lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Buli : Sekolah Yayasan Terengganu Cadang Bekas Tentera Jadi Warden
Buli : Sekolah Yayasan Terengganu Cadang Bekas Tentera Jadi Warden
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Yayasan Terengganu (YT) bercadang mengambil langkah proaktif menangani isu buli di sekolah dengan meneliti pendekatan yang dilaksanakan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), iaitu melantik bekas anggota tentera sebagai warden. Pengarah YT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, satu pasukan khas (task force) telah ditubuhkan, diketuai Timbalan Pengarah YT, bagi merangka kaedah terbaik mencegah gejala buli khususnya di sekolah-sekolah di bawah kelolaan yayasan tersebut. “Bagi menangani kes buli ini, kita telah menubuhkan task force untuk membincangkan kaedah pelaksanaan yang sesuai. “Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk pertukaran penyelia dari semasa ke semasa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke BFSU di Dewan Besar Yayasan Terengganu, semalam. Menurutnya, kaedah melantik bekas tentera sebagai warden yang digunakan MRSM turut akan dinilai kesesuaiannya sebelum diputuskan pelaksanaan di sekolah-sekolah YT. “Pendekatan baharu ini akan dibincangkan segera dalam task force berkenaan bagi memastikan usaha mencegah kes buli dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” ujarnya.
27 Aug 25
126
Pulangan Hasil Penternakan, 400 Peserta e-Kasih Terima RM250
Pulangan Hasil Penternakan, 400 Peserta e-Kasih Terima RM250
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Seramai 400 peserta e-Kasih di seluruh Terengganu menerima sumbangan tunai RM250 seorang hasil keuntungan daripada sewaan premis veterinar dan projek penternakan yang diusahakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu menunjukkan hasil usaha penternakan yang dilaksanakan kerajaan negeri dapat dinikmati semula oleh rakyat. “Dana ini datang daripada hasil sewaan premis veterinar seperti reban ayam dan beberapa projek penternakan lain. “Apabila ada pulangan, kita agihkan semula agar semua dapat merasai manfaatnya,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini. Dr. Azman (Kiri) dan Maliaman (Tengah) Beliau turut memaklumkan, keuntungan bertambah selepas kerajaan negeri berjaya mengoperasikan semula beberapa reban ayam yang sebelum ini terbiar, termasuk Reban Baruh Masin di Besut, Reban Bukit Lawang di Setiu, Reban Bukit Nenasi di Kuala Nerus serta Reban Telaga Papan di Setiu. “Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri, malah membantu keluarga berpendapatan rendah untuk terus bertahan dan meningkatkan taraf hidup,” ujarnya.  
27 Aug 25
103
Pastikan Akses Keadilan Rakyat Kekal Percuma Berkualiti dan Bebas
Pastikan Akses Keadilan Rakyat Kekal Percuma Berkualiti dan Bebas
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menegaskan bahawa setiap rakyat miskin atau kaya berhak mendapat pembelaan sewajarnya apabila berdepan dengan undang-undang dan bukan sekadar terikat kepada jenama baharu atau pindaan undang-undang yang bersifat kosmetik. Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 di Dewan Rakyat tengah hari semalam, beliau memberi peringatan agar semangat asal Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) tidak diketepikan. Prinsip asasnya kata beliau adalah memberikan akses percuma kepada keadilan buat rakyat yang tidak berkemampuan tetapi dengan kualiti perkhidmatan guaman yang terjamin. Beliau membangkitkan beberapa kebimbangan berhubung rang undang-undang baharu itu yang dilihat memberikan kuasa terlalu besar kepada Menteri daripada penetapan kadar bayaran peguam panel fi permohonan sehingga tindakan disiplin tanpa mekanisme semak dan imbang yang bebas. “Besarnya kuasa menteri ini. Mengapa tidak diletakkan di bawah satu badan bebas Bagaimana