lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

4X4 Merdeka Challenge Angkat Terengganu Destinasi Sukan Lasak
4X4 Merdeka Challenge Angkat Terengganu Destinasi Sukan Lasak
KUALA NERUS, 29 Ogos – Cabaran sukan lasak 4X4 Merdeka Challenge 2025 bukan sahaja berjaya menghimpunkan peminat kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara, malah turut membuka lembaran baharu bagi perkembangan sukan ekstrem dan pelancongan di negeri ini. Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Pantai Timur, Mohd Azizul Arif Yahya, berkata penganjuran kali ini mencatatkan penyertaan terbesar dengan kehadiran 130 peserta dari seluruh Malaysia, sekali gus menunjukkan potensi besar acara ini untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan Terengganu. “Ini satu aktiviti yang sangat baik dan wajar dijadikan acara tahunan serta dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri. “Malah, ia berpotensi menjadi program berskala besar di rantau Timur,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program serta menyempurnakan pelepasan peserta di Bandar Baharu Kuala Nerus, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan. Mengulas lanjut, Mohd Azizul menegaskan konsep sport tourism seperti ini mampu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat. “Peserta bukan datang bersendirian, sebaliknya membawa pasukan serta ahli keluarga untuk berbelanja di Terengganu. “Secara tidak langsung, ia menjana ekonomi tempatan dalam pelbagai bentuk dan memberi manfaat kepada penduduk sekitar,” jelasnya. Menurut beliau, perbincangan bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sedang dibuat agar program ini dapat disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri, khususnya menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027. Tambahnya lagi, kelebihan Terengganu dalam aspek eco-tourism menjadikan negeri ini lokasi sesuai untuk penganjuran aktiviti sukan lasak. “Bentuk muka bumi Terengganu sangat menarik dan menjadi faktor penarik utama untuk terus menganjurkan acara sebegini di masa depan,” katanya.  
29 Aug 25
1975
Anak Muda Pelbagai Kaum Semarakkan Hari Kebangsaan di Terengganu
Anak Muda Pelbagai Kaum Semarakkan Hari Kebangsaan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Suasana penuh warna-warni sempena Hari Kebangsaan terserlah di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu apabila enam anak muda daripada pelbagai kaum tampil bergaya dalam pakaian tradisional masing-masing sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Idea segar ini dicetuskan oleh anak jati Terengganu, Eric Liaw, 27, yang mahu menggambarkan keindahan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang menjadi kekuatan utama rakyat Terengganu.  “Malaysia terdiri daripada tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India. Dalam gambar ini, kita dapat lihat sekumpulan rakan yang memakai baju tradisional masing-masing sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Di situlah lahirnya sifat perpaduan,” katanya ketika dihubungi. Bagi Eric, perpaduan adalah asas penting dalam membentuk negara yang aman dan stabil. Katanya, walaupun semangat itu sudah wujud, masih banyak ruang untuk diperkukuhkan. “Malaysia memang sudah ada semangat perpaduan, tetapi ia belum cukup kuat. Masih boleh dipertingkatkan lagi. “Anak muda boleh menyertai aktiviti sukarelawan, bersukan bersama tanpa mengira bangsa atau agama. Kita juga perlu amalkan nilai toleransi, hormat-menghormati serta menguasai bahasa kebangsaan. Jika mampu, pelajari bahasa lain supaya komunikasi lebih mudah,” jelasnya. Dari kiri: Afif, Eric, Shashi, Alifah, Pek Yan dan Poorini Eric yang fasih bertutur dalam dialek Terengganu turut menekankan bahawa generasi muda merupakan tunjang kepada masa depan negara, dan mereka perlu menjadi ejen pengukuhan semangat perpaduan. Mengenang pengalaman mengibarkan Jalur Gemilang di perkarangan Kampung Budaya, Eric meluahkan rasa terharu kerana dapat merasai detik penuh makna itu bersama rakan-rakan berbilang kaum. “Semasa mengibarkan Jalur Gemilang, saya rasa sangat gembira kerana wujudnya sifat harmoni. Harmoni inilah yang membanggakan saya sebagai rakyat Malaysia kita kibarkan bendera dengan senyuman tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. Mengulas pemilihan lokasi, Eric menyifatkan Kampung Budaya Muzium Negeri Terengganu sebagai tempat yang sarat dengan sentimen tradisi, sesuai dengan tema pakaian tradisional yang ditampilkan. “Kampung Budaya istimewa kerana kaya dengan suasana tradisional. Ia sangat sepadan dengan tema penggambaran kami,” jelasnya. Bagi Eric, pemakaian pakaian tradisional daripada pelbagai kaum itu sendiri membawa mesej besar bahawa perbezaan bukan pemisah, sebaliknya lambang kesatuan. “Perbezaan yang jelas inilah penunjuk kepada perpaduan yang kita kecapi. Walaupun berbeza dari segi pakaian, warna kulit, budaya, tradisi dan kepercayaan, kita tetap boleh saling memahami serta bertoleransi. Saya yakin, perbezaan inilah yang akan menguatkan lagi perpaduan kita,” tegasnya.  
