lightning-solid
Berita :
Dua Projek Solar RM1.2 Bilion Dibangunkan di Kemaman
Dua Projek Solar RM1.2 Bilion Dibangunkan di Kemaman
Mastura Jamal Din
10 Sep 25
908

KUALA LUMPUR, 10 September – Pimpinan Ehsan Berhad memaklumkan dua projek solar berskala besar (LSS) di Kemaman, Terengganu dengan kapasiti gabungan 400 megawatt arus ulang-alik (MWac) akan dibangunkan melalui anak syarikat tenaga boleh baharunya, reNIKOLA Holdings Sdn Bhd, bersama Anglo-Eastern Plantations plc dari United Kingdom.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata jumlah pelaburan kedua-dua projek di bawah program LSS5+ kerajaan itu dianggarkan bernilai RM1.2 bilion.

Katanya, lapor DagangNews.com, projek pertama membabitkan pembinaan loji berkapasiti 250 MWac oleh konsortium yang terdiri daripada reNIKOLA, RE Chenderong Sdn Bhd dan Anglo-Eastern Plantations.

Projek kedua pula ialah loji berkapasiti 150 MWac yang akan dilaksanakan oleh Antara Hijauan Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh reNIKOLA, bersama Anglo-Eastern Plantations.

Menurut Pimpinan Ehsan, pemberitahuan penyenarai pendek bagi projek berkenaan diterima daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 Sept lepas.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebelum ini memaklumkan projek-projek LSS5+ yang berjaya akan membekalkan tenaga kepada grid nasional untuk tempoh konsesi 21 tahun dengan penyambungan dijangka antara 2027 dan 2028.

Pimpinan Ehsan mengambil alih reNIKOLA pada 2021 sebagai sebahagian daripada transformasi kumpulan itu kepada pemain tenaga boleh baharu.



 


Tag :

Artikel Berkaitan