lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

300 Sertai Memanah Piala ADUN Sura
300 Sertai Memanah Piala ADUN Sura
DUNGUN. 17 Ogos - Lebih 300 peserta dari seluruh Terengganu menyertai Kejohanan Memanah Piala ADUN Sura Terbuka Terengganu, yang memasuki edisi kali kedua penganjurannya di padang Kampung Padang Jambu. Pelbagai kategori dipertandingkan termasuk Tradisional Cilik Lelaki dan Perempuan, Tradisional Remaja, Recurve bawah 12 tahun, Recurve bawah 17 tahun, Tradisional Dewasa Lelaki dan Perempuan, serta Barebow Dewasa Lelaki dan Perempuan. Lebih menarik, penganjur turut menyediakan hadiah khas bagi busana terbaik, menjadikan kejohanan kali ini lebih meriah berbanding tahun lalu yang hanya menampilkan dua kategori sahaja. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, penganjuran sukan sunnah itu berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat daripada peringkat cilik hinggalah dewasa. “Alhamdulillah, tahun lalu kita hanya mula dengan dua kategori sebagai percubaan. Tahun ini, sambutan sangat menggalakkan dengan penyertaan mencecah lebih 300 orang. Ini bukti masyarakat kita semakin minat dengan aktiviti memanah. “Kita mahu jadikan memanah ini bukan sahaja sebagai sukan sunnah, tetapi juga medan yang menyatukan masyarakat. Paling membanggakan apabila melihat kanak-kanak kecil pun sudah berani memegang busur dan cuba melepaskan panah,” katanya ketika ditemui sewaktu kejohanan berlangsung di sini, semalam. Menurutnya, kejohanan ini bukan sekadar medan mencari pemenang, sebaliknya menjadi ruang didikan awal buat anak-anak kecil yang mula berani mengangkat busur sebagai langkah pertama mereka dalam arena sukan.    
16 Aug 25
44
366 Hari Getir Untuk Terengganu Tunjuk Nelang
366 Hari Getir Untuk Terengganu Tunjuk Nelang
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Berbaki 365 hari menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor, kontinjen SUKMA Terengganu digesa melipat gandakan usaha bagi menghadapi temasya sukan terbesar kebangsaan itu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, mengambil kira pencapaian SUKMA 2024 yang lalu di Sarawak menunjukkan petanda bahawa kontinjen perlu berkerja keras dalam sama-sama untuk kembali menjadi juara. "Tiada istilah mustahil dalam perjuangan ini, kerana tempoh setahun ini adalah masa terbaik untuk memperkemas dan melaksanakan secara serius strategi-strategi yang telah kita gariskan. Dalam masa yang sama, strategi tambahan perlu dirancang dan dilaksanakan supaya kita sentiasa berada di depan berbanding pesaing-pesaing kita. "Para jurulatih perlu memainkan peranan yang penting dan rapi supaya kita mampu mengatasi mereka menjelang kejohanan sebenar nanti. Latihan-latihan perlu dirancang secara serius dan strategi yang digunapakai sebelum ini perlu dipatuhi terutamanya kehadiran latihan mestilah mencapai sekurang-kurangnya 85%. "Pengurus pasukan dan jurulatih perlu memantau dengan lebih mendalam prospek lawan dari negeri-negeri lain. Di samping itu, perlu juga dibuat penilaian dan perbandingan menyeluruh bagi pasukan-pasukan yang telah dikenalpasti atlet-atlet sasaran pingat mereka. Inilah masanya mereka diberikan latihan yang berkualiti supaya sasaran mampu dicapai," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Selangkah Mencipta Gemilang - Misi Emas Bermula bagi Kontinjen Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya lagi, usaha luar biasa itu turut dipantau Panel Penilai Prestasi Atlet SUKMA (Presma) yang digerakkan bagi melakarkan gerak langkah kontinjen untuk bangkit semula pada SUKMA kali ini. "Selepas dari SUKMA Sarawak tempoh hari kami terus menggerakkan jawatankuasa Presma yang diketuai Ibni Amin Busu dan disertai pakar-pakar yang dilantik secara rasmi untuk meneliti secara keseluruhan dan menyusun perancangan gerak kerja latihan kepada para atlet. "Tanpa dinafikan, semua kontinjen bersaing hebat dengan Terengganu, jadi kita tidak boleh pandang mudah dan buat yang terbaik," ujarnya. Dalam majlis berkenaan, Hishamuddin dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia turut menyempurnakan pelancaran logo dan slogan 'Terengganu Nelang' yang akan digunakan sebagai laungan pembakar semangat kontinjen. Majlis turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya. Sebagai rekod, SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 34 jenis sukan dengan 30 sukan wajib dan empat sukan pilihan iaitu Catur, Kabadi, E-Sukan dan Kriket. Hishamuddin juga memaklumkan, masih ada lagi cadangan sukan tambahan oleh Sekretariat SUKMA Selangor iaitu sukan Silambam, Muaythai dan Petanque. Katanya, ketiga-tiga sukan tambahan itu akan diputuskan dalam mesyuarat khas yang akan diadakan esok.
