lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Permohonan Skim Motosikal Tanpa Riba, DUTE Dibuka Hari Ini
Permohonan Skim Motosikal Tanpa Riba, DUTE Dibuka Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Permohonan bagi Skim Pembiayaan Motosikal Tanpa Riba dan Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dibuka bermula hari ini, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.4 juta bagi memperkasa ekonomi belia di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, skim-skim tersebut boleh dimohon di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan mematuhi syarat yang ditetapkan. Menurut beliau, skim pembiayaan motosikal tanpa riba menawarkan pinjaman sehingga RM5,000 seorang kepada lima penerima bagi setiap DUN, melibatkan seramai 160 belia di seluruh negeri. “Skim ini amat penting untuk membantu belia, khususnya mereka yang terlibat dalam pekerjaan gig, penghantaran, usahawan mikro serta aktiviti keusahawanan supaya lebih mudah bergerak, meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan. “Ia juga mampu meringankan beban kos sara hidup dengan menyediakan pilihan kenderaan yang murah, praktikal dan bebas riba,” katanya di sidang media selepas majlis pelancaran skim tersebut di sini, hari ini. Selain itu, DUTE pula memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta, dengan agihan RM50,000 bagi setiap DUN, bertujuan memberi suntikan modal awal kepada usahawan belia untuk memulakan perniagaan atau menaik taraf operasi. “Dana ini telah digunakan oleh belia untuk membeli peralatan seperti mesin jahit industri, selain meningkatkan mutu perniagaan makanan melalui sistem pembungkusan yang lebih baik – satu langkah penting untuk menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran baharu,” jelasnya. Ariffin turut menegaskan bahawa kedua-dua inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri untuk menyokong pembangunan keusahawanan belia. “Bantuan ini adalah hasil titik peluh rakyat yang disalurkan melalui kerajaan negeri.  “Gunakanlah ia dengan penuh tanggungjawab demi kebaikan bersama,” tegasnya.
24 Aug 25
9001
Pelajar SMIDI Guna Tablet Mulai Tahun Hadapan
Pelajar SMIDI Guna Tablet Mulai Tahun Hadapan
KUALA NERUS, 24 Ogos – Bermula tahun hadapan, semua pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) akan mula menggunakan tablet dalam sesi pembelajaran sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menerapkan digitalisasi menuju agenda Pendidikan Sejahtera 2030. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata langkah ini bagi memastikan sekolah milik kerajaan negeri sentiasa seiring dengan arus pendidikan perdana. “Bermula awal tahun depan, semua pelajar baharu SMIDI akan dibekalkan tablet kerana kita mahu memanfaatkan teknologi maklumat (IT) semaksimum mungkin dalam proses pembelajaran. “Bagi Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), kita akan memperkenalkan asas-asas IT dengan menyiapkan makmal IT di setiap sekolah. Walaupun tidak diwajibkan pada peringkat awal, namun di SMIDI penggunaan makmal IT adalah wajib,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima’ Warga Pendidik JPINT di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, baru-baru ini. Menurutnya lagi, pihak pengurusan sekolah turut perlu bersiap sedia menyediakan infrastruktur dan kelengkapan bagi memastikan penggunaan teknologi dapat dimaksimumkan. Mengulas lanjut, Satiful berkata usaha ini diharap memberi manfaat besar kepada pelajar dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan negeri. “Selain itu, kita juga mahu memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sahaja di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tetapi juga di sekolah milik kerajaan negeri. “Langkah ini termasuk mewujudkan kelas sains tulen agar sekolah-sekolah di bawah JPINT tidak ketinggalan,” ujarnya.
