMM Jenis A ditawarkan kepada mereka berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, manakala RMM Jenis B untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM8,000.
"Bagi rumah dan kedai komersial pula, proses jualan serta tawaran akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak pemaju," tambah beliau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada bekas ADUN Sura, atas peranan beliau mencetuskan idea asal projek berkenaan.
"Idea dan cadangan projek ini sudah ada sejak zaman mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik yang turut bersama-sama kita pagi ini.
"Walaupun mengambil masa agak lama, akhirnya kita berjaya melaksanakan acara pecah tanah yang sangat bermakna ini.”
Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus melaksanakan lebih banyak projek perumahan rakyat di seluruh Terengganu bagi memenuhi impian rakyat memiliki rumah sendiri.
"Akan ada beberapa lagi projek yang akan diumumkan pada masa akan datang mengikut jadual yang telah ditetapkan.
"Ini menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat Terengganu yang masih belum memiliki rumah," jelasnya lagi.
Menutup ucapannya, Wan Sukairi menyeru agar projek berkenaan menjadi simbol kemajuan dan kesejahteraan baharu buat penduduk Dungun.
"Hari ini kita berdiri di atas tanah kosong. Namun, Insyaa Allah, dalam beberapa tahun akan datang, di sinilah akan berdiri deretan rumah-rumah indah, tempat bersemainya kasih sayang dan kehidupan baharu buat ratusan keluarga," ujarnya.
20 Oct 25
1927
Ombak Besar Jangan Belayar - Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kerajaan negeri menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pusat peranginan di kepulauan negeri itu ditutup sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menegaskan bahawa tiada arahan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan negeri berkaitan penutupan pulau pada musim tengkujuh.
Razali (kanan)
"Walaupun musim tengkujuh atau MTL di Terengganu bermula pada November hingga Februari atau Mac, namun ia bukan berterusan sepanjang bulan.
"Dalam sebulan ada tiga atau empat kali bot boleh masuk. Jadi terpulang kepada pengusaha untuk tentukan.
"Tetapi kita sudah beri amaran kalau ombak besar tidak boleh belayar. Aspek keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan sangat penting dan diwajibkan," katanya seperti dilaporkan oleh Bernama beberapa hari yang lalu.
Beliau juga pernah menjelaskan bahawa sepanjang tempoh MTL akan dimanfaatkan oleh pengusaha untuk melakukan penyelanggaraan fasiliti tempat peranginan termasuk pembaikan bot yang merupakan salah satu aset penting bagi perniagaan mereka.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyarankan pemain industri untuk memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran dalam kalangan pengunjung khususnya berkaitan aspek keselamatan.
Menurut Razali, apa yang boleh dilakukan oleh pemain industri ialah melalui penyiaran klip video bahaya aktiviti laut terutamanya menjelang MTL yang akan tiba tidak lama lagi.
"Semua pengusaha chalet dan resort sudah dimaklumkan supaya menyiarkan video-video pendek mengenai bahaya aktiviti mandi-manda di laut ketika musim tengkujuh.
"Video itu sudah ada. Alhamdulillah kita sifar korban tahun lepas, tidak ada kematian. Jadi kita harap pengusaha betul-betul mengambil langkah keselamatan dan begitu juga pengunjung," ujarnya.
19 Oct 25
109
Badrul Tekad Perbaiki Komunikasi, Fokus Aksi Timbal Balik Di Kuching
KUALA NERUS, 19 Oktober - Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali, bertekad memperbaiki kelemahan komunikasi dan organisasi pasukannya menjelang aksi timbal balik menentang Kuching City FC selepas tewas 1-4 dalam suku akhir pertama Piala FA Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Mengakui kekalahan itu berpunca daripada kesilapan sendiri, Badrul menyifatkan perlawanan tersebut bukan malam terbaik buat pasukannya yang banyak melakukan kesilapan mudah di semua posisi.
"Untuk perlawanan pada malam ini saya rasa bukan malam kita. Terlalu banyak kesilapan individu-individu, terlalu ghairah untuk menjaringkan gol dan kita lupa di belakang serta berlaku kesilapan komunikasi," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Menurutnya, kecuaian itu mengakibatkan pertahanan TFC ditembusi dua kali dalam tempoh 10 minit pertama, sekali gus memberi kelebihan awal kepada Kuching City FC untuk mendominasi perlawanan.
