KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad terus mengukuhkan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program TDM Bersama Masyarakat, yang kali ini memberi manfaat kepada komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin, berkata program berimpak tinggi itu menjadi sebahagian daripada usaha syarikat membudayakan nilai CSR dalam operasi korporat.
“Program ini adalah sebahagian daripada aspirasi kami untuk memberi impak positif kepada komuniti.
“Fokus kami ialah berkongsi rezeki, membantu golongan memerlukan dan mewujudkan kesejahteraan sosial secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Program TDM Bersama Masyarakat kini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan sosial, memperluas kerjasama serta menyemai nilai empati dalam kalangan masyarakat.
“Kami menekankan nilai murni seperti sedekah, keprihatinan dan rasa tanggungjawab kepada golongan asnaf selaras dengan ajaran Islam dan prinsip kemanusiaan sejagat.
“Pendekatan konsisten ini diyakini membawa manfaat jangka panjang kepada komuniti, terutamanya di kawasan operasi kami,” ujarnya.
Pada majlis di Dewan PPR Hiliran itu, TDM menyerahkan RM20,000 daripada peruntukan zakat wakalah syarikat kepada 133 penerima asnaf berupa wang tunai dan beras bagi meringankan beban mereka.
Program turut diserikan dengan tazkirah Dhuha bersama komuniti, sebagai usaha mengeratkan hubungan dan memupuk ukhwah.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, yang merasmikan majlis dan menyampaikan penghargaan kepada TDM atas usaha murni tersebut.
“Sumbangan ini bukan sahaja membantu golongan asnaf, tetapi juga menyuburkan semangat keprihatinan serta kebersamaan dalam masyarakat.
“Semoga inisiatif seperti ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk terus menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya.
Program berkenaan membuktikan peranan sektor korporat dalam memacu kesejahteraan sosial dan memperkukuh hubungan erat antara syarikat dan komuniti setempat.