lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jaminan Pemulihan Santuari Kelah, Pelancong Tidak perlu Bimbang
Jaminan Pemulihan Santuari Kelah, Pelancong Tidak perlu Bimbang
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa usaha pemuliharaan ikan kelah di Tasik Kenyir akan dipergiatkan, sekali gus memastikan Santuari Kelah terus kekal sebagai tarikan pelancongan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pelancong tidak perlu bimbang kerana Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berpengalaman luas dalam menguruskan habitat ikan tersebut. "Pelancong jangan risau kerana KETENGAH ini pengalaman dia sudah lama macam mana nak bela ikan kelah ni.  "Saya ingat dah lebih daripada 30 tahun ataupun dekat-dekat dengan 30 tahun. Daripada ada beberapa ekor, KETENGAH boleh wujudkan sehingga ribuan ekor," katanya. Menurut beliau, KETENGAH telah mengambil langkah segera dengan membuang platform di kawasan santuari tersebut dan mengehadkan aktiviti pelancong bagi memulihkan populasi kelah. "KETENGAH telah mengambil perjalanan dan menghentikan lawatan ke santuari dan mula belaan baru dan hari ini baru kita nampak selepas tiga minggu ikan kelah menghampiri lubuk asal. "Jadi sekarang ni kalau kita lihat KETENGAH terus mengambil inisiatif buang platform dan tak benarkan pelancong duduk dekat sini. Maka kita dapat lihat hari ni ada ratusan ekor. Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menjalankan satu tinjauan di kawasan santuari kelah, hari ini. Beliau turut menegaskan, antara perubahan yang bakal dilaksanakan termasuk larangan aktiviti mandi bersama kelah yang sebelum ini menjadi tarikan utama. "Apa yang saya difahamkan oleh pihak KETENGAH, ikan kelah ini sangat manja sebenarnya.Tapi dulu oleh kerana ikan ini terlampau banyak dia (pelancong) boleh terjun, boleh mandi (dalam santuari).  "Tapi bila ada sahaja tangan-tangan ghaib dan SOP (tatacara pengendalian piawai) yang sangat longgar maka, untuk yang kehadapan saya cadangkan kepada KETENGAH supaya ketatkan lagi SOP.  "Tidak boleh mandi lagi, hanya boleh hulur kaki dan pegang sahaja (ikan kelah) di atas platform. Dan insya-Allah tahun depan kita akan buat SOP baru," ujarrnya.
26 Aug 25
316
Vape: Larangan Jualan Dikuatkuasa, Premis Ingkar Disita
Vape: Larangan Jualan Dikuatkuasa, Premis Ingkar Disita
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh ketegasan membanteras vape dengan melaksanakan larangan jualan bermula 1 Ogos lalu, termasuk tindakan sitaan dan kompaun terhadap premis yang berdegil. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Program Khas Gomo Asap dianjurkan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya tabiat merokok dan menghisap vape. "Tujuan program khas Gomo Asap ini adalah untuk kita memberi kesedaran dan juga kempen kepada rakyat Terengganu supaya meninggalkan apa-apa sahaja bahan berasap, seperti rokok dan juga vape. "Kita semua tahu bahawa kedua-dua amalan ini bukan sahaja telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa, malah sangat memudaratkan generasi muda pada masa kini dan juga akan datang," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Anuar Abd Rahman. Menurut Wan Sukairi, kerajaan negeri telah menguatkuasakan larangan penjualan, iklan dan penajaan vape di semua premis pihak berkuasa tempatan (PBT). "Kerajaan negeri Terengganu seperti yang sudah sedia maklum, telah pun mula menguatkuasakan larangan jualan di premis-premis PBT, termasuklah pemaparan iklan dan juga penajaan dari syarikat-syarikat vape. "Langkah ini bertujuan menyokong pengharaman dan membanteras penggunaan vape secara total di negeri Terengganu," tegasnya. Beliau berkata, papan tanda larangan baharu juga diedarkan untuk ditempatkan di kawasan awam yang sering dikunjungi orang ramai. "Sebentar tadi juga kita mengedarkan signage baru untuk ditampal di tempat-tempat larangan merokok seperti di pejabat, sekolah, pasar dan di tempat yang dikunjungi pelbagai rakyat termasuk golongan kanak-kanak, premis makanan dan sebagainya. "Kita harap dengan kempen yang diadakan ini boleh memberikan kesedaran kepada rakyat untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak menghisap rokok dan juga vape," ujarnya. Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan juga telah dijalankan terhadap premis di Kuala Terengganu dan daerah lain yang masih menjual vape. "Selepas kita menguatkuasakan pengharaman penjualan vape di Terengganu pada 1 Ogos lalu, beberapa operasi telah dilakukan oleh pihak PBT di premis-premis yang masih menjual vape sama ada di Kuala Terengganu mahupun di daerah lain. "Penguatkuasaan itu telahpun berlaku dan kita harap semua mereka yang menjual vape di premis supaya menghentikan segera aktiviti berkenaan atau berdepan tindakan," tambahnya. Wan Sukairi turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang tidak akan teragak-agak dikenakan terhadap premis yang ingkar. "Jika kita ada maklumat ada premis yang masih melakukan aktiviti penjualan, kita akan kuatkuasakan undang-undang sama ada melalui laporan media sosial ataupun maklumat yang disalurkan kepada pihak PBT. "Setakat ini sudah ada kedai yang dikenakan tindakan termasuk disita dan dikenakan kompaun," jelasnya. Mengulas lanjut, beliau menegaskan larangan ini memberi fokus untuk mengekang pertambahan pengguna baharu terutama dalam kalangan anak muda. "Sasaran kita adalah untuk pengguna-pengguna vape baru terutamanya. "Ertinya, bila mereka sukar mendapatkan bekalan, lebih mudah untuk mereka meninggalkan vape berbanding golongan yang sudah tegar menghisapnya," ujarnya.
25 Aug 25
177
Medium Semai Semangat Patriotisme Generasi Muda
Medium Semai Semangat Patriotisme Generasi Muda
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Program Briswalk Merdeka 2025 bukan sekadar aktiviti santai, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda. Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Harun Esa berkata, inisiatif ini memberi makna besar kerana ia mengingatkan kembali masyarakat tentang pengorbanan pejuang terdahulu yang berjuang mempertahankan tanah air. “Program ini bukan sekadar berjalan bersama, tetapi menjadi ruang untuk kita menyatakan betapa sayangnya kita kepada negara dan negeri. “Sebagai rakyat Terengganu, kita bertuah mewarisi sejarah perjuangan wira-wira negeri ini – daripada keberanian Haji Abdul Rahman Limbong hinggalah pengorbanan para pejuang yang menentang penjajah, sehingga membolehkan Terengganu turut menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang. “Warisan inilah yang kita bawa melalui program ini  warisan semangat juang, kekuatan ukhuwah serta rasa tanggungjawab untuk terus memajukan negeri dan tanah air tercinta. Warisan perjuangan inilah yang perlu terus dihidupkan dalam jiwa generasi baharu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Briswalk Jiwa Merdeka 2025 Langkah Patriotik, Jiwa Merdeka di Dataran Batu Buruk, pada hari ini.  Menurut beliau, Briswalk Merdeka 2025 juga berperanan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal yang mudah dan sesuai untuk semua peringkat umur, selain memperkukuh ukhuwah antara jabatan, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat. Katanya lagi, penyertaan masyarakat dalam program ini melambangkan kesatuan dan semangat merdeka yang terus subur dalam diri rakyat. “Kita percaya setiap langkah yang diatur pagi ini adalah lambang kesatuan dan semangat merdeka. Semoga ia menjadi titik permulaan kepada gaya hidup sihat dan jiwa patriotik yang akan terus berkembang dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. Beliau turut menegaskan, rakyat Terengganu bertuah kerana mewarisi sejarah perjuangan wira terdahulu yang menjadi asas kepada kejayaan negeri dalam pelbagai bidang, dan warisan itu perlu diperkukuhkan demi meneruskan agenda Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.
