lightning-solid
Berita :
Dasar Baharu Rumah Mampu Milik Perluas Peluang Pemohon
Dasar Baharu Rumah Mampu Milik Perluas Peluang Pemohon
Ahmad Zaeem Zainudin
28 Aug 25
350

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos - Dasar baharu pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Terengganu yang dilancarkan semalam memperkenalkan beberapa penambahbaikan syarat permohonan bagi memastikan agihan rumah lebih adil dan tersasar.

Antara perubahan ketara yang diperkenalkan termasuklah keutamaan kepada pemohon yang mempunyai tanggungan, penetapan had pendapatan isi rumah yang lebih fleksibel serta peluasan kelayakan kepada anggota penjawat awam yang berstatus tetap.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata walaupun terdapat beberapa pengetatan syarat berbanding dasar lama, pendekatan baharu ini sebenarnya membuka peluang lebih luas kepada golongan sasar.

"Kalau dahulu, dasar lama, rumah diutamakan untuk mereka yang dah berkahwin, 10 peratus untuk golongan bujang. 

"Cuma untuk syarat baru ini, kita letak yang dimaksudkan dengan golongan bujang itu adalah golongan belia atau golongan belia yang berkeluarga," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran dasar berkenaan di sini.

Beliau menjelaskan, dari sudut pendapatan isi rumah, dasar lama hanya membenarkan pendapatan maksimum RM4,500 sebulan bagi projek perumahan swasta.

Namun jelasnya, dasar baharu ini meluaskan had sehingga RM5,000, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai keluarga muda untuk memiliki kediaman.

Tambahnya, dasar baru tersebut lebih inklusif kerana bukan sahaja belia berkeluarga tetapi juga ibu bapa tunggal, isteri kedua, ketiga atau keempat turut diberi peluang selagi memenuhi syarat pendapatan.

"Bujang, duda ataupun janda yang bertanggungan sama ada adik-beradik, ibu bapa dan sebagainya, juga boleh dipertimbangkan sehingga lima peratus dengan pendapatan kasar bulanan antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi projek perumahan awam dan RM2,500 hingga RM5,000 bagi projek perumahan swasta," jelasnya.

Bagi kategori penjawat awam, syarat baharu turut memperluas kelayakan.

"Sebelum ini hanya pegawai gred 1 hingga 22 layak memohon, kini penjawat awam berstatus tetap sehingga gred 24 ke bawah boleh memohon bagi projek perumahan awam.

"Tetapi untuk gred 8 ataupun gred 40 ke bawah layak dipertimbangkan untuk projek perumahan swasta. Maksudnya, lebih ramai lagi anggota penjawat awam yang boleh memohon untuk mendapatkan rumah pemilik jenis A ataupun jenis B ini," tambahnya.

Dasar baharu itu masih mengekalkan syarat umur minimum 21 tahun untuk pemohon rumah RMM jenis A dan B, dengan pemohon berusia 50 tahun ke atas masih boleh dipertimbangkan sekiranya mempunyai jaminan bayaran daripada ahli keluarga.

Menurut Wan Sukairi lagi, penambahbaikan syarat permohonan ini adalah langkah strategik supaya rumah yang dibangunkan hasil kerjasama kerajaan negeri dengan pemaju swasta benar-benar sampai kepada kumpulan yang layak dan memerlukan.


Artikel Berkaitan