Artikel "Sukan" Terkini
Kelantan 'Rampas' Kejuaraan National 7s 2025
KUALA NERUS, 27 Julai - Skrip berbeza ditampilkan dalam saingan terbuka lelaki Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) 2025 apabila juara bertahan tahun lalu, Johor tumpas kepada pasukan pantai timur, Kelantan dalam perlawanan akhir sebentar tadi.
Kelantan mendahului 10-5 pada separuh masa pertama dalam aksi sengit antara kedua-dua pasukan.
Memasuki separuh masa kedua, Johor tidak menunggu lama untuk melakukan satu try dan menyempurnakan conversion bagi mendahului 12-10.
Pada minit terakhir perlawanan, Kelantan berjaya melakukan satu try dan conversion menerusi pemain kebangsaan, Amar Zamri sekaligus menutup kebangkitan Johor dengan skor 17-12.
Menurut jurulatih Kelantan, Mohamad Syarif Sudin, pasukannya berjaya membawa pulang kembali piala National 7s selepas tujuh tahun.
"Tahun 2018 di Ipoh adalah kali terakhir kita bawa pulang piala dan Alhamdulillah, kita berjaya bawa kembali piala ke Kelantan kali ini.
"Kita menduduki tempat ketiga pada tahun 2023. Manakala, tahun lalu kita hanya dapat hantar pasukan junior untuk bermain di kategori terbuka lelaki.
"Kemenangan ini amat besar (maknanya) untuk negeri Kelantan, di bawah exco yang baru ramai pemain bersemangat kembali bermain untuk Kelantan.
"(Ragbi) Kelantan bermula dengan landasan yang baik. Insya-Allah, kita akan kekalkan momentum ini untuk ke peringkat seterusnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tadi.
Dalam pada itu, pasukan Kelantan turut menduduki tempat ketiga bagi kategori bawah 21 tahun lelaki.
Kelantan membawa pulang hadiah berupa piala dan piala pusingan National 7s, pingat dan wang tunai RM5,000.
27 Jul 25
213
Terengganu Tuan Rumah Sirkit Para Ping Pong Kebangsaan
KUALA NERUS, 27 Julai – Terengganu buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran acara sukan berprestij, Sirkit 2 Para Ping Pong Kebangsaan Allianz-MSN-TTAM 2025 yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus bermula 23 hingga 27 Julai.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Allianz Malaysia serta Persatuan Ping Pong Para Malaysia (TTAM) itu berjaya menarik penyertaan seramai 108 atlet para dari seluruh negara, kecuali Kuala Lumpur dan Perak.
Kejohanan yang mempertandingkan 16 kategori terbuka ini membabitkan penyertaan atlet berkeperluan intelektual (AI) dan fizikal, sekali gus menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat baharu selain menguji tahap persediaan atlet menghadapi temasya bertaraf lebih besar.
Pengarah Bahagian PARA MSN, Joherman Amir, yang turut hadir memeriahkan kejohanan berkata, penganjuran di Terengganu mencerminkan perkembangan positif sukan para negara dan wajar dimartabatkan sebagai antara acara utama dalam kalendar PARA kebangsaan.
“Prestasi atlet sangat membanggakan. Ini membuktikan bahawa sukan ping pong para semakin berkembang pesat dan berpotensi untuk terus diberi perhatian serius dalam pembangunan sukan OKU di Malaysia,” katanya dalam sidang media.
Turut hadir, Presiden Persatuan Ping Pong Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohd Asamudin A. Rahman.
Pemilihan Ar-Riyadah Residence sebagai venue utama penganjuran disifatkan tepat kerana kemudahan mesra OKU yang kondusif serta sokongan logistik yang baik, menjadikan kejohanan ini antara yang paling teratur dan inklusif setakat ini.
Penganjuran sirkit ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi Terengganu sebagai penganjur bertaraf tinggi, malah menegaskan komitmen negeri ini dalam memperkasa pembangunan sukan OKU secara progresif dan holistik.
26 Jul 25
220
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Skuad ragbi wanita Terengganu membuktikan potensi pemain akar umbi masih 'berkuasa' apabila membuka tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) dengan dua kemenangan meyakinkan, meskipun tidak dibarisi pemain kebangsaan bertaraf elit.
Beraksi dalam kategori Wanita Terbuka, pasukan tuan rumah yang rata-ratanya terdiri daripada bekas pemain Sukan Malaysia (SUKMA) terdahulu mempamerkan keserasian tinggi apabila menewaskan Melaka 46-00 sebelum membenam Sarawak 50-00 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Pengurus pasukan, Ahmad Sujairi Johari berkata, kejayaan hari pertama itu adalah hasil keyakinan pasukan terhadap kekuatan dalaman yang dibentuk sejak dari peringkat remaja.
"Kami tidak meletakkan skuad wanita Terengganu ini selaku pasukan pilihan bagi National 7s kali ini di mana kami hanya membariskan bekas-bekas pemain SUKMA terdahulu termasuk beberapa pemain lain untuk melengkapkan pasukan ini. Juga pasukan kami tidaklah didominasi oleh pemain-pemain berstatus kebangsaan.
"Melihat pada keputusan perlawanan hari pertama ini, komunikasi serta keserasian dalam pasukan menjadi kelebihan buat kami ketika ini.
"Cabaran sebenar untuk kami adalah pada keesokkan hari bagi penentuan peringkat kumpulan sebelum mara ke penentuan akhir pada Ahad ini," ujarnya.
Prestasi cemerlang ini dilihat sebagai cerminan kepada keberkesanan program pembangunan sukan wanita di Terengganu yang konsisten melahirkan bakat-bakat berdaya saing walaupun tanpa pendedahan antarabangsa secara langsung.
Meskipun tanpa status sebagai pasukan pilihan, skuad wanita Terengganu kini dilihat memiliki semangat dan momentum yang tepat untuk mencipta kejutan.
26 Jul 25
397
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan (7s) Kebangsaan 2025 secara rasmi dibuka dan dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai, di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai itu menghimpunkan 41 pasukan dari seluruh negara berentap dalam empat kategori utama membabitkan lelaki dan wanita terbuka serta bawah 21 tahun.
Sebanyak 139 perlawanan dijadualkan sepanjang tiga hari kejohanan, dengan melibatkan seramai 656 pemain dan pegawai pasukan, dibantu oleh 38 pegawai kejohanan.
Antara pasukan yang mengambil bahagian termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Sarawak, serta wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pulau Pinang dan Sabah merupakan dua negeri yang tidak menghantar wakil bagi edisi kali ini.
Hari pertama menyaksikan pasukan Johor, Selangor dan Terengganu membuka langkah kanan dalam perlawanan sulung masing-masing. Dalam kategori Wanita Terbuka, Selangor memberi amaran awal kepada pencabar apabila membelasah Sarawak 48-0 dalam perlawanan yang berlangsung seawal jam 8 pagi.
Aksi penuh keyakinan dan disiplin terserlah dalam setiap gerakan serangan Selangor yang tidak memberi ruang langsung kepada Sarawak untuk mencipta mata.
Sementara itu, dalam kategori Lelaki Terbuka, juara bertahan Johor meneruskan momentum kejayaan apabila menundukkan Negeri Sembilan dengan keputusan 14-0.
Kecekapan barisan belakang dan kekentalan pertahanan Johor menjadi pemisah ketara antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung pada jam 9.03 pagi.
Dalam kategori Bawah 21 Tahun Wanita, Johor sekali lagi mencuri tumpuan apabila membelasah Pahang 38-0. Kemenangan besar ini menjadi indikator awal bahawa skuad pembangunan negeri selatan itu berada dalam kelas tersendiri untuk edisi kali ini.
Bagi tuan rumah Terengganu pula, semangat bermain di laman sendiri disalurkan dengan baik oleh skuad Lelaki Bawah 21 Tahun mereka yang berjaya menewaskan Melaka 27-7.
