KUALA TERENGGANU, 8 September – Sambutan Inspirasi Citra Merdeka 2025 yang berlangsung di Pusat Sains Kreativiti Terengganu disambut meriah dengan pengisian pelbagai aktiviti berbentuk riadah, sukan tradisional dan gaya hidup sihat, sekali gus mencetus suasana penuh semangat patriotik.
Majlis pelepasan Fun Walk disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim.
Menurut Hishamuddin, sambutan seumpama itu bukan sahaja memperkukuh semangat cintakan tanah air, malah mampu menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Program ini amat bermakna buat semua peserta kerana ia bukan sekadar menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, bahkan mendidik masyarakat untuk memilih aktiviti sihat dan bermanfaat.
“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya,” katanya.

Turut serta memeriahkan acara ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.
Antara aktiviti yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk sepak raga bulat, galah panjang dan congkak yang dikendalikan oleh pihak Muzium Negeri Terengganu.
Tidak ketinggalan, cabaran tuju gol, memanah dan aktiviti berkuda yang memberi peluang kepada belia serta kanak-kanak merasai pengalaman baharu dalam suasana santai namun berteraskan nilai patriotisme.
Sambutan Inspirasi Citra Merdeka 2025 turut diiktiraf sebagai platform berkesan dalam memupuk perpaduan, mengenang jasa pejuang kemerdekaan serta menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat negeri ini.
