lightning-solid
Berita :
Projek RPMM Banggol Pauh Capai 70 Peratus, Siap April 2026
Projek RPMM Banggol Pauh Capai 70 Peratus, Siap April 2026
Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor
24 Aug 25
1113

KUALA NERUS, 24 Ogos – Projek Rumah Pangsapuri Mampu Milik (RPMM) Banggol Pauh kini mencapai kemajuan hampir 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr Zaharuddin Zahid, berkata projek berkenaan bakal menyediakan 162 unit rumah, termasuk dua unit khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Harga sebenar setiap unit adalah RM240,000, namun kerajaan hanya menetapkan harga jualan kepada rakyat sebanyak RM80,000 sahaja, iaitu sepertiga daripada kos asal.

“Dengan harga berpatutan ini, saya menyeru semua penduduk Mukim Banggol dan kawasan berhampiran yang telah memohon supaya mengemas kini permohonan mereka melalui sistem e-Perumahan yang disediakan oleh SUK Perumahan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, baru-baru ini.

Menurutnya, projek ini amat dinantikan penduduk memandangkan permintaan terhadap rumah mampu milik di kawasan Kuala Nerus semakin meningkat.

“Setakat ini, pembinaan berjalan lancar dan kita menjangkakan pada bulan November atau Disember nanti, projek akan mencapai 80 peratus. Pihak SUK Perumahan akan mengeluarkan iklan rasmi bagi pemohon yang layak,” ujarnya.

Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau projek RPMM Pulau Duyong Fasa II bagi memastikan pembinaan berjalan mengikut jadual serta memenuhi sasaran kerajaan negeri menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik untuk rakyat.


Tag :

Utama

Artikel Berkaitan