Kejohanan ini turut menjadi pentas penting bagi pemilihan skuad kebangsaan ke Kejohanan Asia dan kelayakan ke temasya antarabangsa akan datang, termasuk peluang memburu emas di Sukan SEA yang kian hampir.
25 Jul 25
65
Klinik Perubatan Wildan Rakan Penaja Terbaharu Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Terengganu FC (TFC) terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuhkan aspek kesihatan dan kebajikan pemainnya apabila menjalin kerjasama strategik bersama Klinik Perubatan Wildan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerjasama itu dimeterai menerusi satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Klinik Perubatan Wildan dan TFC Sdn Bhd yang berlangsung di Hotel Grand Puteri, kelmarin.
Menerusi memorandum tersebut, Klinik Perubatan Wildan komited untuk menyediakan pelbagai bentuk sokongan dengan nilai keseluruhan mencecah RM155,000.
"Kerjasama yang diberikan oleh Klinik Perubatan Wildan ialah dalam bentuk peralatan fisioterapi, ubat-ubatan, pemeriksaan kesihatan dan khidmat panel penjagaan yang pastinya akan membantu dalam melancarkan lagi operasi TFC.
"Seiring dengan kerjasama ini juga, Klinik Perubatan Wildan secara rasmi menyertai keluarga penaja Terengganu FC melalui Pakej Penajaan Silver.
"Ia satu langkah signifikan dalam jalinan hubungan strategik antara sektor kesihatan dan industri bola sepak di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya, sebentar tadi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli, Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB positif dan yakin bahawa MoU itu mampu untuk memperkukuh penjenaam Klinik Perubatan Wildan.
"Kami amat mengharapkan agar pakej ini bukan sahaja memberikan kelebihan dari sudut penjenamaan, tetapi juga meluaskan jaringan promosi Klinik Perubatan Wildan melalui platform rasmi dan aktiviti kelab di sepanjang musim, InsyaAllah.
"Terima kasih diucapkan kepada Klinik Perubatan Wildan atas sokongan berterusan dalam memperkukuhkan aspek kesihatan dan kebajikan pasukan Terengganu FC," ujarnya.
Hishamuddin berharap agar jalinan kerjasama itu akan terus berpanjangan dan berkembang dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, TFC menyatakan kerjasama tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada para pemain TFC, menandakan sokongan penuh mereka terhadap inisiatif penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan profesional bagi memastikan prestasi optimum di dalam dan luar padang.
"Kerjasama ini juga dijangka memberi impak yang signifikan terhadap prestasi dan kesejahteraan pemain dalam jangka masa panjang.
"Sejajar dengan visi TFCSB untuk terus melangkah ke hadapan sebagai kelab bola sepak yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan serantau," kata mereka dalam satu kenyataan, semalam.
24 Jul 25
83
Terengganu International Esport Showdown 2025 Platform Promosi Sukan Digital
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kejohanan Terengganu International Esport Showdown 2025 menjadi platform dalam mempromosi budaya dan diplomasi sukan digital kepada semua peserta, khususnya pemain luar negara.
Presiden Persatuan Esport Malaysia Terengganu (ESMT), Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani berkata, dengan mengetengahkan nilai 'Terengganu Hospitality' , acara ini diharap bakal mengisi kalendar pelancongan negeri.
“Insha Allah, saya berharap kejohanan bertaraf antarabangsa ini akan dimasukkan ke dalam kalendar rasmi e-sukan antarabangsa,” katanya.
Kejohanan berprestij ini merupakan edisi pertama kejohanan e-sukan antarabangsa yang dianjurkan di luar Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu dipilih sebagai lokasi penganjurannya.
Seramai 504 peserta dari seluruh negara termasuk sembilan negara luar merangkumi Indonesia, Laos, Thailand, Brunei, Myanmar, Jepun, India dan Nigeria telah mengambil bahagian menjadikannya antara acara e-sukan terbesar di Malaysia setakat ini.
Tiga permainan dipertandingkan merangkumi E-football, Mobile Legends Bang Bang (MLLB) dan PUBG Mobile.
Sementara itu, pemain e-sukan muda berbakat, Ahmad Muhaimin Abd Razak, 20, dari Selangor atau lebih mesra di sapa Minbappe mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Terengganu International Esport Showdown 2025, sekaligus membawa pulang hadiah utama bernilai RM10,000.
Minbappe mempamerkan kehebatan luar biasa sepanjang kejohanan, menewaskan beberapa pemain profesional antarabangsa sebelum muncul juara mutlak.
Kejayaan Ahmad Muhaimin menjadi bukti bahawa Malaysia mempunyai bakat muda yang mampu bersaing di pentas dunia menjadi satu petanda positif untuk masa depan e-sukan negara.
22 Jul 25
317
Pemain Ragbi Muslim Tutup Aurat di National 7s 2025
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Kesatuan Ragbi Malaysia menerusi laman Facebook rasminya, Malaysia Rugby mengeluarkan kenyataan arahan bahawa semua pemain lelaki dan wanita yang beragama Islam yang bakal beraksi di Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) pada 25 hingga 27 Julai ini, diwajibkan untuk memakai seluar ketat (legging) atau (tight) panjang ketika beraksi.
Menurut Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Amir Amri Mohamad, tindakan itu diputuskan sebagai usaha pihak penganjur menggalakkan pematuhan syariah selaras dengan nilai dan budaya setempat.
"Perkara pertama, menutup aurat adalah wajib bagi individu Muslim. Jadi, kami (penganjur) memutuskan untuk menambah peraturan ini dalam garis panduan ditetapkan Kesatuan Ragbi Malaysia.
"Peraturan ini juga akan turut diguna pakai di mana-mana kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia dan juga sebarang kejohanan yang melibatkan kesatuan ini," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.
Tambahnya, garis panduan pemakaian itu akan diguna pakai bermula dalam kejuaraan yang bakal berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus pada hujung minggu ini.
Dalam pada itu, tindakan penganjur mendapat sambutan baik di kalangan penggemar sukan ragbi tempatan yang tampil memberikan komentar terhadap keputusan tersebut.
Antaranya, pengguna Facebook Cikgu Sfadzli memuji tindakan penganjur yang meletakkan syarat mesra dan patuh syariah ketika beraksi.
Pengguna akaun Facebook Shahrih Shah pula berharap agar keputusan itu dipermudahkan dengan cadangan dan sokongan pihak-pihak lain. Manakala, Facebook Mukti Al Jarumi turut berharap keputusan itu dicontohi badan-badan sukan lain di Malaysia.
20 Jul 25
108
CEO : Penyokong Terengganu Perlu 'Trust The Process'
KUALA NERUS, 15 Julai - Hasrat penyokong untuk melihat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC masih tidak kesampaian apabila kelibatnya masih tidak kelihatan dalam sesi Dialog dan Soal Jawab Terengganu FC, semalam.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB), Hishamuddin Abdul Karim bagaimanapun meminta peminat pasukan pantai timur itu bersabar dan percaya kepada proses yang sedang berlangsung.
"Kita telah lakukan temuduga tertutup. Ada dua calon yang merupakan ahli korporat. Insya-Allah, seorang akan jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan salah seorang lagi kita akan serap menjadi pengarah dalam ahli lembaga TFCSB.
"Kedua-duanya hebat belaka, kami akan maklumkan selepas rundingan antara pihak pentadbiran dengan kedua-dua mereka. Jangan gopoh," pesannya kepada sebahagian penyokong yang hadir dalam sesi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu.
Menurut Hishamuddin, CEO yang dilantik akan kepada pembangunan syarikat dan membentuk budaya korporat dalam kelab Terengganu FC.
"Apa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka? Pertama, kita mahu dia memulihkan struktur kelab. Kita kena urus sebagai syarikat korporat yang menjadi kelab bola sepak yang ada nama. Tanggungjawabnya buat 'networking' dengan kelab luar, dalam masa sama ada jiwa bola sepak yang sebati untuk faham perjalanan pengurusan kelab ini.
