KUALA TERENGGANU, 7 September – Projek Ladang Solar Skala Besar (LSS) bernilai RM800 juta di Setiu kini melangkah ke fasa pelaksanaan selepas menerima kelulusan rasmi daripada Suruhanjaya Tenaga.
Selepas lebih setahun di peringkat perancangan, projek berimpak tinggi itu disahkan apabila konsortium JAKS Power Holdings menerima dua Surat Pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga pada 2 September lalu.
Menurut perancangan, konsortium berkenaan bersama rakan strategik dari China, China Power Engineering Consulting Group International Engineering Co. Ltd (CPEEC) akan membangunkan dua loji solar berkapasiti 99.99MW setiap satu di Setiu, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 200MW.
“Bagi tujuan tersebut, sebuah syarikat tujuan khas akan ditubuhkan untuk menandatangani perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB),” jelas JAKS seperti dilaporkan NST.
Projek ini akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
Pada Julai 2024, anak syarikat kerajaan negeri, TDM-YT Plantation Sdn. Bhd., telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JAKS Solar Power Holdings Sdn. Bhd. bagi membangunkan ladang solar di Lembah Bidong.
Projek tersebut melibatkan pelaburan RM800 juta di kawasan seluas 700 hektar dengan kapasiti 200MW.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan projek itu sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, selain memperkukuh kedudukan Terengganu dalam agenda tenaga boleh baharu negara.
Pengerusi TDM-YT Plantation, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, sebelum ini menjangkakan kerjasama tersebut mampu memberi pulangan tetap sekitar RM1 juta setahun kepada syarikat berkenaan.
Beliau juga optimis projek itu bakal membuka peluang kepada rakyat tempatan dalam aspek pekerjaan, keusahawanan serta latihan kemahiran, seiring aspirasi negeri ke arah pembangunan mapan.