KUALA NERUS, 15 Julai - Sebanyak 24 pasukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir bakal berentap lagi bagi merebut piala YB ADUN Seberang Takir 2025 bagi Kejohanan Bolasepak 11 sebelah yang dijadualkan berlangsung 8 Ogos nanti.
Pengarah Program, Mohd Ariffin Abd. Ghafor berkata, kejohanan dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Seberang Takir dengan NGO sukan setempat itu akan diadakan di beberapa padang dalam DUN Seberang Takir.
"Kejohanan yang dinantikan ini merupakan temasya tradisi yang diadakan setiap tahun.
"Tahun ini beberapa syarat diubah. Syarat utamanya seperti tahun-tahun lalu adalah yang pemain adalah mesti menutup aurat dan alhamdulillah, kejohanan sebelum ini kita menerima maklum balas positif daripada pasukan masing-masing,” katanya kepada pemberita.
Menurut Mohd Ariffin lagi, jumlah sedikit bertambah, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 beserta piala dan medal, naib johan RM1,000 manakala tempat ketiga dan keempat RM500 serta medal.
"Harapan saya agar kejohanan ini akan berlangsung dengan baik dan tanpa berlaku kejadian yang tidak diingini," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pengurus pasukan yang bakal bertanding, Muhammad Adam berkata, kejohanan ini sangat dinanti dan amat wajar diadakan bahkan lebih besar pada masa akan datang.
"Pertandingan seperti ini wajar diadakan demi mencungkil bakat-bakat muda bagi mewakili ke peringkat lebih tinggi.
"Terengganu tidak ketandusan bakat-bakat baharu, kita tengok anak Terengganu ramai bermain bersama di liga domestik," ujarnya.
Sepak mula kejohanan akan disempurnakan oleh ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat.