lightning-solid
Berita :
Jaminan Pemulihan Santuari Kelah, Pelancong Tidak perlu Bimbang
Jaminan Pemulihan Santuari Kelah, Pelancong Tidak perlu Bimbang
Ahmad Zaeem Zainudin
26 Aug 25
310

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa usaha pemuliharaan ikan kelah di Tasik Kenyir akan dipergiatkan, sekali gus memastikan Santuari Kelah terus kekal sebagai tarikan pelancongan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pelancong tidak perlu bimbang kerana Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berpengalaman luas dalam menguruskan habitat ikan tersebut.

"Pelancong jangan risau kerana KETENGAH ini pengalaman dia sudah lama macam mana nak bela ikan kelah ni. 

"Saya ingat dah lebih daripada 30 tahun ataupun dekat-dekat dengan 30 tahun. Daripada ada beberapa ekor, KETENGAH boleh wujudkan sehingga ribuan ekor," katanya.

Menurut beliau, KETENGAH telah mengambil langkah segera dengan membuang platform di kawasan santuari tersebut dan mengehadkan aktiviti pelancong bagi memulihkan populasi kelah.

"KETENGAH telah mengambil perjalanan dan menghentikan lawatan ke santuari dan mula belaan baru dan hari ini baru kita nampak selepas tiga minggu ikan kelah menghampiri lubuk asal.

"Jadi sekarang ni kalau kita lihat KETENGAH terus mengambil inisiatif buang platform dan tak benarkan pelancong duduk dekat sini. Maka kita dapat lihat hari ni ada ratusan ekor.

Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menjalankan satu tinjauan di kawasan santuari kelah, hari ini.

Beliau turut menegaskan, antara perubahan yang bakal dilaksanakan termasuk larangan aktiviti mandi bersama kelah yang sebelum ini menjadi tarikan utama.

"Apa yang saya difahamkan oleh pihak KETENGAH, ikan kelah ini sangat manja sebenarnya.Tapi dulu oleh kerana ikan ini terlampau banyak dia (pelancong) boleh terjun, boleh mandi (dalam santuari). 

"Tapi bila ada sahaja tangan-tangan ghaib dan SOP (tatacara pengendalian piawai) yang sangat longgar maka, untuk yang kehadapan saya cadangkan kepada KETENGAH supaya ketatkan lagi SOP. 

"Tidak boleh mandi lagi, hanya boleh hulur kaki dan pegang sahaja (ikan kelah) di atas platform. Dan insya-Allah tahun depan kita akan buat SOP baru," ujarrnya.


Artikel Berkaitan