24 Aug 25
153
Hak, Tanggungjawab Wanita Ibarat Dua Sisi Mata Wang
Hak, Tanggungjawab Wanita Ibarat Dua Sisi Mata Wang
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos – Hak dan tanggungjawab wanita adalah dua sisi mata wang yang tidak boleh dipisahkan. Sekali gus, ia menjadi isu utama dalam Dasar Wanita Terengganu yang menuntut penglibatan mereka secara menyeluruh dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri. Menurut Pensyarah Kanan, English Learning Centre, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Azza Jauhar Ahmad Tajuddin, wanita merangkumi hampir 49 peratus daripada populasi Terengganu dan tidak lagi boleh dianggap sekadar pelengkap, sebaliknya rakan strategik dalam pembangunan negeri serta ummah. “Wanita ialah guru pertama kepada anak-anak, penggerak masyarakat dan penyumbang besar kepada pembangunan negeri.  "Mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk menjadi pendidik, pemimpin, penggerak ekonomi serta menguasai teknologi secara beretika,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Seminar Dasar Wanita Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, pada semalam. Azza Jauhar menegaskan, keseimbangan antara hak dan tanggungjawab amat penting supaya dasar ini tidak hanya bersifat slogan, tetapi benar-benar memberi impak kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negeri. Tambahnya, dengan pengiktirafan dan sokongan berterusan, wanita berupaya melahirkan generasi berdaya saing, beretika serta berperanan besar dalam kesejahteraan negeri.
22 Aug 25
325
RXZ Member : MB, Exco Terengganu Dihalang Serta
RXZ Member : MB, Exco Terengganu Dihalang Serta
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos – “Selamat datang dan bertandang ke Negeri Terengganu untuk RXZ Member 7.0. Walau jasad kami dihalang, hati tetap bersama kalian,” demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan terbarunya menjelang perasmian perhimpunan mega RXZ Member 7.0.  Beliau mengalu-alukan kedatangan puluhan ribu peminat motosikal RXZ dari seluruh negara, namun pada masa sama meluahkan kekecewaan apabila beliau, Exco Kerajaan dan kepimpinan negeri tidak dibenarkan menyertai acara itu sejak awal perbincangan.  “Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama menunggang RXZ meraikan semua peserta.  “Apa nak buat, apabila politik memanjang 24 jam dengan syarat itu dan ini, akhirnya saya dan pimpinan Kerajaan Negeri yang sentiasa bersama anda semua telah ditiadakan. “Akhirnya, tak pasal-pasal RXZ menjadi mangsa politik cemburu orang Putrajaya/KL. Inilah contoh politik 'low class' yang saya selalu sebut. Orang di Terengganu panggil politik ‘komang spanar’,” katanya.  Meskipun tidak hadir secara fizikal, beliau tetap menitipkan sokongan dan doa buat semua peserta.  “Tungganglah motor dengan hati-hati. Semoga selamat sampai dan pulang. Jangan lupa jaga solat dan amalkan kebaikan sepanjang perjalanan,” pesannya. RXZ Member 7.0 terus mengukuhkan Kuala Terengganu sebagai pusat tumpuan peminat motosikal dua lejang, namun penganjuran kali ini jelas tercemar dengan campur tangan politik sempit yang cuba meminggirkan kepimpinan negeri.