29 Aug 25
307
591 Rumah di Marang Jadi Perintis Dasar Baharu RMM
591 Rumah di Marang Jadi Perintis Dasar Baharu RMM
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Sebanyak 591 unit kediaman di Marang bakal menjadi projek perintis kepada pelaksanaan Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) secara penswastaan yang telah ditambah baik dan dilancarkan semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata projek berkenaan kini hanya menunggu kelulusan akhir sebelum dimulakan, sekali gus menjadi contoh pertama bagaimana dasar baharu ini dilaksanakan di lapangan. “Seperti yang saya nyatakan, projek ini sudah siap dirancang dan hanya menunggu kelulusan. Ia akan menjadi projek perintis dasar baharu RMM yang akan kita laksanakan di Marang, insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran dasar berkenaan di Wisma Darul Iman. Dasar baharu itu telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.  Wan Sukairi (kanan) dan Tengku Chik (kanan) Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Terengganu (Perumahan), Tengku Chik Abu Bakar Tengku Ibrahim. Wan Sukairi menjelaskan, dasar baharu itu memberi penekanan kepada penambahbaikan polisi perumahan negeri serta reka bentuk RMM agar manfaat dapat dinikmati secara seimbang antara rakyat dan pemaju. Katanya, beberapa perubahan utama telah diperkenalkan berbanding dasar lama, termasuk pengurangan peratusan pembangunan RMM Jenis B atas tanah kerajaan daripada 30 peratus kepada 20 peratus, manakala RMM Jenis A kekal 20 peratus. “Selebihnya, iaitu 60 peratus, diperuntukkan kepada pembangunan komersial. Dari sudut harga pula, RMM Jenis A yang sebelum ini berharga RM80,000 kini ditetapkan pada RM90,000 dengan keluasan minimum 800 kaki persegi. “Manakala RMM Jenis B lebih fleksibel dengan harga RM150,000 bagi rumah bandar atas dan RM185,000 bagi rumah bandar bawah, berbanding dasar lama yang menetapkan harga RM185,000 sahaja, dengan keluasan minimum 900 kaki persegi. “Perubahan lain melibatkan kadar premium tanah. Jika sebelum ini rumah bernilai RM300,000 ke atas dikenakan premium 50 peratus daripada nilaian tanah semasa, dasar baharu hanya mengenakan premium tetap RM2,000 seunit bagi rumah bernilai antara RM301,000 hingga RM400,000, manakala rumah melebihi RM400,000 kekal dikenakan premium 50 peratus,” jelasnya. Tambah beliau, bagi mengelakkan perbezaan harga dan meningkatkan bilangan unit, semua projek RMM Jenis A dan B juga tidak lagi dibenarkan mempunyai lot tepi. Sebaliknya ujar beliau, pemaju diwajibkan mewujudkan kawasan riadah untuk komuniti seperti ruang bersukan dan rekreasi. “Selain itu, dasar baharu ini turut memberi kelegaan kepada pemaju apabila mereka dibenarkan mengiklankan projek lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga 25 peratus kemajuan. “Pengiklanan boleh dilakukan sebaik sahaja pemaju melunaskan bayaran 10 peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV). Dalam masa yang sama, kelonggaran turut diberikan kepada pembangunan di atas tanah persendirian,” jelasnya. Menurutnya, jika dasar lama mewajibkan 30 peratus pembinaan RMM dengan pecahan 15 peratus Jenis A dan 15 peratus Jenis B, dasar baharu hanya menetapkan 10 peratus untuk setiap jenis dengan jumlah keseluruhan 20 peratus. “Dasar ini memberi ruang kepada pemaju, namun pada masa yang sama kepentingan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tetap terjamin,” jelas Wan Sukairi. Beliau turut memaklumkan, aspek teknikal turut diberi perhatian apabila pengecualian penyediaan Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH) yang sebelum ini hanya terpakai untuk RMM Jenis A kini diperluaskan kepada RMM Jenis B.  
