Artikel "Sukan" Terkini
TFC Berbelanja Sederhana Hadapi Musim Baharu
KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Terengganu FC (TFC) tampil sebagai sebuah pasukan yang berbelanja sederhana namun berjiwa besar dalam menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang bakal bermula Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, TFC sedang giat menjalani persiapan rapi menjelang sepak mula liga.
“Tahun ini kita tampil sebagai pasukan ‘underdog’, berbelanja secara sederhana dan mengukur baju di badan sendiri.
“Namun, semangat juang kita tetap tinggi. Sokongan daripada semua pihak amat diperlukan agar semangat ini terus menyala hingga ke penghujung musim,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Mengulas mengenai siri perlawanan pramusim yang sedang berlangsung, Hishamuddin menyifatkannya sebagai pentas penting untuk membina keserasian dari segi teknikal dan taktikal antara pemain.
“Yang paling utama, pemain berjaya mendapatkan minit permainan yang mencukupi sebelum menghadapi saingan liga yang panjang.
“Amat positif apabila ketua jurulatih memberi kepercayaan kepada pemain tempatan baharu seperti Baqiuddin Shamsudin dan Saiful Jamaluddin, termasuk pemain gantian, Khalaif Naskam.
“Bagi pemain import, hanya seorang diturunkan dalam kesebelasan utama, manakala separuh masa kedua menyaksikan kemunculan pemain import baharu yang turut mempamerkan prestasi memberangsangkan,” katanya.
Tambah beliau, aksi persahabatan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) turut membuktikan bahawa TFC masih memiliki sokongan peminat yang kukuh, dengan kehadiran penonton yang memberangsangkan.
“Ini memberi petanda positif bahawa fan base TFC masih kuat, dan saya amat menghargai kehadiran penyokong ke stadium.
“Kita masih di fasa awal, dan cabaran sebenar akan bermula apabila liga bermula Ogos nanti. Pasukan memerlukan beberapa lagi aksi persahabatan bagi memperkukuh persediaan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar pasukan tidak memandang ringan kemampuan lawan, kerana setiap pasukan lain juga sedang melakukan persediaan rapi dan mampu memberikan saingan sengit.
11 Jul 25
217
Tapak BMX Dungun Bakal Dinaik Taraf
DUNGUN, 9 Julai – Tapak BMX (Motocross Basikal) Dungun yang pernah melahirkan beberapa atlet berbasikal peringkat kebangsaan bakal dinaik taraf dalam masa terdekat bagi menjamin keselesaan serta keselamatan atlet tempatan menjalani latihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan beberapa kekurangan di tapak tersebut termasuk isu kebersihan dan ketiadaan tempat berteduh untuk para atlet, khususnya semasa cuaca hujan.
“Tapak ini memang terbukti berjaya lahirkan atlet peringkat negeri dan negara. Tapi sayangnya, kawasan ini masih belum dibangunkan secara lebih wajar. Kita juga terima laporan ada pihak buang sampah sembarangan sehingga jejaskan suasana latihan.
“Kita akan minta Majlis (daerah) ambil tindakan dari segi penguatkuasaan kebersihan dan cadang untuk bina tempat berteduh supaya atlet dapat teruskan latihan walaupun dalam keadaan hujan,” katanya sewaktu lawatan ke tapak BMX Dungun, hari ini.
Lawatan ke tapak berkenaan turut disertai pihak Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Pejabat Daerah dan Tanah Dungun serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi meninjau keadaan sebenar.
Tambahnya, kawasan itu juga akan dilengkapi dengan penghadang untuk mengelakkan kenderaan berat memasuki laluan latihan dan merosakkan trek sedia ada.
“Bukan sekadar naik taraf, kita mahu tempat ini dijaga supaya terus jadi pusat pembangunan sukan berbasikal untuk anak muda Dungun,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Lumba Basikal Daerah Dungun, Amran Abdullah turut menyuarakan kebimbangan yang sama dan berharap tindakan segera dapat diambil agar kawasan tersebut kekal kondusif untuk latihan dan pembangunan bakat baharu.
“Tapak ini memang jadi tempat latihan utama atlet-atlet muda di Dungun. Sayangnya, keadaan sekeliling tidak dijaga dan kadang-kadang ada kenderaan berat masuk tanpa kawalan. Harap sangat pihak berkuasa ambil tindakan segera,” katanya ketika ditemui selepas sesi tinjauan.