13 Aug 25
159
UniSZA International Youth Cup 2025 Himpun Bakat Muda Antarabangsa
UniSZA International Youth Cup 2025 Himpun Bakat Muda Antarabangsa
KUALA NERUS, 13 Ogos - Lebih 72 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam UniSZA International Youth Cup 2025 yang membuka tirai pertandingan, 13 hingga 17 September ini. Berlangsung di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, kejohanan anjuran Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM 30,000.00 yang mempertaruhkan empat kategori iaitu Bawah 14 tahun, Bawah 12 tahun, Bawah 10 tahun dan Bawah 8 tahun. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Professor Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff Che Abdullah menjelaskan, penyertaan pasukan peringkat usia di bawah 14 tahun sehingga lapan  tahun ke bawah turut melibatkan pasukan luar negara termasuk dari Indonesia dan Singapura. "UniSZA melalui Akademi Bola Sepak UniSZA Soccer Kids mengambil inisiatif selaku penganjur di atas semangat tanggung jawab sosial untuk mengangkat martabat akademi-akademi bola tempatan ke pentas yang lebih tinggi sekaligus memberi cabaran baharu untuk bakat-bakat muda secara lebih kompetitif. "Situasi ini secara tidak langsung memberi hala tuju jelas buat setiap pelatih mahupun akademi itu sendiri untuk memberi galakan dan keyakinan kepada generasi baru mahupun ibu bapa dan penjaga itu turut sama terlibat di dalam ekosistem pembangunan sukan yang mampu membina karektor mahupun sahsiah anak-anak mereka. "Kekuatan UniSZA selaku tuan rumah adalah kemudahan di pusat sukan universiti ini diiktiraf oleh badan-badan induk sukan dunia sekaligus menjadi tambah nilai yang terbaik untuk penganjuran sulung ini," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan, semalam. Tambahnya, penganjuran kejohanan bola sepak berstatus antarabangsa ini merupakan yang pertama kali seumpamanya melihat IPT sebagai tuan rumah di negeri-negeri pantai timur ini. "penganjuran kejohanan bola sepak antarabangsa ini nanti dilihat mampu menjadi pentas terbaik buat setiap pelatih-pelatih dari akademi kami dan juga lain-lain akademi mahupun bakat-bakat muda tempatan untuk meraih penanda aras baharu buat mereka," ujarnya.    
12 Aug 25
98
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
BESUT, 9 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh agenda pelancongan sukan udara dengan memacu Bukit Bubus di Tembila sebagai hab bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Terengganu International Air Festival (TIAF), yang disasar mencapai kemuncak pada Tahun Melawat Terengganu 2027. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran tahun ini merekodkan penyertaan sembilan negara melibatkan 66 peserta, sekali gus melonjakkan status TIAF daripada acara nasional kepada antarabangsa. "Bila sudah melebihi lima negara, kita boleh angkat program ini sebagai antarabangsa. "Tahun hadapan Bukit Bubus akan jadi tuan rumah kepada Liga Negara-Negara Asia dan World Cup Paragliding," katanya pada sidang media selepas merasmikan TIAF 2025 di Besut Paragliding Park, Bukit Bubus, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin. Menurutnya, sokongan terhadap TIAF selari dengan komitmen negeri memposisikan Terengganu sebagai destinasi sukan ekstrem dan berprestij di rantau ini. "Ini melambangkan negeri Terengganu menyokong sukan-sukan yang ekstrem dan juga berprestij. "Sukan ini juga adalah 'signature event' negeri Terengganu di bawah Jabatan Pelancongan Negeri," jelasnya. Bagi memperkukuh daya saing penganjuran, kerajaan negeri memperuntukkan RM20,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengindahan kawasan Bukit Bubus, selain berusaha mendapatkan tambahan RM50,000 bagi menaik taraf infrastruktur termasuk cadangan memperkenalkan aktiviti rock climbing pada Air Festival 2026. "Kita mahu adakan sukan rock climbing untuk menambahkan lagi acara pada Air Festival 2026. "Kita akan mengangkat lagi supaya menjadi lebih besar menjelang 2027," tambah beliau. Razali turut menggesa Majlis Daerah Besut memastikan fasiliti dan imej kawasan sentiasa berada pada tahap terbaik. "Saya minta YDP Besut menceriakan lagi tempat ini, beberapa gerai usang itu perlu dibaik pulih. "Kebersihan juga adalah satu produk pelancongan negeri Terengganu," tegasnya. Beliau optimis penganjuran berskala antarabangsa itu akan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, terutama peniaga kecil dan pengusaha tempatan. "Dengan program seperti ini, ia akan memberi manfaat kepada sosioekonomi setempat. "Bila festival ini diangkat ke peringkat antarabangsa, makin ramai lagi yang akan dapat manfaat," katanya.