25 Aug 25
27
Projek RPMM Banggol Pauh Capai 70 Peratus, Siap April 2026
Projek RPMM Banggol Pauh Capai 70 Peratus, Siap April 2026
KUALA NERUS, 24 Ogos – Projek Rumah Pangsapuri Mampu Milik (RPMM) Banggol Pauh kini mencapai kemajuan hampir 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr Zaharuddin Zahid, berkata projek berkenaan bakal menyediakan 162 unit rumah, termasuk dua unit khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU). “Harga sebenar setiap unit adalah RM240,000, namun kerajaan hanya menetapkan harga jualan kepada rakyat sebanyak RM80,000 sahaja, iaitu sepertiga daripada kos asal. “Dengan harga berpatutan ini, saya menyeru semua penduduk Mukim Banggol dan kawasan berhampiran yang telah memohon supaya mengemas kini permohonan mereka melalui sistem e-Perumahan yang disediakan oleh SUK Perumahan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, baru-baru ini. Menurutnya, projek ini amat dinantikan penduduk memandangkan permintaan terhadap rumah mampu milik di kawasan Kuala Nerus semakin meningkat. “Setakat ini, pembinaan berjalan lancar dan kita menjangkakan pada bulan November atau Disember nanti, projek akan mencapai 80 peratus. Pihak SUK Perumahan akan mengeluarkan iklan rasmi bagi pemohon yang layak,” ujarnya. Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau projek RPMM Pulau Duyong Fasa II bagi memastikan pembinaan berjalan mengikut jadual serta memenuhi sasaran kerajaan negeri menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik untuk rakyat.
24 Aug 25
1117
‘Pasukan Sorak’ Fitnah Terdesak Untuk Tutup Malu Sendiri - SU Politik Dr. Sam
‘Pasukan Sorak’ Fitnah Terdesak Untuk Tutup Malu Sendiri - SU Politik Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu menafikan tuduhan kononnya wujud 'pasukan sorak MB Terengganu' dalam acara RXZ Members 7.0, menyifatkannya sebagai fitnah dan tuduhan tidak berasas. Mohd Soud Said menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Samsul Iskandar Mohd Akin serta salah seorang penganjur program itu hanyalah usaha terdesak untuk mempolitikkan acara santai peminat permotoran tersebut. “Individu-individu yang berada di barisan hadapan pentas adalah rakyat biasa, peminat permotoran yang hadir dengan semangat komuniti, bukannya pasukan di bawah arahan sesiapa. "Sorakan mereka adalah manifestasi suara hati rakyat yang menolak usaha mempolitikkan acara ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Menurut beliau, kehadiran ribuan peminat RXZ di Terengganu membuktikan acara itu diraikan sepenuhnya oleh masyarakat setempat yang sanggup menyediakan penginapan percuma, minyak percuma dan makanan percuma demi meraikan tetamu dari luar negeri. “Tohmahan yang dilemparkan hanya bertujuan mengalih perhatian dan menutup malu sendiri setelah ditolak peminat permotoran dan rakyat,” ujarnya lagi. Tambahnya, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong penganjuran acara bermanfaat untuk rakyat dengan menyediakan fasiliti, promosi dan bantuan keselamatan demi kelancaran program. “Fitnah dan manipulasi fakta untuk memburukkan Terengganu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan,” tegas beliau. Terdahulu, Samsul dalam satu kenyataan dangkal mendakwa bahawa pihak yang bersorak mengejek beliau dan penganjur RXZ Member semalam adalah pasukan sorak MB Terengganu.
