lightning-solid
Berita :
Penganjur RXZ Members Nafi Dakwaan Kerajaan Terengganu Tak Bantu
Penganjur RXZ Members Nafi Dakwaan Kerajaan Terengganu Tak Bantu
Adli Mohamad
27 Aug 25
3929

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Penganjur RXZ Members 7.0 tampil menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Kerajaan Terengganu tidak memberikan sebarang bantuan terhadap penganjuran acara permotoran terbesar negara itu.

Dalam satu kenyataan rasmi semalam, pihak penganjur menegaskan kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk setiap kali penganjuran berlangsung.

“Sokongan kerajaan negeri tetap ada sama ada melalui bantuan kewangan, kemudahan, khidmat nasihat mahupun kerjasama secara tidak langsung. Sokongan ini amat kami hargai.

“Tanpa bantuan tersebut, RXZ Members tidak mungkin berada pada tahap sekarang,” ujar kenyataan itu yang dimuat naik di media sosial.

Pihak penganjur juga menolak dakwaan bahawa acara tersebut digunakan sebagai platform politik, sebaliknya menegaskan RXZ Members 7.0 merupakan program santai yang mengumpulkan peminat motosikal dari seluruh negara.

“RXZ Members 7.0 adalah program santai. Fokusnya adalah untuk peminat motosikal berkumpul, berukhuwah dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat, bukan untuk tujuan politik,” jelas mereka.

Dalam pada itu, penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus menyokong acara ini sejak edisi pertama.

“Doa dan semangat kalian menjadi kekuatan kami untuk menjayakan RXZ Members dari tahun ke tahun,” katanya.


Artikel Berkaitan