22 Aug 25
31651
Lemboh Nisang Bukti Kejayaan Usahawan Tempatan, Kerajaan Negeri Sedia Hulur Sokongan
Lemboh Nisang Bukti Kejayaan Usahawan Tempatan, Kerajaan Negeri Sedia Hulur Sokongan
MARANG, 22 Ogos – Kerajaan negeri komited menyokong pembangunan usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang berjaya mengangkat produk tradisi negeri ke pasaran lebih luas, termasuk usaha yang dilakukan oleh pengusaha Lemboh Nisang di Marang. Pusat jualan makanan berasaskan nisang (gula Melaka) yang diusahakan oleh Nur Nadhirah Syuhadah  Rahmat, 27, atau lebih dikenali Nachik Cikna bersama suami itu kini mendapat sambutan luar biasa walaupun baru 18 hari beroperasi. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato'  Ariffin Deraman berkata sepanjang lawatan ke lokasi tersebut mendapati Lemboh Nisang menjadi tumpuan orang ramai walaupun pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu jumlah pengunjung meningkat tiga hingga empat kali ganda. Katanya, menyedari potensi besar Lemboh Nisang bukan sahaja sebagai perniagaan keluarga tetapi juga destinasi baharu Community Based Tourism (CBT), kerajaan negeri akan meneliti bentuk sokongan dan bantuan yang sesuai bagi mengembangkan lagi produk tersebut. "Kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu usahawan tempatan yang mampu menjana peluang pekerjaan serta merancakkan sektor pelancongan. “Usahawan seperti ini adalah aset negeri kerana mereka bukan sahaja melestarikan produk tradisi Terengganu, malah menjadikan ia tarikan baharu pelancongan. "Kami akan terus memberi sokongan melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan perniagaan seperti ini terus berkembang,” jelasnya. Tambah beliau, dengan sokongan berterusan, Lemboh Nisang diyakini mampu menjadi antara destinasi wajib dikunjungi di Marang serta mengangkat produk nisan sebagai kebanggaan Terengganu di persada nasional. Lemboh Nisang yang terletak berhampiran Dataran Batu Putih di Bandar Marang itu menawarkan pelbagai produk berasaskan nisan, dengan rancangan memperkenalkan lebih banyak variasi pada masa akan datang.  
22 Aug 25
1348
Seminar Dasar Wanita Terengganu Teguh 'Kuasa' Wanita
Seminar Dasar Wanita Terengganu Teguh 'Kuasa' Wanita
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Kerajaan Negeri menganjurkan Seminar Dasar Wanita Terengganu 2025 bagi memperkukuh pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu sebagai panduan strategik pembangunan wanita negeri ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, bertemakan ‘Wanita Solehah Peneraju Bersama’ seminar tersebut bertujuan mencapai misi memperkasa wanita melalui ilmu, perlindungan hak serta keupayaan menunaikan tanggungjawab mengikut fitrah ke arah membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera. Katanya, Dasar Wanita Terengganu bukan sekadar dokumen di atas kertas, sebaliknya simbol komitmen Kerajaan Negeri untuk melindungi, memelihara, memperkasa dan membangunkan wanita di semua peringkat. “Dasar Wanita Terengganu menggariskan matlamat yang jelas termasuk membina jati diri wanita berasaskan ilmu dan ketakwaan, mempertahankan hak wanita melalui syariat dan akhlak, memperkukuhkan institusi kekeluargaan, meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, serta memastikan suara wanita diiktiraf dalam proses membuat keputusan. “Seminar ini adalah satu wadah penting bagi kita memahami, membincang dan menghayati pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu yang memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama antaranya melindungi, memelihara, memperkasa serta membangunkan wanita,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Dasar Wanita Terengganu 2025 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Seminar berkenaan turut dimuatkan sesi pembentangan oleh pakar akademik, persembahan khas, serta sesi libat urus bersama peserta yang terdiri daripada wakil jabatan kerajaan, NGO, penggiat masyarakat dan aktivis wanita. Sementara itu, Dato’ Nara Setia dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan pelaksanaan dasar secara menyeluruh agar wanita Terengganu dapat menikmati peluang sama rata, perlindungan sewajarnya dan ruang luas untuk menyumbang kepada negeri. Beliau turut menyenaraikan cabaran semasa wanita termasuk perubahan ekonomi global, keperluan penguasaan digital, isu sosial seperti keganasan rumah tangga, serta cabaran menyeimbangkan kerjaya dan keluarga. “Dasar Wanita Terengganu akan dilaksanakan melalui 18 skop utama merangkumi aspek agama, keluarga, kesihatan, pendidikan, ekonomi, politik, kepimpinan, teknologi maklumat, kesukarelawanan, jaringan sosial, alam sekitar dan lain-lain. Kita tidak mahu seminar ini hanya tinggal di atas kertas, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit di jabatan, agensi dan komuniti,” jelasnya.  
