lightning-solid
Berita :
Semangat Permainan Tradisional Mampu Jalin Perpaduan
Semangat Permainan Tradisional Mampu Jalin Perpaduan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
09 Sep 25
91

KUALA TERENGGANU, 9 September - Usaha menghidupkan kembali permainan-permainan tradisional dalam komuniti dilihat mampu menjana perpaduan lebih erat di kalangan ahli masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sukan dan permainan rakyat bukan sekadar monumen atau paparan di muzium semata-mata, sebaliknya konsep permainan yang dimainkan secara beramai-ramai oleh pelbagai golongan itu perlu diturunkan ke lapangan dan dihidupkan supaya asas yang dibina dalam masyarakat ada kekuatan tersendiri.

"Terima kasih kepada pihak Muzium Negeri Terengganu (MNT) atas inisiatif untuk menghidupkan permainan tradisional supaya sampai kepada masyarakat.

"Dalam komuniti antara perkara sangat penting juga kalau kita boleh kembalikan konsep gotong-royong. Ini kerana ia akan merapatkan hubungan dalam kejiranan. Jiran-jiran mari membantu, mereka bukan sekadar buat kerja tetapi juga bersembang, bercerita, bermain bergurau dan dari situ timbul kolaborasi dalam masyarakat.

"Dari sudut perpaduan, ada suatu yang disebut mediator iaitu penghubung antara ahli komuniti supaya masyarakat kembali berhubungan. Mereka tidak berbalah cuma tidak berhubung dan hidup dengan cara mereka sendiri. Jadi apabila tidak berhubung, kemungkinan pergeseran boleh berlaku.

"Usaha yang dilakukan pihak muzium ini merupakan sebahagian inisiatif supaya konsep permainan tradisional sampai bukan sekadar yang kita hendak tunjuk dan mengekalkan tradisi, sebaliknya bertujuan mengembalikan kesan kewujudannya yang ternyata memberikan impak sangat besar kepada kesatuan dalam komuniti.

"Itulah asasnya, jika di peringkat komuniti lagi tidak bersatu, bagaimana kita ingin membina perpaduan di peringkat negara?," katanya melontarkan persoalan, ketika ditemui selepas menyempurnakan program Muzium Bersama Masyarakat di Kampung Budaya Terengganu, semalam. 

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengarah MNT, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan), Raja Faisal Raja Haron.

Program sehari itu menampilkan pelbagai demonstrasi dan aktiviti sukan tradisional seperti Kaki Hantu, pembuatan Serunai Daun Nyior dan Gasing Tradisional Terengganu, selain penyediaan makanan tradisional seperti Laksa Terengganu, kuih Akok Terengganu, Opok-opok dan Loklik.

 

 

 


Tag :

Artikel Berkaitan