lightning-solid
Berita :
591 Rumah di Marang Jadi Perintis Dasar Baharu RMM
591 Rumah di Marang Jadi Perintis Dasar Baharu RMM
Ahmad Zaeem Zainudin
28 Aug 25
1204

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Sebanyak 591 unit kediaman di Marang bakal menjadi projek perintis kepada pelaksanaan Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) secara penswastaan yang telah ditambah baik dan dilancarkan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata projek berkenaan kini hanya menunggu kelulusan akhir sebelum dimulakan, sekali gus menjadi contoh pertama bagaimana dasar baharu ini dilaksanakan di lapangan.

“Seperti yang saya nyatakan, projek ini sudah siap dirancang dan hanya menunggu kelulusan. Ia akan menjadi projek perintis dasar baharu RMM yang akan kita laksanakan di Marang, insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran dasar berkenaan di Wisma Darul Iman.

Dasar baharu itu telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Wan Sukairi (kanan) dan Tengku Chik (kanan)

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Terengganu (Perumahan), Tengku Chik Abu Bakar Tengku Ibrahim.

Wan Sukairi menjelaskan, dasar baharu itu memberi penekanan kepada penambahbaikan polisi perumahan negeri serta reka bentuk RMM agar manfaat dapat dinikmati secara seimbang antara rakyat dan pemaju.

Katanya, beberapa perubahan utama telah diperkenalkan berbanding dasar lama, termasuk pengurangan peratusan pembangunan RMM Jenis B atas tanah kerajaan daripada 30 peratus kepada 20 peratus, manakala RMM Jenis A kekal 20 peratus.

“Selebihnya, iaitu 60 peratus, diperuntukkan kepada pembangunan komersial. Dari sudut harga pula, RMM Jenis A yang sebelum ini berharga RM80,000 kini ditetapkan pada RM90,000 dengan keluasan minimum 800 kaki persegi.

“Manakala RMM Jenis B lebih fleksibel dengan harga RM150,000 bagi rumah bandar atas dan RM185,000 bagi rumah bandar bawah, berbanding dasar lama yang menetapkan harga RM185,000 sahaja, dengan keluasan minimum 900 kaki persegi.

“Perubahan lain melibatkan kadar premium tanah. Jika sebelum ini rumah bernilai RM300,000 ke atas dikenakan premium 50 peratus daripada nilaian tanah semasa, dasar baharu hanya mengenakan premium tetap RM2,000 seunit bagi rumah bernilai antara RM301,000 hingga RM400,000, manakala rumah melebihi RM400,000 kekal dikenakan premium 50 peratus,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi mengelakkan perbezaan harga dan meningkatkan bilangan unit, semua projek RMM Jenis A dan B juga tidak lagi dibenarkan mempunyai lot tepi.

Sebaliknya ujar beliau, pemaju diwajibkan mewujudkan kawasan riadah untuk komuniti seperti ruang bersukan dan rekreasi.

“Selain itu, dasar baharu ini turut memberi kelegaan kepada pemaju apabila mereka dibenarkan mengiklankan projek lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga 25 peratus kemajuan.

“Pengiklanan boleh dilakukan sebaik sahaja pemaju melunaskan bayaran 10 peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV). Dalam masa yang sama, kelonggaran turut diberikan kepada pembangunan di atas tanah persendirian,” jelasnya.

Menurutnya, jika dasar lama mewajibkan 30 peratus pembinaan RMM dengan pecahan 15 peratus Jenis A dan 15 peratus Jenis B, dasar baharu hanya menetapkan 10 peratus untuk setiap jenis dengan jumlah keseluruhan 20 peratus.

“Dasar ini memberi ruang kepada pemaju, namun pada masa yang sama kepentingan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tetap terjamin,” jelas Wan Sukairi.

Beliau turut memaklumkan, aspek teknikal turut diberi perhatian apabila pengecualian penyediaan Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH) yang sebelum ini hanya terpakai untuk RMM Jenis A kini diperluaskan kepada RMM Jenis B.

 


Artikel Berkaitan