Pengerusi Persatuan Lumbak Basikal Daerah Dungun, Amran Abdullah, menunjukkan keadaan tapak BMX Dungun.
09 Jul 25
641
Dua Stadium Utama Terengganu Dalam Proses Penambahbaikan
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Dua stadium utama negeri, iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), kini sedang menjalani proses penambahbaikan yang melibatkan aspek padang dan sistem pencahayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi SSMZA dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi SSINS.
“Padang SSMZA kini berada dalam fasa akhir kerja menaik taraf sistem saliran, manakala rawatan rumput sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kerja menaik taraf sistem saliran dijangka siap sepenuhnya penghujung Julai ini, sementara kerja rawatan semula rumput padang sedang berjalan secara berfasa.
Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap aspek pencahayaan lampu limpah di stadium tersebut.
“Usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan tahap pencahayaan lampu limpah di SSMZA dapat dinaik taraf dan melepasi piawaian minimum ditetapkan. Kita mahu pastikan semua aspek teknikal memenuhi standard semasa,” jelasnya.
Beliau memberi jaminan akan terus memantau perkembangan penyelenggaraan kedua-dua stadium tersebut agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk pembangunan sukan negeri.
“Insya-Allah, saya akan berikan perhatian terbaik terhadap kedua-dua venue ini melalui pengurusan MSNT untuk SSMZA dan MBKT bagi SSINS. Sama-sama kita doakan semua urusan dipermudahkan oleh Allah SWT,” tambahnya.
Mengulas perlawanan persahabatan pramusim antara Terengganu FC dan Penang FC yang berlangsung malam tadi di SSINS, Hishamuddin menyifatkannya sebagai penuh nostalgia buat penyokong setia bola sepak negeri. “Venue perlawanan di SSINS menggamit memori indah penyokong Terengganu. Kedudukan tempat duduk yang dekat dengan padang memberi keselesaan menonton dan suasana yang cukup nostalgik,” ujarnya.
09 Jul 25
3741
Tengku Muhammad Ismail 'Labuh' Tirai Kejohanan Kuda Lasak
SETIU, 6 Julai - DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah sempena hari terakhir Kejohanan Kuda Lasak Yang di-Pertuan Muda Terengganu 2025, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park(TIEP) itu mempertandingkan dua kategori pemula iaitu Contor Endurance National (CEN) sejauh 40KM dan 80KM serta dua kategori bertaraf mak iaitu Contor Endurance International (CEI) bertaraf satu bintang (CEI2*100KM CIM) dan CEIYJ (Young Junior) 100KM serta taraf dua bintang (CEI2*120KM CIM).
Selain atlet kuda lasak tempatan, perlumbaan selama empat hari itu turut disertai jaguh kuda lasak dari Thailand dan Singapura.
Bagi kategori utama CEI 120KM, Mohd Norsyafriman Azlan dari Royal Kelantan Endurance (RKE) muncul juara dengan catatan masa 6:40:50.
Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000, pakej pembakaan kuda Arab bernilai RM3,000 dan pakej kelas bersama Jurulatih Johari yang bernilai RM450 selain pingat dan piala.
Sementara itu, bagi kategori 'junior', atlet dari Singapura, Ilham Nada Muhammad Herman dinobatkan sebagai juara dengan catatan masa 9:19:20.
Beliau menerima hadiah piala, wang tunai RM1,400 dan pakej kelas bersama jurulatih Johari.
Dalam majlis tersebut, DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu diiringi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut berkenan menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang setiap kategori.
Tengku Muhammad Ismail berangkat pulang dari majlis pada jam 10.00 pagi.
06 Jul 25
746
10,000 ‘Y Suku’, ‘Y16’ Gegar Litar Gong Badak
KUALA NERUS, 29 Jun – Lebih 10,000 pemilik motosikal Yamaha Y15ZR (Y Suku) dan Yamaha Y16ZR (Y16) dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Gong Badak semalam sempena penganjuran Cara Geng Y Members 2.0 yang berlangsung dengan penuh meriah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Kerajaan Negeri Terengganu amat mengalu-alukan kehadiran peserta yang datang dari pelbagai negeri untuk menyertai acara komuniti permotoran tersebut.
“Terima kasih atas kehadiran semua pemilik Y Suku dan Y16 ke negeri Terengganu. Semoga segala urusan permusafiran sepanjang berada di sini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya ketika hadir menyantuni peserta.