kita mahu menjamin ketelusan” soal beliau. Beliau turut mempersoalkan kewajaran mengenakan fi ke atas pemohon bantuan guaman sedangkan tujuan asal undang-undang ini ialah membantu rakyat miskin. “Ini langkah yang agak regresif. Rakyat tidak kisah soal rebranding. Apa yang penting mereka mahu tahu sama ada mereka akan benar-benar mendapat pembelaan sewajarnya, ” tegasnya. Selain itu beliau menuntut ketelusan dalam mekanisme ujian kemampuan (means test) agar ia mengambil kira realiti kos sara hidup dan pendapatan boleh guna rakyat bukannya sekadar angka pendapatan kasar. Beliau turut menekankan kepentingan kualiti perkhidmatan guaman dalam panel yang dilantik. Beliau mencadangkan supaya latihan guaman berkala unit audit kualiti guaman dan garis panduan kelayakan peguam termasuk peguam syarie diwajibkan sebagaimana amalan sedia ada di bawah YBGK. “Jangan sampai panel peguam sekadar masuk untuk dapatkan elaun tetapi tanggungjawab guaman dibuat ala kadar, ” katanya sambil menggesa kerajaan memperincikan kadar bayaran peguam panel mengikut tahap kes termasuk kes berat seperti kes bunuh dan hukuman mati. Beliau juga menimbulkan persoalan berhubung prosedur rayuan di bawah Seksyen 67 yang boleh membuka ruang pihak lawan merayu membatalkan bantuan guaman yang diberikan kepada pemohon sesuatu yang dilihat bertentangan dengan semangat keadilan sosial. Che Mohamad Zulkifly menegaskan bahawa undang-undang ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai perubahan teknikal tetapi menyentuh soal prinsip bahawa semua rakyat berhak mendapat pembelaan di mahkamah tanpa campur tangan politik. “Pastikan roh asal YBGK dikekalkan iaitu akses rakyat miskin kepada peguam yang percuma berkualiti telus dan bebas daripada pengaruh politik, ” katanya
26 Aug 25
46
"Please Take Care of Our Turtles!" - Raja Muda Terengganu
"Please Take Care of Our Turtles!" - Raja Muda Terengganu
DUNGUN, 26 Ogos - "Please Take Care of Our Turtles!," itu mesej ringkas dititipkan oleh DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada papan kenyataan 'Mesej Untuk Penyu' ketika mencemar duli berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang, hari ini. Dalam lawatan kerja Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) ke pusat konservasi haiwan ikonik Terengganu itu, Baginda berkenan mendengar penerangan tentang sejarah penubuhan pusat tersebut dari Ketua  Daerah Perikanan Dungun, Abd Halim Mat Noor. Keberangkatan tiba Tengku Muhammad Ismail pada jam 10.00 pagi diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN Terengganu, Dato' Rosli Latif bersama Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang. Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Yang Dipertua Daerah, Lukema Meri Salleh, Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat dan Ketua Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Nurruhudayu Rani. Dalam kunjungan itu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu sempat mencemar duli meraikan kira-kira 30 anak-anak Tabika KEMAS Rantau Abang dan Rimbunan Kasih yang melakukan aktiviti mewarna di pusat terbabit. Selesai kunjungan di sana, Baginda turut berkenan melawat Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang. Pengarah IPP, Sharum Yusof menyampaikan fungsi institut berkenaan yang komited dalam pemuliharaan ekosistem marin negara kepada Tengku Muhammad Ismail menerusi pameran rangka dan dapatan spesies mamalia marin terancam. Lokasi lawatan kerja berakhir di ladang Rimbunan Kasih yang telah dipulihkan semula melalui anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC). Baginda berkesempatan melihat hasil tanaman Melon Manis Terengganu menggunakan teknik hidroponik yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat MCT Sdn Bhd menerusi Teras Bertindak Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.    