"Kedua, hendak semak hutang-hutang dan menyusun semula tanpa bebankan kerajaan negeri dan kita boleh pulihkan syarikat dengan berwibawa. Ini KPI yang kita akan tetapkan," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu turut memaklumkan kepada pemberita yang hadir, dijangkakan individu terbabit akan diumumkan menjelang akhir Julai ini dan mungkin akan memulakan tugas pada Ogos.
Pada sesi yang dihadiri sebahagian penyokong tegar gergasi pantai timur itu, turut diadakan pertandingan sepakan penjuru dan sepakan percuma sebagai aktiviti mengukuhkan hubungan antara pentadbiran TFCSB dan penyokong.
15 Jul 25
855
24 Pasukan Berentap Rebut Piala ADUN Seberang Takir
KUALA NERUS, 15 Julai - Sebanyak 24 pasukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir bakal berentap lagi bagi merebut piala YB ADUN Seberang Takir 2025 bagi Kejohanan Bolasepak 11 sebelah yang dijadualkan berlangsung 8 Ogos nanti.
Pengarah Program, Mohd Ariffin Abd. Ghafor berkata, kejohanan dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Seberang Takir dengan NGO sukan setempat itu akan diadakan di beberapa padang dalam DUN Seberang Takir.
"Kejohanan yang dinantikan ini merupakan temasya tradisi yang diadakan setiap tahun.
"Tahun ini beberapa syarat diubah. Syarat utamanya seperti tahun-tahun lalu adalah yang pemain adalah mesti menutup aurat dan alhamdulillah, kejohanan sebelum ini kita menerima maklum balas positif daripada pasukan masing-masing,” katanya kepada pemberita.
Menurut Mohd Ariffin lagi, jumlah sedikit bertambah, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 beserta piala dan medal, naib johan RM1,000 manakala tempat ketiga dan keempat RM500 serta medal.
"Harapan saya agar kejohanan ini akan berlangsung dengan baik dan tanpa berlaku kejadian yang tidak diingini," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pengurus pasukan yang bakal bertanding, Muhammad Adam berkata, kejohanan ini sangat dinanti dan amat wajar diadakan bahkan lebih besar pada masa akan datang.
"Pertandingan seperti ini wajar diadakan demi mencungkil bakat-bakat muda bagi mewakili ke peringkat lebih tinggi.
"Terengganu tidak ketandusan bakat-bakat baharu, kita tengok anak Terengganu ramai bermain bersama di liga domestik," ujarnya.
Sepak mula kejohanan akan disempurnakan oleh ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat.
15 Jul 25
103
Terengganu Terus Komited Memperkasa Pembangunan Sukan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkasa pembangunan sukan melalui pelbagai inisiatif di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) demi memastikan kelangsungan prestasi atlet dan kemudahan sukan yang mampan serta inklusif.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus MSNT yang dipengerusikannya pada Selasa lalu.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tahun ini untuk melaksanakan beberapa projek penting, termasuk menaik taraf Litar Latihan MiniGP dan Pocket Bike, serta pembinaan baharu gelanggang futsal, pickleball dan sukan padel.
“Pembangunan sukan di Terengganu bukan sahaja memberi fokus kepada atlet elit, malah turut merangkumi penyediaan infrastruktur yang memberi manfaat kepada pembangunan akar umbi dan generasi muda,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas beliau, pihaknya turut membincangkan persediaan awal kontinjen negeri bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARASUKMA Selangor 2026.
Sehubungan itu katanya, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan dan segala perancangan akan dikemas kini secara berterusan.
Tambahnya lagi, program sukan berprestasi tinggi bagi atlet Para juga akan dikendalikan oleh MSNT, sebagaimana arahan terkini daripada KBS.
“Walaupun begitu, kerjasama erat bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) akan terus diperkukuh dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet para yang berpotensi.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan JBSNT atas sokongan berterusan mereka.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi persekutuan amat penting bagi memastikan Terengganu kekal cemerlang dalam bidang sukan dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara,” katanya.
13 Jul 25
342