Menurut beliau lagi, pihak kerajaan berharap setiap peserta yang hadir menerima layanan baik daripada rakyat Terengganu serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negeri ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan program tersebut untuk kali kedua, serta berharap agar sebarang kelemahan sebelum ini telah diperbaiki.
“Sekiranya Terengganu terus menjadi tuan rumah pada masa akan datang, kita harap penganjuran ini dapat dipertingkatkan lagi dan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada semua peserta,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup program, turut diserikan dengan hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta jenama Range Rover, lima buah motosikal Y Suku dan Y16, serta pakej melancong ke Turki dan mengerjakan umrah.
Dalam ucapannya, Hishamuddin turut menitipkan nasihat agar para peserta sentiasa menjaga adab, tatasusila dan mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.
“Sepanjang bermusafir, carilah masjid atau surau untuk kita jadikan tempat sujud kepada Allah sebagai tanda kehambaan.
“Mudah-mudahan ia menjadi saksi di hari akhirat bahawa kita pernah singgah ke rumah Allah SWT ketika berada di negeri Terengganu, dan melabuhkan dahi merendah diri kepada-Nya, sebagai tanda kepatuhan kepada Pemilik segala-galanya,” ujarnya.
29 Jun 25
2080
Festival Memanah Terbuka Asia 2025 Raikan Sunnah di Pentas Antarabangsa
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Festival Memanah Owl 916 Terbuka Asia 2025 membuka tirainya secara rasmi pagi tadi di Padang Polo, Terengganu Equestrian Resort (TER), dengan menghimpunkan pemanah tradisional dari seluruh benua Asia.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang menyifatkan penganjuran bertaraf antarabangsa ini sebagai manifestasi kebangkitan sukan sunnah di persada dunia.
“Sukan memanah adalah antara sunnah Nabi Muhammad SAW yang sangat dituntut dalam Islam. Ia bukan sahaja aktiviti riadah, malah membentuk fokus, disiplin serta kekuatan mental dan fizikal,” ujar beliau.
Festival yang memasuki edisi kedua ini merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran sulung pada tahun lalu yang turut mendapat sambutan luar biasa.
Beliau turut meluangkan masa mencuba sendiri sukan memanah selepas majlis perasmian, di samping menyantuni para peserta pertandingan yang berlangsung sepanjang hari.
Ucapan tahniah turut dizahirkan kepada pihak penganjur, khususnya Persatuan Memanah Tradisional Terengganu yang mendapat kerjasama erat daripada Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) serta Terengganu Equestrian Resort (TER).
“Terima kasih kepada semua pengunjung dari dalam dan luar negara yang hadir ke bumi Terengganu Darul Iman. Semoga acara ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Menambahkan lagi kemeriahan, festival ini turut diserikan dengan Ralit Market, iaitu tapak jualan yang menghimpunkan pelbagai usahawan tempatan bermula daripada makanan, kelengkapan memanah, pakaian dan banyak lagi.
Penganjuran festival ini bukan sahaja memperkasa budaya sukan sunnah, malah berpotensi menjadi antara tarikan pelancongan sukan utama di negeri ini.
29 Jun 25
67
1,300 Peserta Sertai Kejohanan Festival Memanah
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - 1,300 peserta kanak-kanak dan dewasa mengambil bahagian pada Kejohanan Festival Memanah OWL 916 Terbuka Asia 2025 bertempat di Padang Polo, Terengganu Equestrian Resort (TER), semalam.
Penganjuran kejohanan yang telah dijayakan kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia Sukan Dan Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) itu merupakan satu usaha kerjasama erat bersama Gabungan Pemanah Tradisional Terengganu (GAPETER).
Dengan tema 'Rapatkan Ukhuwah Sukan Sunnah Diamati', antara objektif utama penganjuran festival tersebut adalah bagi membangunkan sukan sunnah, yang turut melibatkan pendidikan mengenai teknik dan sejarah memanah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri menyokong perkembangan sukan memanah tradisional yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia di Terengganu.
"Memanah mula muncul antara aktiviti yang mendapat tempat dan saya amat menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Persatuan Memanah Tradisional Negeri Terengganu.
"Untungnya semua yang terlibat didalam sukan memanah ini, mereka menepati apa yang telah disebut oleh Nabi S.A.W., diantara sukan yang telah disenarai oleh Nabi untuk kita semua belajar dan menguasai," katanya.