21 Aug 25
153
Masjid Seberang Takir Sambut 100,000 Peserta RXZ
Masjid Seberang Takir Sambut 100,000 Peserta RXZ
KUALA NERUS, 21 Ogos – Masjid Seberang Takir kini bersiap sedia sepenuhnya bagi menerima kehadiran lebih 100,000 peserta RXZ Members sempena perhimpunan mega yang bakal berlangsung di sekitar Kuala Nerus. Sebagai antara lokasi tumpuan utama, masjid berkenaan turut menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk ruang solat, tempat letak motosikal serta pasukan petugas khas bagi memastikan kelancaran urusan pengunjung dan kebersihan kawasan sepanjang program berlangsung. Timbalan Pengerusi Masjid, Halim Che Ibrahim berkata, sebagai tanda meraikan kehadiran tetamu, pihak masjid mengambil inisiatif menyediakan jamuan istimewa. “Kita menjangkakan lebih 3,000 orang akan hadir. Bagi meraikan mereka, masjid menyediakan lebih 160 kilogram daging lembu, bersamaan kira-kira dua ekor lembu untuk jamuan bersama,” katanya. Menurut beliau, tujuan utama usaha ini bukan sahaja untuk menyambut komuniti RXZ Members, tetapi juga mengambil peluang mengimarahkan masjid dalam kalangan anak muda serta pelawat luar. “Alhamdulillah, sambutan penduduk setempat sangat positif. Tiada sebarang isu atau aduan, malah ramai turut bersama membantu dalam persiapan,” jelasnya. Selain mengeratkan hubungan masyarakat, program ini juga diharap dapat memperkenalkan Masjid Seberang Takir sebagai masjid pelancongan, selari dengan peranannya sebagai pusat tumpuan dan ikon di kawasan ini. Seorang penduduk tempatan, Ridhwan Takwa, berkata beliau menyambut baik kehadiran para peserta sambil menasihati agar semua pengunjung menjaga adab, kebersihan serta menghormati suasana rumah ibadah. “Ini peluang untuk kami menunjukkan keramahan masyarakat Seberang Takir kepada pengunjung dari seluruh negara,” katanya. Perhimpunan RXZ Members merupakan acara tahunan yang menghimpunkan ribuan peminat motosikal RXZ dan dijangka membawa limpahan pengunjung luar biasa ke negeri Terengganu kali ini.
21 Aug 25
1980
Hulu Besut Bakal Terima Rumah Mampu Milik Baharu
Hulu Besut Bakal Terima Rumah Mampu Milik Baharu
BESUT, 20 Ogos – Hulu Besut bakal menerima projek perumahan baharu menerusi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang dirancang khusus bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan, turun padang meninjau kawasan tersebut dalam satu lawatan kerja bersama pihak berkaitan, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata agenda pembinaan perumahan untuk rakyat itu menjadi salah satu fokus utama perbincangan yang turut melibatkan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Besut. Beliau menyambut baik usaha itu yang dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. “Kerjasama erat antara PMINT, Pejabat Daerah dan Kerajaan Terengganu ini diharap dapat memastikan setiap projek menepati keperluan masyarakat, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui selepas lawatan bersama PMINT, di sini. Dalam rangka lawatan berkenaan, rombongan turut meninjau tapak cadangan projek perumahan di Kampung Durian Telor berhampiran Tasik Telabak, sebagai langkah awal menilai kesesuaian kawasan sebelum dilaksanakan. Lawatan diteruskan ke sekitar Kampung Pasir Akar bagi meninjau keperluan semasa penduduk serta mengenal pasti potensi pembangunan lain yang boleh dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat Hulu Besut.  