"Kita tahu pasukan Kuching mempunyai pemain yang berkualiti. Jadi kita dihukum dengan kesilapan-kesilapan yang kita buat untuk game pada malam ini," jelasnya kepada pemberita.
Badrul turut menjelaskan bahawa anak buahnya sebenarnya menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua dengan memberikan tekanan kepada pasukan lawan, namun sekali lagi kesilapan individu menggagalkan usaha untuk bangkit.
"Kalau kita tengok, kita memberi tekanan di separuh masa kedua tapi itu saya cakap kesilapan individu berlaku bila kita hendak menjaringkan gol, kalut untuk menjaringkan gol, kita lupa di belakang. Jadi mengakibatkan Kuching menjaringkan gol ketiga," katanya lagi.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi perlawanan timbal balik di Kuching pada 28 Oktober ini, Badrul menegaskan tempoh sepuluh hari akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperbaiki kelemahan pasukan.
"Sudah tentu kita ada 'gap' dalam 10 hari ini dan kita ada 90 minit di Kuching. Kita akan buat yang terbaik. Apa kesilapan yang kita lakukan pada malam ni kita kena baiki, kita kena lupakan (kekalahan pada malam itu) dan kita cuba menyaingi Kuching di tempat lawan nanti," ujarnya dengan penuh tekad.
Jurulatih skuad negeri itu turut menekankan aspek komunikasi sebagai isu paling ketara yang perlu diperbetulkan segera agar kesilapan sama tidak berulang.
"Kalau kita tengok gol-gol yang Kuching jaringkan, komunikasi kita tidak tersusun dan disitu berlaku kesilapan. Saya harap pemain-pemain belajar pada malam ini, tidak boleh melakukan kesilapan apabila kita bertemu dengan pasukan Kuching," nyatanya.
Dengan kekalahan besar di laman sendiri, TFC kini perlu menang sekurang-kurangnya dengan tiga jaringan tanpa bolos di Kuching bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.
19 Oct 25
94
TFC Tewas 4-1 Di Laman Sendiri
KUALA NERUS, 18 Oktober - Harapan Terengganu FC (TFC) untuk membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala FA Malaysia musnah apabila tewas 1-4 di tangan Kuching City FC (Kuching) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Di hadapan hampir 10,000 penonton, skuad tuan rumah dikejutkan seawal minit kelapan apabila penyerang Kuching, Wanja Ronald Ngah, meledak gol pembukaan selepas berlaku kekalutan di hadapan gawang TFC.
Kelekaan benteng TFC sekali lagi dihukum empat minit kemudian apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat. Wanja tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menambah jaringan, menjadikan kedudukan 2-0 dalam tempoh seawal 12 minit permainan.
Kuching terus mendominasi permainan pada separuh masa pertama dengan serangan bertali arus, manakala barisan pertahanan TFC kelihatan bergelut mengekang asakan agresif oleh pasukan pelawat.
Bersambung babak kedua, nasib malang TFC berterusan apabila Ahmad Danial Ahmad Asri menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga Kuching pada minit ke-52, menambah tekanan kepada tuan rumah.
Walau bagaimanapun, TFC akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pemain import sensasi skuad negeri, Yann Kevin Mabella, pada minit ke-68 untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Keberhasilan jaringan sulung pasukan tuan rumah itu sekaligus memberikan harapan Dan suntikan tonik kepada TFC untuk menutup jurang mata yang ketara itu.
Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pemain yang sama menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82 selepas tandukan tersasar masuk hasil sepakan penjuru Petrus Shitambi dari Kuching.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan besar Kuching City FC 4-1, memberikan kelebihan selesa buat skuad Kuching menjelang aksi timbal balik di Sarawak pada 28 Oktober ini.