Menurut beliau, ketiga-tiga sukan yang disebut oleh Nabi S.A.W. (memanah, berkuda dan berenang) kini semakin mendapat perhatian di negeri ini, dengan aktiviti berkuda menjadi yang paling aktif.
Bagaimanapun, jelasnya, sukan renang masih menjadi cabaran dari segi pelaksanaan yang menepati syariah, namun pihaknya optimis ia akan dapat dikembangkan secara lebih tersusun suatu hari nanti.
"Tinggal lagi satu sukan yang agak sukar untuk kita seliakan, iaitu aktiviti renang. Mudah-mudahan suatu masa nanti insya-Allah aktiviti renang juga bakal menjejaki aktiviti memanah dan aktiviti berkuda pada suatu ketika nanti, insya-Allah," tambahnya.
Jumlah keseluruhan 1300 penyertaan itu termasuk peserta daripada Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand serta Malaysia, menjadi indikatif kepada penyertaan yang amat menggalakkan.
"Saya mengucapkan selamat datang kepada semua, sama ada peserta luar negara mahupun peserta dalam negara.
"Mudah-mudahan pertandingan yang kita anjurkan kali ini akan terus memberikan ruang kepada kita untuk mengasah bakat dan kita mempertajamkan lagi kemahiran memanah yang dituntut oleh Nabi S.A.W.
Hishamuddin berkata demikian semasa merasmikan kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 28 Jun sehingga 29 Jun 2025, di sini.
Kejohanan yang dianjurkan pada hari ini merupakan anjuran siri kedua dimana anjuran sebelumnya yang juga berjaya meraih 1000 lebih penyertaan telah dijalankan pada 31 Mei dan 1 Jun 2024, bertempat di lokasi yang sama.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris pernah menyatakan hasratnya untuk menjadikan acara memanah tradisional sebagai produk pelancongan negeri.
"Acara memanah tradisional memang kita hendak masukkan dalam kalendar pelancongan negeri, saya sedang buat penelitian mendapatkan jumlah berapa pembuat busur, pemanah tradisional dan pemain yang sudah berada di taraf antarabangsa.
"Dari Iran pun ada, di sebelah Timur Tengah juga ada peminatnya sama ada memanah sahaja atau memanah berkuda. Saya fikir memanah ini memang kita akan kumpul persatuan mereka untuk dijadikan satu produk baru pelancongan Terengganu", nyatanya.
29 Jun 25
136
Lebih 350 Peserta Sertai Kejohanan Badminton Piala MB
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu berlangsung dengan penuh meriah apabila berjaya menarik penyertaan seramai 350 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Program tersebut telah dianjurkan oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) merangkumi lima kategori iaitu 'Open', 'Novis C', Bawah 15 Tahun (U15), Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 9 Tahun (U9).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejohanan berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam menjayakan program Sukan Untuk Semua (SUS) yang bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia ke arah negara bersukan.
“Malah, kejohanan ini bukan sekadar satu acara sukan semata-mata, bahkan menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta mencungkil bakat-bakat baharu khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Badminton Tertutup Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Negeri, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ab Rasid Jusoh dan Pengarah UBSNT, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut menyatakan bahawa sambutan hangat rakyat Terengganu terhadap kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu membuktikan sukan badminton mempunyai kelompok peminat tersendiri di negeri ini.
“Saya percaya program seperti ini memberi impak langsung kepada pembangunan sukan dari peringkat akar umbi dan menjadi platform terbaik untuk melahirkan atlet masa depan dari Negeri Terengganu yang mampu mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa,” katanya.
22 Jun 25
401
TFC Adakan Sesi Soal Jawab Bersama Peminat
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Terengganu Football Club (TFC) akan akan menganjurkan sesi soal jawab bersama peminat bagi menjawab persoalan berkenaan pasukan tersebut dalam masa terdekat.
Perkara itu telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.
"Saya faham banyak persoalan yang ada di dalam kalangan peminat tentang perkembangan semasa pasukan.
"InsyaAllah, satu majlis dialog terbuka bersama peminat akan dianjurkan oleh TFC dan PBSNT pada awal Julai tahun ini," katanya dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui akaun rasmi Facebooknya.
Kenyataan itu adalah sorotan daripada kunjungan beliau Ke padang latihan TFC yang terletak di Gong Badak untuk bertemu barisan kejurulatihan dan pemain-pemain skuad negeri.
