KUALA NERUS, 24 Ogos – Seramai 32 pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menetap di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar DUN Tepoh 2024 yang berlangsung di Restoran BB Seafood, Kubang Badak, baru-baru ini.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tepoh itu bertujuan menghargai pencapaian pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam STPM selain meraikan mereka yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang hadir menyempurnakan majlis tersebut turut menyampaikan anugerah kepada para pelajar terlibat.
“Kejayaan anak-anak ini adalah bukti bahawa usaha gigih pasti membuahkan hasil. Saya berharap mereka terus melangkah lebih jauh dan kembali menyumbang kepada masyarakat. Kerajaan Negeri Terengganu akan terus menyokong pembangunan pendidikan anak-anak Terengganu dan berusaha gigih melalui pelbagai medium untuk memberikan sokongan,” ujarnya.

Setiap pelajar yang diraikan menerima hadiah berupa wang tunai, sijil penghargaan, plak serta cenderahati sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam bidang akademik.
Majlis ini menjadi antara inisiatif tahunan PKM DUN Tepoh dalam membudayakan kecemerlangan akademik dan memperkukuh peranan pendidikan sebagai teras pembangunan komuniti setempat.