28 Aug 25
1205
Dasar Baharu Rumah Mampu Milik Perluas Peluang Pemohon
Dasar Baharu Rumah Mampu Milik Perluas Peluang Pemohon
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos - Dasar baharu pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Terengganu yang dilancarkan semalam memperkenalkan beberapa penambahbaikan syarat permohonan bagi memastikan agihan rumah lebih adil dan tersasar. Antara perubahan ketara yang diperkenalkan termasuklah keutamaan kepada pemohon yang mempunyai tanggungan, penetapan had pendapatan isi rumah yang lebih fleksibel serta peluasan kelayakan kepada anggota penjawat awam yang berstatus tetap. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata walaupun terdapat beberapa pengetatan syarat berbanding dasar lama, pendekatan baharu ini sebenarnya membuka peluang lebih luas kepada golongan sasar. "Kalau dahulu, dasar lama, rumah diutamakan untuk mereka yang dah berkahwin, 10 peratus untuk golongan bujang.  "Cuma untuk syarat baru ini, kita letak yang dimaksudkan dengan golongan bujang itu adalah golongan belia atau golongan belia yang berkeluarga," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran dasar berkenaan di sini. Beliau menjelaskan, dari sudut pendapatan isi rumah, dasar lama hanya membenarkan pendapatan maksimum RM4,500 sebulan bagi projek perumahan swasta. Namun jelasnya, dasar baharu ini meluaskan had sehingga RM5,000, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai keluarga muda untuk memiliki kediaman. Tambahnya, dasar baru tersebut lebih inklusif kerana bukan sahaja belia berkeluarga tetapi juga ibu bapa tunggal, isteri kedua, ketiga atau keempat turut diberi peluang selagi memenuhi syarat pendapatan. "Bujang, duda ataupun janda yang bertanggungan sama ada adik-beradik, ibu bapa dan sebagainya, juga boleh dipertimbangkan sehingga lima peratus dengan pendapatan kasar bulanan antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi projek perumahan awam dan RM2,500 hingga RM5,000 bagi projek perumahan swasta," jelasnya. Bagi kategori penjawat awam, syarat baharu turut memperluas kelayakan. "Sebelum ini hanya pegawai gred 1 hingga 22 layak memohon, kini penjawat awam berstatus tetap sehingga gred 24 ke bawah boleh memohon bagi projek perumahan awam. "Tetapi untuk gred 8 ataupun gred 40 ke bawah layak dipertimbangkan untuk projek perumahan swasta. Maksudnya, lebih ramai lagi anggota penjawat awam yang boleh memohon untuk mendapatkan rumah pemilik jenis A ataupun jenis B ini," tambahnya. Dasar baharu itu masih mengekalkan syarat umur minimum 21 tahun untuk pemohon rumah RMM jenis A dan B, dengan pemohon berusia 50 tahun ke atas masih boleh dipertimbangkan sekiranya mempunyai jaminan bayaran daripada ahli keluarga. Menurut Wan Sukairi lagi, penambahbaikan syarat permohonan ini adalah langkah strategik supaya rumah yang dibangunkan hasil kerjasama kerajaan negeri dengan pemaju swasta benar-benar sampai kepada kumpulan yang layak dan memerlukan.
28 Aug 25
351
Lebih 400 Motosikal Sertai Kembara Merdeka Kemaman
Lebih 400 Motosikal Sertai Kembara Merdeka Kemaman
KEMAMAN, 28 Ogos - Semangat kebangsaan terus membara apabila lebih 400 buah motosikal menyertai Kembara Merdeka Kemaman 2025, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato' Hanafiah Mat berkata, penyertaan kali ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri, persekutuan, pertubuhan serta masyarakat setempat. "Kehadiran ini menggambarkan bahawa rakyat Terengganu, khususnya di daerah Kemaman, sentiasa bersatu hati dalam mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggan dan kecintaan terhadap tanah air. "Kesepaduan pelbagai pihak ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan terus menjadi nadi kepada pembangunan rakyat," ujarnya. Katanya lagi, program konvoi ini bukan sekadar sebuah perjalanan bermotosikal, tetapi lebih daripada itu ia adalah satu manifestasi perpaduan, semangat kekitaan serta jalinan erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan rakyat. "Inilah wajah sebenar kemerdekaan, rakyat hidup harmoni, saling disantuni dan bersama membina negeri serta negara yang lebih sejahtera," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri. Perjalanan yang membawa erti sebenar semangat kemerdekaan, menyatukan hati dan kasih sayang sesama insan. Program ini turut menyemai semangat prihatin terhadap masyarakat apabila 300 orang asnaf menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan beras dalam majlis penutup yang berlangsung di Kemaman Arena Square.  
