lightning-solid
Berita :
Vape: Larangan Jualan Dikuatkuasa, Premis Ingkar Disita
Vape: Larangan Jualan Dikuatkuasa, Premis Ingkar Disita
Zahid Mustafar
25 Aug 25
171

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh ketegasan membanteras vape dengan melaksanakan larangan jualan bermula 1 Ogos lalu, termasuk tindakan sitaan dan kompaun terhadap premis yang berdegil.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Program Khas Gomo Asap dianjurkan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya tabiat merokok dan menghisap vape.

"Tujuan program khas Gomo Asap ini adalah untuk kita memberi kesedaran dan juga kempen kepada rakyat Terengganu supaya meninggalkan apa-apa sahaja bahan berasap, seperti rokok dan juga vape.

"Kita semua tahu bahawa kedua-dua amalan ini bukan sahaja telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa, malah sangat memudaratkan generasi muda pada masa kini dan juga akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Anuar Abd Rahman.

Menurut Wan Sukairi, kerajaan negeri telah menguatkuasakan larangan penjualan, iklan dan penajaan vape di semua premis pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan negeri Terengganu seperti yang sudah sedia maklum, telah pun mula menguatkuasakan larangan jualan di premis-premis PBT, termasuklah pemaparan iklan dan juga penajaan dari syarikat-syarikat vape.

"Langkah ini bertujuan menyokong pengharaman dan membanteras penggunaan vape secara total di negeri Terengganu," tegasnya.

Beliau berkata, papan tanda larangan baharu juga diedarkan untuk ditempatkan di kawasan awam yang sering dikunjungi orang ramai.

"Sebentar tadi juga kita mengedarkan signage baru untuk ditampal di tempat-tempat larangan merokok seperti di pejabat, sekolah, pasar dan di tempat yang dikunjungi pelbagai rakyat termasuk golongan kanak-kanak, premis makanan dan sebagainya.

"Kita harap dengan kempen yang diadakan ini boleh memberikan kesedaran kepada rakyat untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak menghisap rokok dan juga vape," ujarnya.

Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan juga telah dijalankan terhadap premis di Kuala Terengganu dan daerah lain yang masih menjual vape.

"Selepas kita menguatkuasakan pengharaman penjualan vape di Terengganu pada 1 Ogos lalu, beberapa operasi telah dilakukan oleh pihak PBT di premis-premis yang masih menjual vape sama ada di Kuala Terengganu mahupun di daerah lain.

"Penguatkuasaan itu telahpun berlaku dan kita harap semua mereka yang menjual vape di premis supaya menghentikan segera aktiviti berkenaan atau berdepan tindakan," tambahnya.

Wan Sukairi turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang tidak akan teragak-agak dikenakan terhadap premis yang ingkar.

"Jika kita ada maklumat ada premis yang masih melakukan aktiviti penjualan, kita akan kuatkuasakan undang-undang sama ada melalui laporan media sosial ataupun maklumat yang disalurkan kepada pihak PBT.

"Setakat ini sudah ada kedai yang dikenakan tindakan termasuk disita dan dikenakan kompaun," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan larangan ini memberi fokus untuk mengekang pertambahan pengguna baharu terutama dalam kalangan anak muda.

"Sasaran kita adalah untuk pengguna-pengguna vape baru terutamanya.

"Ertinya, bila mereka sukar mendapatkan bekalan, lebih mudah untuk mereka meninggalkan vape berbanding golongan yang sudah tegar menghisapnya," ujarnya.


Artikel Berkaitan