09 Aug 25
946
Kasma Daniel Tawan Litar Terengganu
Kasma Daniel Tawan Litar Terengganu
KUALA NERUS, 3 Ogos - Pelumba Petronas Sprinta Yanaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin, 25 tidak menyangka mampu memenangi perlumbaan kategori CP150, kelas tertinggi dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Terengganu. Kasma menang dengan catatan masa 22.41.557 meninggalkan pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran di tempat kedua dan Danial Syahmi Ahmad Shahril di kedudukan ketiga. Jelasnya, saingan sengit dari Afif yang lebih serasi di halaman sendiri memberikan cabaran getir kepadanya. "Alhamdulillah, saya tidak jangka boleh menang, sasaran saya cuma podium kali ini disebabkan Afif agak cemerlang di kampung halamannya. "Saya cuma kekalkan tunggangan dan konsisten 'lap time', Alhamdulillah akhirnya saya sampai juga pada Afif dan dia ada sedikit kesilapan membolehkan saya memintas pada dua pusingan terakhir," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Piala kejuaraan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim di Litar Permotoran Terengganu, semalam. Perlumbaan kategori CP150 kali ini dihiasi kemalangan pada pusingan keempat menyaksikan bendera merah diangkat dan perlumbaan dihentikan buat sementara. Menurut Kasma, insiden berkenaan hamoir menjejaskan tumpuannya. "Sebelum 'red flag', saya rasa motosikal saya mampu memberi saingan, tetapi selepas itu saya agak kecewa sebab saya takut perlumbaan kedua (sambungan) tidak menjadi. "Alhamdulillah, saya berjaya menang di sini, kampung halaman isteri saya," ujarnya. Kedudukan terkini menyaksikan Kasma berada di kedudukan kedua keseluruhan selepas lima pusingan dengan 72 mata. Manakala, Afif masih mendahului dengan 115 mata secara keseluruhan.
03 Aug 25
319
Litar Cukup Rasa, Kasma Daniel Harap Cuaca Tambah Rencah Perlumbaan
Litar Cukup Rasa, Kasma Daniel Harap Cuaca Tambah Rencah Perlumbaan
KUALA NERUS, 1 Ogos - Pelumba Petronas Sprinta Yanaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin, 25, menyifatkan Litar Permotoran Terengganu 'cukup rasa' bagi pelumba kapcai sepertinya. "Bagi saya litar ini cukup rasa kerana ada teknikal, ada 'high speed corner' dan 'corner' patah. "Trek ini cukup sempurna untuk perlumbaan motosikal kapcai yang mana aspek keselamatannya dan jalannya juga cukup baik," katanya yang ditemui selepas sesi kelayakan dalam saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, hari ini. Pada sesi kelayakan terakhir tadi, Kasma Daniel berjaya mencatatkan masa terpantas kategori CP150 dengan catatan 49.098, sekaligus melayakkannya bersaing dalam Superpole, pagi esok. Anak kelahiran Johor itu turut berharap cuaca pada perlumbaan esok 'menyebelahinya' dalam usaha beliau menunjukkan prestasi terbaik pada pusingan kelima ini. "Pagi tadi agak panas terik, litar agak sukar juga. Kalau cuaca berterusan (kurang panas) begini, mungkin esok lebih ramai pelumba dapat menunjukkan sesuatu (dalam perlumbaan). "Kalau cuaca seperti panas pagi, Alhamdulillah. Saya mengharapkan cuaca okey esok, tetapi kalau hujan layan sajalah," ujarnya. Terengganu menjadi tuan rumah pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berlangsung sehingga esok.  Buat masa ini, pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, mendahului kedudukan keseluruhan kategori CP150, kelas tertinggi dalam arena Cub Prix apabila merangkul empat kemenangan dan satu kedudukan kedua, menjadikan dirinya pendahulu carta kejuaraan.    
