lightning-solid
Berita :
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2025 Jadi Tumpuan
Ahmad Zaeem Zainudin
25 Jul 25
65

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan (7s) Kebangsaan 2025 secara rasmi dibuka dan dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai, di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sehingga 27 Julai itu menghimpunkan 41 pasukan dari seluruh negara berentap dalam empat kategori utama membabitkan lelaki dan wanita terbuka serta bawah 21 tahun.

Sebanyak 139 perlawanan dijadualkan sepanjang tiga hari kejohanan, dengan melibatkan seramai 656 pemain dan pegawai pasukan, dibantu oleh 38 pegawai kejohanan.

Antara pasukan yang mengambil bahagian termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Sarawak, serta wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pulau Pinang dan Sabah merupakan dua negeri yang tidak menghantar wakil bagi edisi kali ini.

Hari pertama menyaksikan pasukan Johor, Selangor dan Terengganu membuka langkah kanan dalam perlawanan sulung masing-masing. Dalam kategori Wanita Terbuka, Selangor memberi amaran awal kepada pencabar apabila membelasah Sarawak 48-0 dalam perlawanan yang berlangsung seawal jam 8 pagi. 

Aksi penuh keyakinan dan disiplin terserlah dalam setiap gerakan serangan Selangor yang tidak memberi ruang langsung kepada Sarawak untuk mencipta mata.

Sementara itu, dalam kategori Lelaki Terbuka, juara bertahan Johor meneruskan momentum kejayaan apabila menundukkan Negeri Sembilan dengan keputusan 14-0.

Kecekapan barisan belakang dan kekentalan pertahanan Johor menjadi pemisah ketara antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung pada jam 9.03 pagi.

Dalam kategori Bawah 21 Tahun Wanita, Johor sekali lagi mencuri tumpuan apabila membelasah Pahang 38-0. Kemenangan besar ini menjadi indikator awal bahawa skuad pembangunan negeri selatan itu berada dalam kelas tersendiri untuk edisi kali ini.

Bagi tuan rumah Terengganu pula, semangat bermain di laman sendiri disalurkan dengan baik oleh skuad Lelaki Bawah 21 Tahun mereka yang berjaya menewaskan Melaka 27-7.

Kejohanan ini turut menjadi pentas penting bagi pemilihan skuad kebangsaan ke Kejohanan Asia dan kelayakan ke temasya antarabangsa akan datang, termasuk peluang memburu emas di Sukan SEA yang kian hampir.

 


Artikel Berkaitan