28 Aug 25
69
TDM Salur RM20,000 Santuni 133 Asnaf DUN Bandar
TDM Salur RM20,000 Santuni 133 Asnaf DUN Bandar
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad terus mengukuhkan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program TDM Bersama Masyarakat, yang kali ini memberi manfaat kepada komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin, berkata program berimpak tinggi itu menjadi sebahagian daripada usaha syarikat membudayakan nilai CSR dalam operasi korporat. “Program ini adalah sebahagian daripada aspirasi kami untuk memberi impak positif kepada komuniti.  “Fokus kami ialah berkongsi rezeki, membantu golongan memerlukan dan mewujudkan kesejahteraan sosial secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, Program TDM Bersama Masyarakat kini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan sosial, memperluas kerjasama serta menyemai nilai empati dalam kalangan masyarakat. “Kami menekankan nilai murni seperti sedekah, keprihatinan dan rasa tanggungjawab kepada golongan asnaf selaras dengan ajaran Islam dan prinsip kemanusiaan sejagat.  “Pendekatan konsisten ini diyakini membawa manfaat jangka panjang kepada komuniti, terutamanya di kawasan operasi kami,” ujarnya. Pada majlis di Dewan PPR Hiliran itu, TDM menyerahkan RM20,000 daripada peruntukan zakat wakalah syarikat kepada 133 penerima asnaf berupa wang tunai dan beras bagi meringankan beban mereka.  Program turut diserikan dengan tazkirah Dhuha bersama komuniti, sebagai usaha mengeratkan hubungan dan memupuk ukhwah. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, yang merasmikan majlis dan menyampaikan penghargaan kepada TDM atas usaha murni tersebut.  “Sumbangan ini bukan sahaja membantu golongan asnaf, tetapi juga menyuburkan semangat keprihatinan serta kebersamaan dalam masyarakat.  “Semoga inisiatif seperti ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk terus menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya. Program berkenaan membuktikan peranan sektor korporat dalam memacu kesejahteraan sosial dan memperkukuh hubungan erat antara syarikat dan komuniti setempat.  
27 Aug 25
79
Terengganu Perkenal Dasar RMM Baharu Lebih Realistik, Mesra Pemaju
Terengganu Perkenal Dasar RMM Baharu Lebih Realistik, Mesra Pemaju
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan negeri memperkenalkan Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Secara Penswastaan yang ditambah baik dengan pendekatan lebih realistik, bagi menyeimbangkan keperluan rakyat, kelestarian pasaran perumahan serta kepentingan pemaju sebagai rakan strategik. Penggubalan dasar baru adalah hasil kerjasama strategik Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) dan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) melalui beberapa siri bengkel melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju dan kontraktor. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dasar baharu itu mengambil kira cabaran semasa seperti kos bahan binaan, caj premium tanah dan penetapan kuota pembinaan yang selama ini menjadi kekangan dalam sektor perumahan. "Kerajaan negeri memperkenalkan beberapa pindaan kepada dasar pembinaan rumah mampu milik secara penswastaan ini.  "Dalam dasar baru ini kerajaan negeri mengambil pendekatan yang lebih realistik membabitkan kos bahan binaan dan keperluan pasaran semasa," katanya. Ahmad Samsuri berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran dasar berkenaan di Dewan Makan Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.  Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' Nara Setia serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.  