26 Aug 25
569
Kerajaan Terengganu Taja Empat Pelajar Lanjut Pengajian ke Beijing
Kerajaan Terengganu Taja Empat Pelajar Lanjut Pengajian ke Beijing
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu terus membuktikan komitmen melahirkan modal insan berkualiti apabila menaja sepenuhnya pengajian empat pelajar cemerlang ke Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dengan kos hampir RM1 juta keseluruhannya. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, berkata pelaburan besar itu adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri memberi akses pendidikan bertaraf antarabangsa kepada anak Terengganu. Katanya, tajaan berjumlah RM247,000 seorang itu merangkumi yuran pengajian, penginapan, permit residen, utiliti, insurans dan elaun sara hidup sepanjang tempoh 4.5 tahun.  “Mereka merupakan kumpulan pertama hasil Program Tahfiz Mandarin IMTIAZ Marang yang dilaksanakan sejak 2018, sekali gus membuktikan kejayaan pelaburan jangka panjang negeri dalam melahirkan pelajar dwi-kemahiran menguasai ilmu agama, bahasa dan profesional,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar Yayasan Terengganu ke BFSU, di Dewan Besar Yayasan Terengganu, hari ini. Menurutnya, empat pelajar terbabit ialah Ameer Sadiq Ahmad Lutfi, Shazarul Azree Jamaludin, Muhammad Harith Irfan M. Anuar dan Rabiatul Annisa Mohd Fousi, kesemuanya lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu Marang di bawah Program Tahfiz Mandarin. Tambah Satiful, mereka menjalani persediaan di INTEC Education College, UiTM Shah Alam sebelum memulakan pengajian asasi enam bulan di BFSU, seterusnya menyambung Ijazah Sarjana Muda selama empat tahun bermula Mac 2026. “Setakat ini kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta untuk biasiswa, RM1 juta melalui GLC dan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan, namun kos pengajian luar negara yang semakin tinggi menghadkan jumlah pelajar yang dapat dihantar setiap tahun. “Kumpulan pertama ini dihantar ke bidang perniagaan, manakala kumpulan seterusnya dijangka dalam bidang sains tulen, kejuruteraan dan sebagainya,” katanya. Menurut Satiful, kos pengajian setiap pelajar ditanggung melalui skim Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Terengganu, boleh bertukar menjadi biasiswa sekiranya pelajar mencapai kecemerlangan. “Insya-Allah, program penghantaran pelajar ke universiti-universiti di China ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang. “Setiap pelajar haruslah berusaha dengan gigih untuk terus cemerlang sepanjang tempoh berada di  BFSU China. Gunakanlah peluang keemasan ini dengan sebaiknya. Pelajarilah ilmu serta budaya untuk faedah agama, bangsa dan negara,” ujar Satiful. Dalam ucapannya, Satiful turut menasihatkan pelajar agar menjaga akhlak serta menjadi 'duta kecil' Terengganu dan Malaysia sepanjang berada di China. “Kejayaan anda bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk negeri dan negara. Pulanglah dengan ilmu, pengalaman dan sumbangan yang boleh membangunkan masyarakat kita,” tambahnya. Justeru itu, beliau berharap agar para pelajar pulang dengan membawa kejayaan cemerlang setelah tamat pengajian kelak dan dapat berkhidmat di negeri tercinta.
26 Aug 25
249
Ahli Parlimen Pembangkang Tolak URA, Desak Undi Belah Bahagian
Ahli Parlimen Pembangkang Tolak URA, Desak Undi Belah Bahagian
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) URA terus menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat. Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ahli-ahli Parlimen PN telah menerima memorandum bantahan daripada NGO yang menegaskan RUU itu bercanggah dengan kepentingan rakyat serta mencabuli kuasa kerajaan negeri. Menurut beliau, penolakan turut dizahirkan oleh empat Menteri Besar negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis melalui kenyataan rasmi Sekretariat Gabungan Negeri-negeri Pantai Timur (SG4) yang menolak keras RUU tersebut kerana menyentuh bidang kuasa negeri. Katanya, penegasan itu sekali gus menafikan dakwaan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa kerajaan negeri menyokong RUU berkenaan. “Penolakan ini membuktikan kenyataan Menteri KPKT bercanggah dengan realiti sebenar,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini. Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan Infrastruktur dan Pengangkutan yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis turut mengesyorkan agar RUU URA tidak diteruskan ke bacaan kali kedua. Jelas beliau, perkara tersebut membuktikan bantahan bukan sahaja datang daripada kerajaan negeri, malah juga daripada wakil rakyat yang menyedari implikasi besar RUU tersebut terhadap sistem pentadbiran negara. RUU URA kini dianggap antara rang undang-undang paling kontroversi apabila majoriti rakyat dan pelbagai pihak menzahirkan penolakan secara terbuka. Takiyuddin menegaskan, sekiranya RUU itu tetap dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 28 Ogos ini, Ahli-ahli Parlimen PN akan mendesak supaya undi belah bahagian dijalankan bagi merekodkan dengan jelas pendirian setiap Ahli Parlimen. “Ini penting agar rakyat dapat melihat sendiri siapa yang menyokong dan siapa yang menolak RUU tersebut,” katanya.
