KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Penularan berita kehilangan Kelah (Tor Tambra) di Santuari Kelah Tasik Kenyir menyebabkan beberapa pihak menyalahkan kerajaan negeri berikutan insiden terbabit.
Menolak dakwaan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr. Azman Ibrahim menegaskan pengurusan santuari berkenaan bukannya di bawah sellaan kerajaan negeri.
"Orang kita sangat gemar berpolitik. Ikan kelah yang dikatakan hilang pun jadi topik untuk serang kerajaan negeri.
"Untuk makluman bagi mereka yang belum tahu, Santuari Kelah Tasik Kenyir dijaga dan diuruskan oleh KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terenganu Tengah) sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
"KETENGAH juga yang mengutip bayaran tiket masuk ke Santuari, bukan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa KETENGAH telah mengeluarkan kenyataan serta mengambil langkah pemulihan berhubung isu yang terjadi di kawasan produk eko-pelancongan tersebut.
"Soal netizen nak percaya atau tidak, itulah kenyataan dari agensi yang berautoriti.
"Kita doakan semoga Kelah akan kembali semula dan Santuari dapat dibuka semula kepada orang ramai.
Azman berkata demikian dalam satu hantaran melalui Facebook rasminya beberapa hari yang lalu.
Terdahulu, KETENGAH melaporkan kehadiran memerang menjadi punca ikan ikonik berkenaan culas untuk masuk ke lubuk yang disediakan untuk pelancong.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Perikanan Terengganu, Pang Nyukang menjelaskan perubahan landskap dan cuaca menyebabkan ikan tertumpu di lubuk semula jadi.
"Pemerhatian mendapati kawasan pemberian makanan ikan telah mengalami mendapan pasir dari hulu sungai selain penurunan paras air tasik sebagai persediaan tadahan musim tengkujuh.
"Keadaan ini menyebabkan perairan menjadi cetek manakala cuaca panas dan ketiadaan teduhan semula jadi menjadikan ikan lebih cenderung berlindung di kawasan berair dalam," katanya seperti dilaporkan oleh Astro AWANI.