lightning-solid
Berita :
Dr Sam Jumpa Johari, Perkukuh Kerjasama
Dr Sam Jumpa Johari, Perkukuh Kerjasama
Adli Mohamad
09 Sep 25
113

KUALA TERENGGANU, 9 September - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengunjungi Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian untuk mengukuhkan kerjasama strategik.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, pihaknya telah mewakili Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) untuk memberikan taklimat semasa mengenai yayasan tersebut.

"Taklimat (diberikan) kepada YB Menteri mengenai peranan dan inisiatif YPASM dalam bidang penyelidikan, pemuliharaan alam sekitar serta kerjasama strategik ke arah kelestarian sumber asli negara.

"Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin kepada hubungan strategik yang lebih erat pada masa depan," ujarnya melalui satu kenyataan melalui facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga penaung YPASM bertitah kedudukan Malaysia di tangga 36 daripada 200 negara dalam penerbitan kertas saintifik merupakan bukti pencapaian dan sumbangan dalam memahami bumi ini.

"Bagaimanapun, beta ingin menekankan bahawa untuk memastikan penyelidikan berkembang maju di Antartika, kita perlu memahami rangka kerja dasar yang merangkumi peruntukan tahunan untuk menyokong usaha-usaha penyelidikan di Antartika secara berterusan.

"Dengan minat yang semakin meningkat terhadap penyelidikan dalam perubahan iklim yang berkaitan dengan kawasan kutub, dana penyelidikan yang mampan penting bagi mengukuhkan program penyeludukan kutub kita," titah baginda ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia (MISA) di Bangi. 

Pada majlis itu juga, Sultan Mizan turut berkenan menganugerahkan geran penyelidikan berjumlah RM800,000 kepada tujuh penyelidik melalui kerjasama inisitif perkongsian pintar atara YPASM dan 10 universiti tempatan.


Artikel Berkaitan