01 Aug 25
130
PERKESO Challenge Uji Kemahiran Pengunjung di Cub Prix Terengganu
PERKESO Challenge Uji Kemahiran Pengunjung di Cub Prix Terengganu
KUALA NERUS, 1 Ogos - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat julung kalinya mengadakan PERKESO Challenge bersama Motowazi dengan menawarkan hadiah berupa helmet, barangan motosikal dan goodies kepada para pengunjung Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Gong Badak, hari ini. Jurulatih Keselamatan Perjalanan PERKESO, Mohd Radzi Ramli memaklumkan, sesi cabaran itu menjdi salah satu aktiviti kepada pengunjung yang berminat untuk melakukan cabaran 'time attack' dan melengkapkan sesi tunggangan motosikal di bawah tiga minit bagi merebut hadiah terbaik. Radzi menyerahkan hadiah kepada salah seorang pengunjung yang berjaya menyelesaikan sesi cabaran. "Kami adakan sesi pagi dan petang sepanjang dua hari kejohanan, bagi pengunjung yang datang untuk kita kongsi ilmu menunggang motosikal dengan berhemah. "PERKESO berkerjasama dengan lagenda pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid yang mempunyai banyak pengalaman dalam sukan permotoran. "Kita tahu pelumba sepertinya memiliki kelebihan teknik, membuat keputusan dalam masa pantas dan pemerhatian yang baik. "Kita bukan hendak ajar berlumba, tetapi ingin kongsikan kemahiran seperti ketepatan mata, posisi badan dan teknik yang dimiliki para pelumba untuk tujuan keselamatan penunggang motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi program di kawasan parkir kereta Litar Permotoran Terengganu, hari ini. Tambahnya, pengunjung boleh menyertai program tersebut secara percuma.  Motowazi kongsi ilmu permotoran bersama pengunjung yang menyertai sesi cabaran.   Dalam pada itu, Wazi yang merupakan pengasas Motowazi menyifatkan, program berkenaan merupakan usaha yang baik dilakukan pihak PERKESO. "Inilah kecantikan sukan bermotor, orang melihat cuma aksi di dalam litar tetapi kita sebenarnya terikat dengan semua elemen keselamatan. "Pasukan motowazi hari ini, semuanya bekas pelumba dan berpengalaman menjadi juara, jadi di sini kami ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa aspek keselamatan menjadi titik tolak kejayaan dalam sukan ini. "Objektif kita hendak perkenalkan pemanduan berhemah. Kita buat satu cabaran untuk mereka dapat menilai sendiri tahap kemampuan menunggang motosikal mereka," ujarnya.      
01 Aug 25
122
Terengganu FC Terima Bas Baharu
Terengganu FC Terima Bas Baharu
KUALA NERUS, 29 Julai – Terengganu FC (TFC) menerima sebuah bas rasmi serba baharu berwarna hitam daripada TRA Holidays Sdn Bhd, sekaligus mengukuhkan kerjasama jangka panjang lima musim antara syarikat pengangkutan dari Pulau Pinang itu dan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).  Bas tersebut tiba ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pagi ini selepas merentasi Banjaran Titiwangsa, simbol komitmen dan semangat untuk TFC menjelang sepak mula Liga Malaysia Ogos nanti. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang juga Pengerusi TFCSB, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah penting memperkukuh logistik pasukan.  "Pagi ini menandakan satu lagi urusan penting dalam usaha memperkukuhkan struktur dan keperluan logistik pasukan," katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TFCSB dan syarikat TRA Holidays Sdn Bhd di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan TRA HOLIDAYS SDN BHD, Danial Tan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB, Tengku Seri Bijaya Raja, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain. Beliau turut memaklumkan bahawa TRA Holidays dilantik sebagai penaja kategori Silver dan penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim.  "Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan TRA Holidays Sdn Bhd sebagai rakan penaja kategori Silver bagi musim 2025/2026. "Kita mengharapkan TRA Holidays akan jadi penyedia perkhidmatan pengangkutan rasmi pasukan bagi tempoh lima musim ke hadapan," ujarnya. Tambah Hishamuddin, TRA Holidays turut dikenali sebagai penaja pengangkutan rasmi Penang FC, dan kini mengorak langkah ke Pantai Timur bersama skuad Hitam Putih. Perlawanan pertama TFC akan bermula pada 10 Ogos menentang Penang FC di tempat lawan, sebelum kembali ke SSMZA bertemu PDRM FC lima hari kemudian. TFC juga bakal bertemu Imigresen FC dalam pusingan 16 Piala FA. Kerjasama ini turut diiktiraf sebagai bukti sokongan bukan sekadar kepada sukan, tetapi kepada semangat yang mendasarinya.  "Kerjasama ini mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak negeri. "Saya percaya melalui sokongan padu daripada syarikat seperti TRA Holidays, TFC mampu mara bukan sahaja dari segi pencapaian tetapi juga kestabilan pengurusan dan kewangan," tambah beliau. Sementara itu, Pegawai Operasi TRA Holidays Sdn Bhd, Nur Safwan Md Salleh menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu.  "Petang semalam kami bertolak daripada Pulau Pinang, membelah Banjaran Titiwangsa untuk berada di majlis pagi ini, itu satu kebanggaan kami untuk Terengganu FC" katanya. Beliau menjelaskan bahawa penajaan ini bukan sekadar urusan di atas kertas tetapi satu ikatan emosional bersama penyokong.  "Penajaan ini bukanlah hanya satu kerjasama di atas kertas atau jersi, tapi ia adalah komitmen jangka masa panjang.  "Kami percaya bila kita sokong pasukan seperti TFC, kita bukan sahaja sokong sukan, tapi sokong semangat, perjuangan dan harapan yang dibawakan oleh pemain dan penyokong," jelasnya.  