18 Oct 25
44
Ribuan Rakyat Terengganu Terus Bersolidariti, Hadir Himpunan Taufan Al-Aqsa
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Ribuan rakyat Terengganu membanjiri Dataran Khairunnisa semalam dalam Himpunan Taufan Al-Aqsa bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus berjuang membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk menganjurkan himpunan seperti ini bagi memberi ruang kepada seluruh rakyat negeri menunjukkan keprihatinan dan kebersamaan terhadap perjuangan umat Islam di Palestin.
“Malam ini kita menjadi saksi bahawa negeri Terengganu sentiasa seiring dengan saudara-saudara kita di bumi Palestin.
“Bulan ini sahaja, ini merupakan program ketiga selepas pada 10 Oktober lalu kita telah mengadakan Perarakan Bot Seluruh Negeri Terengganu yang berhimpun di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, sebagai simbolik sokongan kepada saudara kita yang sedang berjihad di sana,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Taufan Al-Aqsa di Dataran Khairunnisa, di sini, semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Dr. Muhammad Khalil turut menambah bahawa pada 14 Oktober lalu, kerajaan negeri telah menganjurkan Program Maulid Akbar 'Untukmu Al-Aqsa' yang menghimpunkan lautan manusia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, bersama para ulama dari dalam dan luar negara bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin.
“Pada malam ini sekali lagi rakyat Terengganu berhimpun bagi meneruskan semangat ulang tahun kedua Taufan Al-Aqsa, tanda bahawa perjuangan ini tidak akan pernah padam,” katanya.
18 Oct 25
94
Hospital Berkait Kerajaan Terengganu Raih Anugerah Kecemerlangan Global
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pusat Perubatan Kumpulan Medic Iman (KMI) Kuala Terengganu di sini terus melakar kejayaan membanggakan apabila menerima ‘Global Performance Excellence Awards’ (GPEA) 2025 yang berlangsung di Beijing, China.
Pengurus Besarnya, Salina Long berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi bagi prestasi organisasi dan kecemerlangan perniagaan di rantau Asia Pasifik.
"Selain anugerah ini, KMIKT turut diiktiraf untuk ‘Best Practice’ melalui inisiatif ‘Special Task Force (STF) for Profitability’, yang menekankan pendekatan inovatif dalam meningkatkan kecekapan operasi serta prestasi keuntungan hospital.
"Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan KMIKT terhadap kecemerlangan, pengoptimuman sumber, dan pengurusan strategik bagi memastikan pertumbuhan mampan selari dengan perkhidmatan berkualiti tinggi," ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Salina, penilaian bagi GPEA merangkumi beberapa aspek utama seperti kepimpinan, strategi, fokus pelanggan, penglibatan tenaga kerja, keputusan operasi dan inovasi.
"Ia antara nilai-nilai yang sentiasa menjadi teras kepada budaya kerja kami di KMIKT.
"Tahniah kepada seluruh warga kerja KMIKT atas kejayaan antarabangsa yang membanggakan ini. Bersama-sama kita terus memperkukuhkan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk masa depan yang lebih cemerlang, " ujarnya.
17 Oct 25
2243
Impian Miliki Tanah Jadi Realiti Buat 219 Penduduk
KUALA NERUS, 15 Oktober – Seramai 219 penerima Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kawasan Mengabang Bakong menerima khabar gembira apabila borang 5A diserahkan kepada mereka dalam satu majlis khas yang diadakan di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata penyerahan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menunaikan janji manifesto walaupun kini berada di penggal kedua pemerintahan.
“Majlis penyerahan borang 5A ini menjadi khabar gembira yang dinantikan oleh bakal penerima geran tanah yang ditempatkan di RTB Kediaman Mengabang Bakong.
“Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan baki manifesto yang lalu masih lagi diteruskan pada penggal kedua ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Borang 5A yang berlangsung di Dewan Cenderawasih, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan proses penyerahan lot tanah kepada penerima RTB secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati hak pemilikan tanah dengan segera.
Sementara itu, rata-rata penerima RTB terkilan yang hadir pada majlis tersebut meluahkan rasa syukur dan terharu atas peluang memiliki tanah yang diberikan.
Mereka turut berterima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana menunaikan janji manifesto yang telah diumumkan sebelum ini.
17 Oct 25
5649