Beliau menegaskan, walaupun punca utama adalah kos bahan binaan yang tinggi, langkah yang diambil di peringkat negeri penting untuk mengurangkan kos pembangunan sekaligus menstabilkan harga jualan rumah. "Langkah-langkah di peringkat negeri Terengganu ini bukan sahaja untuk mengurangkan kos pembangunan malah turut akan menstabilkan harga jualan dan menjadikan rumah sebagai tempat yang mampu dimiliki terutama golongan berpendapatan rendah. Beliau turut menekankan perkara yang lebih besar perlu diurus adalah berkenaan dengan punca masalah yang sebenar di peringkat akar umbi. "Kalau kos bahan binaan itu merupakan suatu halangan yang besar, harga barang-barang binaan besar, setentunya pihak yang berkuasa terutama di peringkat persekutuan perlu memainkan peranan yang lebih. "(Dengan) mempunyai strategi jangka pendek dan jangka panjang bagaimana untuk mengatasi ataupun untuk mengenalpasti punca masalah yang dihadapi," ujarnya Menurutnya lagi, dasar baharu itu adalah penyelesaian menang-menang (win-win) yang menyeimbangkan kepentingan rakyat, pemaju dan institusi kewangan. Dasar baharu itu memperuntukkan RMM Jenis A pada harga RM90,000 (800 kps, pendapatan RM2,500–RM5,000, kuota Melayu 95 peratus) dan Jenis B pada harga RM150,000–RM185,000 (900 kps, pendapatan RM3,000–RM8,000, kuota Melayu 70 peratus). Pembangunan bercampur di tanah kerajaan diwajibkan menempatkan sekurang-kurangnya 20% RMM Jenis A, 20% RMM Jenis B, dengan baki 60% untuk unit komersial. Harga ditetapkan kerajaan bagi unit RMM manakala unit komersial mengikut budi bicara pemaju, tanpa sebarang pelepasan kuota Melayu. Bagi memastikan standard kualiti, semua projek mesti mematuhi Dasar Perumahan Negara 2018–2023 dan mencapai skor minimum 50 peratus QLASSIC oleh CIDB. Caj premium tanah turut ditetapkan antara RM100 hingga RM300 seunit untuk RMM. Pemaju turut diberi insentif seperti pengecualian penyediaan SPAH untuk RMM, kelulusan pelan dipercepatkan melalui 'Green Lane', serta pengecualian levi jika pembangunan memenuhi syarat.
27 Aug 25
912
Kerajaan Terengganu Taja Empat Pelajar Lanjut Pengajian ke Beijing
Kerajaan Terengganu Taja Empat Pelajar Lanjut Pengajian ke Beijing
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu terus membuktikan komitmen melahirkan modal insan berkualiti apabila menaja sepenuhnya pengajian empat pelajar cemerlang ke Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dengan kos hampir RM1 juta keseluruhannya.
27 Aug 25
507
Ingati Tanah Air Umat Islam Belum Merdeka
Ingati Tanah Air Umat Islam Belum Merdeka
Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak melupakan nasib saudara seagama di seluruh dunia yang masih belum menikmati kemerdekaan, khususnya rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis.
27 Aug 25
40
Penganjur RXZ Members Nafi Dakwaan Kerajaan Terengganu Tak Bantu
Penganjur RXZ Members Nafi Dakwaan Kerajaan Terengganu Tak Bantu
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Penganjur RXZ Members 7.0 tampil menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Kerajaan Terengganu tidak memberikan sebarang bantuan terhadap penganjuran acara permotoran terbesar negara itu. Dalam satu kenyataan rasmi semalam, pihak penganjur menegaskan kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk setiap kali penganjuran berlangsung. “Sokongan kerajaan negeri tetap ada sama ada melalui bantuan kewangan, kemudahan, khidmat nasihat mahupun kerjasama secara tidak langsung. Sokongan ini amat kami hargai. “Tanpa bantuan tersebut, RXZ Members tidak mungkin berada pada tahap sekarang,” ujar kenyataan itu yang dimuat naik di media sosial. Pihak penganjur juga menolak dakwaan bahawa acara tersebut digunakan sebagai platform politik, sebaliknya menegaskan RXZ Members 7.0 merupakan program santai yang mengumpulkan peminat motosikal dari seluruh negara. “RXZ Members 7.0 adalah program santai. Fokusnya adalah untuk peminat motosikal berkumpul, berukhuwah dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat, bukan untuk tujuan politik,” jelas mereka. Dalam pada itu, penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus menyokong acara ini sejak edisi pertama. “Doa dan semangat kalian menjadi kekuatan kami untuk menjayakan RXZ Members dari tahun ke tahun,” katanya.
27 Aug 25
3931