24 Aug 25
228
Wanita Tonggak Keluarga, Pemacu Pembangunan Negara – Ketua Polis Dungun
Wanita Tonggak Keluarga, Pemacu Pembangunan Negara – Ketua Polis Dungun
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Memperkasa wanita dengan ilmu, kesedaran dan kemahiran adalah asas penting dalam membentuk kepimpinan yang mampu menjadikan mereka tonggak keluarga serta penyumbang utama kepada pembangunan negara. Ketua Polis Dungun, Supritenden Maizura Abdul Kadir berkata, wanita merupakan pemimpin pertama dalam sesebuah keluarga, justeru mereka perlu diperkayakan dengan ilmu supaya proses pembesaran anak-anak dapat dibimbing mengikut landasan yang betul. “Untuk menjadi seorang pemimpin, wanita mesti memperkayakan diri dengan ilmu terlebih dahulu. Dalam seminar ini, kita tekankan kepentingan memperkasakan wanita supaya mereka lebih sedar dan mampu membimbing keluarga ke arah yang lebih baik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai Seminar Wanita Terengganu. Beliau turut menekankan keperluan menganjurkan kempen dan ceramah secara berterusan agar mesej kesedaran dapat disampaikan kepada semua wanita, tanpa mengira latar belakang dan lokasi. Selain itu, katanya, wanita perlu diberi ruang dan peluang yang lebih luas untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, seterusnya diangkat dan diiktiraf sebagai pemimpin yang berintegriti. “Wanita dicipta dengan sifat lemah lembut, namun dalam masa yang sama mereka memiliki ketegasan serta integriti. Potensi ini perlu diasah melalui lebih banyak program upskilling bagi memperkemaskan bakat kepimpinan wanita,” jelasnya. Justeru, beliau berharap dengan sokongan dan pengiktirafan sewajarnya, penglibatan wanita dalam pelbagai bidang dapat dipertingkatkan, sekali gus menjadikan mereka pemangkin utama pembangunan masyarakat dan negara.
24 Aug 25
109
32 Pelajar Cemerlang STPM DUN Tepoh Terima Anugerah Kecemerlangan
32 Pelajar Cemerlang STPM DUN Tepoh Terima Anugerah Kecemerlangan
KUALA NERUS, 24 Ogos – Seramai 32 pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menetap di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar DUN Tepoh 2024 yang berlangsung di Restoran BB Seafood, Kubang Badak, baru-baru ini. Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tepoh itu bertujuan menghargai pencapaian pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam STPM selain meraikan mereka yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang hadir menyempurnakan majlis tersebut turut menyampaikan anugerah kepada para pelajar terlibat. “Kejayaan anak-anak ini adalah bukti bahawa usaha gigih pasti membuahkan hasil. Saya berharap mereka terus melangkah lebih jauh dan kembali menyumbang kepada masyarakat. Kerajaan Negeri Terengganu akan terus menyokong pembangunan pendidikan anak-anak Terengganu dan berusaha gigih melalui pelbagai medium untuk memberikan sokongan,” ujarnya. Setiap pelajar yang diraikan menerima hadiah berupa wang tunai, sijil penghargaan, plak serta cenderahati sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam bidang akademik. Majlis ini menjadi antara inisiatif tahunan PKM DUN Tepoh dalam membudayakan kecemerlangan akademik dan memperkukuh peranan pendidikan sebagai teras pembangunan komuniti setempat.  
24 Aug 25
61
Pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu Perlu Kesungguhan Politik
Pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu Perlu Kesungguhan Politik
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Pegawai Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krisnan menegaskan bahawa kejayaan Dasar Wanita Terengganu bergantung kepada kesungguhan politik serta pelaksanaan yang menyeluruh dan inklusif. Beliau berkata, meskipun dasar tersebut telah dirangka secara komprehensif, masih wujud persepsi dalam kalangan sesetengah pihak bahawa ia tidak memberi nilai politik yang segera. “Inisiatif ini baik, tetapi kelihatan kurang mendapat perhatian kerana dianggap tidak memberi ‘mileage’ dalam konteks Terengganu. Bagi sesetengah pihak, asalkan ada dasar, itu sudah mencukupi,” ujarnya. Menurut beliau, pelaksanaan dasar ini tidak boleh terhenti pada dokumen semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata melalui program, kemudahan dan sokongan yang dapat dirasai wanita di seluruh negeri. “Pelaksanaan mesti menyeluruh dengan pemantauan berterusan. Roadshow di setiap daerah juga perlu dilaksanakan supaya dasar ini benar-benar mendekati wanita di akar umbi,” tegasnya. Dr. Balachandran turut berkongsi pandangan hasil sesi pembentangan panel yang disertainya, dengan menekankan bahawa peranan wanita bukan sekadar soal kesaksamaan, tetapi sebagai rakan strategik dalam membentuk keluarga sejahtera, komuniti progresif dan negeri yang makmur. Beliau menambah, suara wanita akar umbi termasuk wanita muda, wanita desa dan ibu tunggal masih perlu diperkasakan agar dasar ini benar-benar inklusif. “Dasar hanya akan inklusif apabila setiap lapisan wanita merasa mereka diwakili,” katanya. Menyentuh mengenai Dasar Wanita Terengganu 2025, beliau menyatakan harapan agar ia menjadi model rujukan negara dengan memberi tumpuan kepada pendidikan berterusan, sokongan ekonomi mikro, pembangunan pusat komuniti wanita, dan pengarusperdanaan suara wanita dalam proses perancangan dasar negeri dan daerah. “Saya berharap dasar ini tidak hanya kekal sebagai dokumen rasmi, tetapi benar-benar menjadikan wanita lebih yakin, dihargai, dan bersedia menjadi peneraju bersama pembangunan negeri,” tegas beliau.