29 Jul 25
329
Tour Gateh D' Tranung 2025 Kembali Jelajah Seluruh Terengganu
Tour Gateh D' Tranung 2025 Kembali Jelajah Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Tour Gateh D' Tranung (TGDT) 2025 akan kembali menampilkan perlumbaan di kesemua lapan daerah di seluruh negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berbanding lima daerah pada tahun lalu, penganjuran kali ini melibatkan lapan daerah membabitkan jarak keseluruhan sepanjang  910.5 kilometer. "Kejohanan kita akan bermula pada 26 Oktober sehingga 3 November bermula di Kuala Nerus dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai lokasi peringkat terakhir. "Penyertaan negara luar buat masa ini amat menggalakkan di mana kita telah menerima banyak pasukan-pasukan baru, melebihi jumlah yang kita tetapkan," katanya. Tambahnya, setakat ini sebanyak 12 pasukan iaitu pasukan Kebangsaan Thailand, Indonesia, Filipina dan Hong Kong, Grant Thornton Cycling Team (Thailand), Jakarta Pro Cycling Team (Indonesia), Asc Monster Indonesia, Standard Insurance Philippines Continental, Velofit  Australia, Global Cycling Team (Belanda), Specialized Mavericks Singapore, Asia Cycling Team (Jepun), Ride Revolution Coaching (United Kingdom) dan CCN Factory Racing Hong Kong. Beliau berkata demikian ketika sidang media TGDT 2025 di Wisama Darul Iman, hari ini. Hadir sama dalam pertemuan itu adalah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya dan Setiausaha Persatuan Lumba Basikan Terengganu (PLBT), Ahmad Sabri Mustafa. Menurut Hishamuddin, antara faktor utama yang 'memikat' minat pelumba luar negara adalah keindahan negeri Terengganu sendiri, selain rakyatnya yang ramah dan kebanyakan pengguna jalan raya di sini memahami keperluan acara berbasikal. "Ini semua memberikan keselesaan untuk pelumba beraksi di Terengganu walaupun penganjuran ini tidak meletakkan mata dalam ranking pasukan. "Peningkatan peringkat perlumbaan juga diputuskan setelah kita mengambil maklum balas daripada peserta sebelum ini," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Shahrizal memaklumkan, penglibatan pasukan tempatan terpaksa dibuat melalui pemilihan berikutan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan penyertaan maksimum 25 pasukan sahaja bagi setiap kejohanan.    
28 Jul 25
838
Selangor Kekal Ratu National 7s 2025
Selangor Kekal Ratu National 7s 2025
KUALA NERUS, 27 Julai - Selangor mempertahankan gelaran juara terbuka wanita dalam Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s ) 2025 apabila menewaskan pasukan tuan rumah, Terengganu dalam perlawanan akhir sebentar tadi. Pada aksi di Stadium Tengku Muhammad Ismail itu, Selangor melakukan lima try dan dua conversion menumpaskan Terengganu, yang tampil buat kali pertama dalam kategori itu dengan mata 29-0. Juara bertahan itu unggul dengan tiga try pada separuh masa pertama, sebelum melenyapkan harapan Terengganu untuk bangkit dengan 14 mata pada separuh masa kedua. Selangor turut mengungguli kategori wanita bawah 21 tahun selepas menewaskan Terengganu, juga dengan skor 29-0. Pasukan itu membawa pulang hadiah kejuaraan berupa piala, pingat dan hadiah wang tunai RM3,000.  
27 Jul 25
73