KUALA NERUS, 8 September - Di sebalik kemenangan skuad Ragbi Terengganu dalam aksi sulung Piala Agong 2025 kelmarin tersemat satu rahsia pada jersi yang digunakan para pemain Terengganu.
Rekaan jersi berwarna hitam putih itu memaparkan motif Pucuk Rebung tersebunyi dan motif songket tradisional Terengganu yang direka dan ditaja Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) khusus bagi skuad 'Sang Penyu' mengharungi Piala Agong 2025.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pihak yayasan, rekayasa jersi berkenaan dizahirkan sebagai identiti Ragbi Terengganu yang membawa simbol ketabahan, kerjasama dan kebanggaan Terengganu.
"Usaha menyatukan dinamik ragbi dan keindahan seni nongkat, kita bukan sekadar mengenakan pakaian kepada atlet, tetapi juga melengkapkan mereka denga sebuah cerita.

"Setiap jalinan benang akan membisikkan warisan kita kepada dunia, menjadikan para pemain sebagai duta jiwa Terengganu," jelas kenyataan terbabit.
Secara amnya, rekaan terbaru itu bertujuan melestarikan warisan asli kaftangan songket yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
YTNZ memahami bahawa budaya tidak hanya terpelihara dalam muzium, sebaliknya ia hidup apabila ditenun dalam masa kini.
"Jersi lebih daripada sekadar uniform; ia adalah warisan yang bergerak. Bersama-sama, kita boleh memberikan Terengganu satu simbol yang lebih kekal daripada trofi, iaitu kebanggaan yang tidak akan lekang," menurut kenyataan itu.