20 Aug 25
1051
Air Terjun Misteri Di Kijal Bakal Jadi Tarikan Baharu Terengganu
Air Terjun Misteri Di Kijal Bakal Jadi Tarikan Baharu Terengganu
KEMAMAN, 20 Ogos – Air Terjun Janda Mandi di Kijal yang terkenal dengan keunikannya kerana aliran air terus jatuh ke laut bakal dijadikan tarikan pelancongan baharu di Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha itu akan dibangunkan melalui konsep Community Based Tourism (CBT) dengan penglibatan masyarakat setempat. “Air Terjun Janda Mandi ini cukup unik dan hanya ada satu di negara kita. Insya-Allah, kita akan majukan tempat ini bersama penduduk supaya keindahan alamnya terus terpelihara. “Air Terjun Janda Mandi setinggi 80 hingga 90 meter itu terletak di Bukit Kijal, berhampiran Pantai Teluk Kalong. Lokasinya boleh dicapai melalui dua cara, sama ada berjalan kaki merentasi trek bukit atau menaiki bot,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Kawasan Air Terjun Janda Mandi, Bukit Kijal semalam. Razali berkata, walaupun laluan sudah ditambah baik, pengunjung tetap disarankan mendapatkan khidmat penunjuk arah daripada penduduk kampung memandangkan trek agak licin dan berbahaya sekiranya bersendirian. “Selain keindahan alam semula jadi, air terjun ini turut menyimpan kisah misteri turun-temurun. Menurut cerita orang kampung, nama 'Janda Mandi' berasal daripada kisah seorang wanita, isteri kepada nakhoda yang meninggal dunia ketika belayar. “Wanita itu dikatakan turun mandi di air terjun berkenaan sebelum ghaib secara misteri. Sehingga kini, kisah tersebut kekal menjadi bualan penduduk, malah ada nelayan tempatan mendakwa pernah terlihat kelibat seorang wanita mandi di kawasan itu,” katanya. Beliau berkata, gabungan keindahan semula jadi dan kisah unik itu mampu menjadikan Janda Mandi sebagai produk pelancongan ikonik baharu di negeri ini. “Pelancongan bukan hanya tentang pemandangan, tetapi juga cerita di sebaliknya. Dengan penglibatan penduduk kampung, saya yakin Janda Mandi akan menjadi tarikan istimewa di Kijal,” ujarnya.  
20 Aug 25
4520
CEO Baharu TFC Janji Profesionalisme
CEO Baharu TFC Janji Profesionalisme
KUALA NERUS, 20 Ogos – Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Syeikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, membuka lembaran baharu buat skuad Penyu dengan komitmen membawa bola sepak negeri ke tahap lebih profesional di samping memberi impak terhadap ekonomi rakyat. Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB itu menzahirkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah yang memberi kepercayaan untuk beliau menerajui kelab gergasi Pantai Timur itu.  "Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kerana telah memberi saya peluang untuk menerajui Terengganu FC (TFC). "Saya mengharapkan pengalaman saya dalam bidang korporat di dalam dan luar negara akan memberi sesuatu yang baharu kepada negeri Terengganu, bukan sahaja kepada pasukan bola sepak, tetapi juga dalam menaikkan taraf ekonomi rakyat Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ice Power dan TFCSB yang dimeterai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. Beliau turut menegaskan kesepakatan bersama Ahli Lembaga Pengarah untuk memperkukuh tahap bola sepak negeri secara profesional.  "Saya punyai persetujuan dengan Ahli Lembaga Pengarah adalah untuk menaikkan taraf standard bola sepak negeri Terengganu secara profesionalisme. "Banyak yang perlu kita baiki, dari segi infrastruktur, nilai komersial, dan juga kedudukan kewangan,” jelas beliau. Dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, beliau optimis mampu membawa perubahan besar kepada TFC dan seluruh penyokongnya.  "Daripada itu saya punya harapan dari pengalaman-pengalaman saya berada di luar akan membawa bola sepak negeri Terengganu kepada satu tahap yang lebih tinggi selepas ini," ujarnya.
20 Aug 25
206