26 Aug 25
326
Hak Pemilik Tanah Terjejas, Empat Negeri Tolak URA 2025
Hak Pemilik Tanah Terjejas, Empat Negeri Tolak URA 2025
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Negeri-Negeri SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) menegaskan pendirian menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 (URA) yang akan dibentangkan untuk Bacaan Kali Kedua di Parlimen 27 Ogos ini. SG4 dalam satu kenyataan memaklumkan, RUU berkenaan jika diluluskan akan menjadi suatu undang-undang yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, dijangka akan memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat. “Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] yang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif Negeri yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. “Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selaras dengan dasar kerajaan sesebuah Negeri serta keperluan, sikap dan budaya penduduk setempat. “Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya,” ujar kenyataan tersebut, hari ini.  Menurut kenyataan tersebut, pelaksanaan URA juga dilihat boleh menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi yang sedia ada dalam bandar terutamanya kaum Melayu dan bumiputera.  “Tambahan pula URA tidak memperincikan mekanisma pampasan dan perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah dan ia dibimbangi berkemungkinan akan menjejaskan imbangan kaum dan pemilikan hartanah terutama bumiputera di bandar-bandar. “Negeri-Negeri SG4 amat bimbang tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas, pelaksanaan URA akan mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar-bandar sekaligus menjejaskan keharmonian negara,” ujarnya. Jelas kenyataan tersebut, undang-undang sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, dengan pelaksanaan secara berfokus dan penambahbaikan yang perlu dan wajar boleh menangani isu-isu berbangkit khususnya bagi tujuan pembangunan semula, penjanaan dan penyegaran semula bandar tanpa keperluan terhadap URA.  
26 Aug 25
190
Ingati Tanah Air Umat Islam Belum Merdeka - Dr. Khalil
Ingati Tanah Air Umat Islam Belum Merdeka - Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak melupakan nasib saudara seagama di seluruh dunia yang masih belum menikmati kemerdekaan, khususnya rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, meskipun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan sejak lebih enam dekad lalu, perjuangan menentang penjajahan belum berakhir bagi umat Islam di bumi lain. "Negara kita telah mencapai kemerdekaan, tetapi Palestin masih belum merdeka. Apa yang kita lalui dalam sejarah tanah Melayu sangat hampir dengan apa yang mereka hadapi di bumi Palestin. "Jika kita pernah dijajah British, Palestin juga dijajah British. Penjajah British bawa agenda penghijrahan dan penempatan. Mereka bawa orang-orang Yahudi daripada Eropah, mereka tempatkan di Palestin," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapannya bagi Program Briskwalk Jiwa Merdeka 2025 sempena sambutan bulan kemerdekaan di Dataran Batu Buruk, pagi semalam. Menurutnya, umat Islam perlu menzahirkan rasa syukur dengan kemerdekaan tanah air bukan sahaja dengan mengingati pengorbanan pejuang terdahulu, malah dengan menyokong perjuangan umat Islam yang masih ditindas di negara lain. "Maka, kita sebagai rakyat dan bangsa yang telah merdeka, kita juga mestilah mengingati rakan-rakan kita, saudara-saudara kita yang hari ini sedang berjuang untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah. "Khususnya apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestin, di Gaza, Tebing Barat, Jenin dan lain-lain lagi. Yang setiap hari dibunuh, dibantai, tidak mengira kanak-kanak, wanita, orang tua. "Dalam video beberapa hari yang lepas, sangat menyayatkan hati bagaimana seorang pejuang Palestin digilis dengan kereta kebal. Tapi mereka tetap berjuang sehinggalah ketitisan darah yang terakhir gugur syahid. Dalam pada itu, Dr. Khalil turut menegaskan untuk mempertahankan perjuangan nenek moyang menjadikan perlembagaan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia, khususnya bagi generasi muda pada hari ini. "Alhamdulillah berkat perjuangan datuk nenek moyang kita, mereka berjaya menghalau penjajah. Hasil perjuangan mereka, Islam berjaya diletakkan sebagai agama negara yang menjadi agama persekutuan. "Perlembagaan dibentuk dan diletakkan Islam sebagai agama negara. Itu yang mesti kita pertahankan, khususnya kepada generasi muda pada hari ini," pesannya. Pada masa sama, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut serta berdoa agar keamanan negeri Terengganu dan negara Malaysia terus terpelihara.  
