KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan negeri memperkenalkan Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Secara Penswastaan yang ditambah baik dengan pendekatan lebih realistik, bagi menyeimbangkan keperluan rakyat, kelestarian pasaran perumahan serta kepentingan pemaju sebagai rakan strategik.
Penggubalan dasar baru adalah hasil kerjasama strategik Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) dan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) melalui beberapa siri bengkel melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju dan kontraktor.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dasar baharu itu mengambil kira cabaran semasa seperti kos bahan binaan, caj premium tanah dan penetapan kuota pembinaan yang selama ini menjadi kekangan dalam sektor perumahan.

"Kerajaan negeri memperkenalkan beberapa pindaan kepada dasar pembinaan rumah mampu milik secara penswastaan ini.
"Dalam dasar baru ini kerajaan negeri mengambil pendekatan yang lebih realistik membabitkan kos bahan binaan dan keperluan pasaran semasa," katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran dasar berkenaan di Dewan Makan Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' Nara Setia serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Beliau menegaskan, walaupun punca utama adalah kos bahan binaan yang tinggi, langkah yang diambil di peringkat negeri penting untuk mengurangkan kos pembangunan sekaligus menstabilkan harga jualan rumah.
"Langkah-langkah di peringkat negeri Terengganu ini bukan sahaja untuk mengurangkan kos pembangunan malah turut akan menstabilkan harga jualan dan menjadikan rumah sebagai tempat yang mampu dimiliki terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau turut menekankan perkara yang lebih besar perlu diurus adalah berkenaan dengan punca masalah yang sebenar di peringkat akar umbi.
"Kalau kos bahan binaan itu merupakan suatu halangan yang besar, harga barang-barang binaan besar, setentunya pihak yang berkuasa terutama di peringkat persekutuan perlu memainkan peranan yang lebih.
"(Dengan) mempunyai strategi jangka pendek dan jangka panjang bagaimana untuk mengatasi ataupun untuk mengenalpasti punca masalah yang dihadapi," ujarnya
Menurutnya lagi, dasar baharu itu adalah penyelesaian menang-menang (win-win) yang menyeimbangkan kepentingan rakyat, pemaju dan institusi kewangan.

Dasar baharu itu memperuntukkan RMM Jenis A pada harga RM90,000 (800 kps, pendapatan RM2,500–RM5,000, kuota Melayu 95 peratus) dan Jenis B pada harga RM150,000–RM185,000 (900 kps, pendapatan RM3,000–RM8,000, kuota Melayu 70 peratus).
Pembangunan bercampur di tanah kerajaan diwajibkan menempatkan sekurang-kurangnya 20% RMM Jenis A, 20% RMM Jenis B, dengan baki 60% untuk unit komersial.
Harga ditetapkan kerajaan bagi unit RMM manakala unit komersial mengikut budi bicara pemaju, tanpa sebarang pelepasan kuota Melayu.
Bagi memastikan standard kualiti, semua projek mesti mematuhi Dasar Perumahan Negara 2018–2023 dan mencapai skor minimum 50 peratus QLASSIC oleh CIDB.
Caj premium tanah turut ditetapkan antara RM100 hingga RM300 seunit untuk RMM.
Pemaju turut diberi insentif seperti pengecualian penyediaan SPAH untuk RMM, kelulusan pelan dipercepatkan melalui 'Green Lane', serta pengecualian levi jika pembangunan memenuhi syarat.