24 Aug 25
52
Santuari Kelah Sepi Salah Kerajaan Negeri?
Santuari Kelah Sepi Salah Kerajaan Negeri?
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Penularan berita kehilangan Kelah (Tor Tambra) di Santuari Kelah Tasik Kenyir menyebabkan beberapa pihak menyalahkan kerajaan negeri berikutan insiden terbabit. Menolak dakwaan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr. Azman Ibrahim menegaskan pengurusan santuari berkenaan bukannya di bawah sellaan kerajaan negeri. "Orang kita sangat gemar berpolitik. Ikan kelah yang dikatakan hilang pun jadi topik untuk serang kerajaan negeri. "Untuk makluman bagi mereka yang belum tahu, Santuari Kelah Tasik Kenyir dijaga dan diuruskan oleh KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terenganu Tengah) sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. "KETENGAH juga yang mengutip bayaran tiket masuk ke Santuari, bukan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan. Beliau turut memaklumkan bahawa KETENGAH telah mengeluarkan kenyataan serta mengambil langkah pemulihan berhubung isu yang terjadi di kawasan produk eko-pelancongan tersebut. "Soal netizen nak percaya atau tidak, itulah kenyataan dari agensi yang berautoriti. "Kita doakan semoga Kelah akan kembali semula dan Santuari dapat dibuka semula kepada orang ramai. Azman berkata demikian dalam satu hantaran melalui Facebook rasminya beberapa hari yang lalu. Terdahulu, KETENGAH melaporkan kehadiran memerang menjadi punca ikan ikonik berkenaan culas untuk masuk ke lubuk yang disediakan untuk pelancong. Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Perikanan Terengganu, Pang Nyukang menjelaskan perubahan landskap dan cuaca menyebabkan ikan tertumpu di lubuk semula jadi. "Pemerhatian mendapati kawasan pemberian makanan ikan telah mengalami mendapan pasir dari hulu sungai selain penurunan paras air tasik sebagai persediaan tadahan musim tengkujuh. "Keadaan ini menyebabkan perairan menjadi cetek manakala cuaca panas dan ketiadaan teduhan semula jadi menjadikan ikan lebih cenderung berlindung di kawasan berair dalam," katanya seperti dilaporkan oleh Astro AWANI.
24 Aug 25
127
Dasar Wanita Terengganu Perlu Libatkan Lelaki
Dasar Wanita Terengganu Perlu Libatkan Lelaki
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Kejayaan Dasar Wanita Terengganu tidak hanya bergantung kepada wanita semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan menyeluruh termasuk kaum lelaki, khususnya mereka yang memimpin di peringkat jabatan, agensi, pertubuhan dan komuniti. Naib Timbalan Pengerusi Khairunnisa, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah berkata, sesi libat urus yang dijalankan memberi peluang peserta memahami dasar dengan lebih terperinci. Namun katanya, pelaksanaannya mesti diterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan dan gerak kerja nyata. “Jika ia dapat dijalankan secara berstruktur di jabatan, agensi, pertubuhan dan komuniti, insya-Allah manfaatnya bukan sahaja kepada wanita, bahkan memberi impak besar kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negeri,” jelasnya ketika dihubungi hari ini. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan program ini perlu diperluaskan dengan melibatkan lebih ramai peserta lelaki kerana kerjasama semua pihak adalah kunci kejayaan pelaksanaan dasar tersebut. “Pembentangan yang sangat baik dan sesi libat urus interaktif memberi peluang peserta memahami dengan lebih terperinci Dasar Wanita Terengganu,” katanya.
24 Aug 25
199