26 Aug 25
72
Ahmad Samsuri Umum Pertahan Jawatan Naib Presiden PAS
Ahmad Samsuri Umum Pertahan Jawatan Naib Presiden PAS
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan akan mempertahankan jawatan yang disandangnya dalam pemilihan bulan depan. Dalam kenyataannya, Menteri Besar Terengganu itu menzahirkan penghargaan kepada semua kawasan PAS di seluruh negara yang mencalonkan beliau untuk terus berada di barisan kepimpinan tertinggi parti. “Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan saya. Saya akur dan menerima harapan ahli-ahli PAS di pelbagai peringkat untuk saya terus berkhidmat,” ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau turut menjelaskan bahawa ketika ini semua calon yang dicalonkan diberi tempoh masa untuk membuat pertimbangan sama ada menerima atau menolak pencalonan tersebut. “Sekarang masa untuk semua calon membuat keputusan. Ada tempoh yang ditetapkan dan saya, sebagai penyandang jawatan (incumbent), insya-Allah akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS,” katanya. Pemilihan PAS kali ini dijangka menjadi tumpuan selepas PAS muncul sebagai parti utama yang memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat sebelum telah mengumumkan senarai calon yang layak bertanding bagi pemilihan jawatan parti untuk sesi 2025/2027 dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kekal tanpa pertandingan. Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diumumkan sebagai calon tunggal jawatan Presiden, manakala Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man kekal sebagai calon tunggal jawatan Timbalan Presiden. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dalam kenyataan, senarai berkenaan melibatkan jawatan di peringkat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda serta Dewan Muslimat.
26 Aug 25
94
Punca Kehilangan Ikan Kelah Terungkai
Punca Kehilangan Ikan Kelah Terungkai
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Misteri kehilangan ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir sejak beberapa minggu lalu bukanlah disebabkan oleh kehadiran haiwan pemangsa sebaliknya ia dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penemuan pukat di kawasan berkenaan menjadi petunjuk jelas bahawa ikan tersebut ditangkap secara haram untuk dibawa keluar. "Dalam tinjauan tadi saya terserempak dengan pukat, dan memang sah ia berukuran empat inci.  "Pukat itu tidak ada di tempat lain, hanya di kawasan (santuari) ini. Pada pemikiran saya, ia digunakan untuk menangkap ikan kelah untuk dibawa keluar," katanya kepada pemberita selepas meninjau Santuari Kelah, semalam. Menurut beliau, anggaran sebanyak 50 sehingga 60 peratus populasi ikan kelah telah merosot di kawasan itu - menjadi indikator bahawa aktiviti penangkapan dilakukan secara agresif. "Sekarang kita boleh nampak pasir dekat bawah, maknanya ikan itu ada selapis sahaja. "Yang tinggal sekarang kebanyakannya ikan muda dan kecil. Ikan induk besar hanya ada beberapa ekor sahaja.  "Malah kita dapat lihat ada kesan luka pada kepala beberapa induk besar akibat tebaran jala. Ini menunjukkan ia ditangkap secara ganas. Jadi ini yang boleh (menyebabkan ikan) hilang," jelasnya. Dalam pada itu, Razali turut menegaskan kehadiran memerang yang didakwa menjadi punca utama adalah tidak relevan kerana faktor tersebut tidak begitu signifikan. "Memerang itu, baru-baru ini sahaja yang ada memerang. Tapi memerang tu dia binatang. "Dia tidak akan menjadi habitat tetap yang mengganggu begitu lama. Pada saya, memerang hanyalah serpihan sahaja. Yang saya syak betul-betul adalah aktiviti manusia," ujarnya. Mengulas lebih lanjut, pihaknya juga akan berbincang bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan pemegang taruh Tasik Kenyir untuk mengambil tindakan selanjutnya. "Sebab kita nampak ada satu laluan sahaja. Kalau ada satu laluan sahaja untuk mengeluarkan ikan kelah daripada santuari dan kita juga ada beberapa sekatan. "Kalau sekatan tu ketat, saya tak jangka ikan kelah ni dapat dikeluarkan. Sebab masa dulu pernah tertangkap seorang yang bawa ikan kelah letak dalam beg, tertangkap. "Tapi saya tidak mahu tuduh pada siapa-siapa. Tapi saya akan berbincang dan kalau perlu kita laporkan kepada polis untuk buat siasatan," tambahnya.
26 Aug 25
661