Turut hadir dalam kunjungan itu, Naib Presiden Persatuan Bola Negeri Terengganu (PBSNT), Mohammed Sekanther Abdul Hamed dan Setiausaha Agung PBSNT, Ahmad Syahrizal Yahya.
Tambahnya, barisan pemain baharu TFC bakal memulakan latihan pertama mereka pada awal Julai tahun ini manakala pemain yang masih berkontrak telahpun mula berlatih.
"Mereka semua telah memulakan latihan kelmarin (16 Jun) dan pemain baharu akan mula menyertai latihan pada 1 Julai 2025," jelasnya.
Mengikuti perkembangan yang sama, Badrul Afzan Razali, mantan jurulatih skuad bola sepak negeri itu sekali lagi telah diserahkan baton untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih TFC musim ini.
Walaupun dengan kekangan yang dihadapi, Badrul dengan penuh harapan menyuarakan keinginannya untuk meletakkan pasukan di bawah seliaannya itu di tahap pencapaian yang lebih memberansangkan berbanding musim yang lepas.
"Pada musim baru ini, kita (TFC) adalah antara pasukan yang tidak berbelanja besar, namun saya percaya dengan komitmen dari semua, kita tetap mampu menyaingi pasukan-pasukan besar lain serta boleh melakukan kejutan dalam misi merebut piala," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut sumber, TFC akan memperkenalkan secara rasmi pemain-pemain yang bakal masuk sebelum 5 Julai 2025.
19 Jun 25
87
RXZ Members, Takafulgo Jalin Kerjasama Lindungi 100,000 Peserta
KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Buat julung kalinya, RXZ Members menjalin kerjasama strategik bersama Takafulgo Venture dalam menyediakan perlindungan takaful kepada 100,000 peserta yang dijangka hadir ke Program RXZ Members 7.0.
Kerjasama ini dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Duyong Marina & Resort petang tadi.
Langkah tersebut merupakan satu inisiatif inovatif ke arah meningkatkan kesedaran dan akses terhadap perlindungan takaful dalam kalangan komuniti permotoran, khususnya pemilik motosikal Yamaha RXZ di seluruh Malaysia.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penawaran skim takaful itu merupakan satu penambahbaikan penting dalam usaha menjadikan acara permotoran terbesar itu lebih selamat dan bertanggungjawab.
"Peserta datang dari seluruh negara, dari Johor, Melaka, malah ada yang sanggup hadir dari Sabah dan Sarawak.
"Kita sentiasa mengharapkan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden, namun hakikatnya kejadian tidak diingini boleh berlaku. Justeru, dengan adanya perlindungan takaful ini, sekurang-kurangnya peserta akan dilindungi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri majlis tersebut, di sini, hari ini.
Beliau berharap agar para peserta mengambil peluang untuk mencarum dalam skim yang ditawarkan agar keselamatan dan kebajikan mereka lebih terjamin sepanjang program berlangsung.
"Sebagai penganjur program ini, saya sarankan ambillah takaful ini di samping itu saya nasihatkan agar masing-masing menjaga keselamatan dengan memastikan rehat yang cukup, jaga kesihatan dan pastikan motor dalam keadaan baik serta mengikut undang-undang apabila memulakan perjalanan untuk ke program nanti,"ujarnya,
Dalam pada itu, Pengarah Takafulgo Venture, Irwan Ima Mahmud berkata, skim takaful yang ditawarkan serendah RM70 sahaja setahun meliputi perlindungan harian sepanjang 24 jam setiap hari tanpa mengira di mana peserta itu berada.
"Sekiranya berlaku kematian kita akan lindungi sehingga RM50,000, disampaikan buat orang tersayang kerana kita tahu rata-rata peserta yang datang dan pemilik RXZ ini merupakan mereka yang sudah berkeluarga.
"Peserta juga akan kita lindungi apabila berlakunya hilang upaya akibat kemalangan, biasanya apabila ini berlaku ada yang terjejas kehidupan kerana tidak boleh bekerja seperti biasa," ujar beliau.
Tambah beliau, permohonan bagi mendapatkan skim takaful itu amat mudah, hanya melalui atas talian serta tidak perlu melalui ujian kesihatan.
Untuk maklumat lanjut peserta boleh layari website www.takafulgoo.com
15 Jun 25
185