KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Terengganu FC (TFC) terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuhkan aspek kesihatan dan kebajikan pemainnya apabila menjalin kerjasama strategik bersama Klinik Perubatan Wildan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerjasama itu dimeterai menerusi satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Klinik Perubatan Wildan dan TFC Sdn Bhd yang berlangsung di Hotel Grand Puteri, kelmarin.
Menerusi memorandum tersebut, Klinik Perubatan Wildan komited untuk menyediakan pelbagai bentuk sokongan dengan nilai keseluruhan mencecah RM155,000.

"Kerjasama yang diberikan oleh Klinik Perubatan Wildan ialah dalam bentuk peralatan fisioterapi, ubat-ubatan, pemeriksaan kesihatan dan khidmat panel penjagaan yang pastinya akan membantu dalam melancarkan lagi operasi TFC.
"Seiring dengan kerjasama ini juga, Klinik Perubatan Wildan secara rasmi menyertai keluarga penaja Terengganu FC melalui Pakej Penajaan Silver.
"Ia satu langkah signifikan dalam jalinan hubungan strategik antara sektor kesihatan dan industri bola sepak di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya, sebentar tadi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli, Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Syahrizan Mohd Zain.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah TFCSB positif dan yakin bahawa MoU itu mampu untuk memperkukuh penjenaam Klinik Perubatan Wildan.
"Kami amat mengharapkan agar pakej ini bukan sahaja memberikan kelebihan dari sudut penjenamaan, tetapi juga meluaskan jaringan promosi Klinik Perubatan Wildan melalui platform rasmi dan aktiviti kelab di sepanjang musim, InsyaAllah.
"Terima kasih diucapkan kepada Klinik Perubatan Wildan atas sokongan berterusan dalam memperkukuhkan aspek kesihatan dan kebajikan pasukan Terengganu FC," ujarnya.
Hishamuddin berharap agar jalinan kerjasama itu akan terus berpanjangan dan berkembang dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, TFC menyatakan kerjasama tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada para pemain TFC, menandakan sokongan penuh mereka terhadap inisiatif penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan profesional bagi memastikan prestasi optimum di dalam dan luar padang.
"Kerjasama ini juga dijangka memberi impak yang signifikan terhadap prestasi dan kesejahteraan pemain dalam jangka masa panjang.
"Sejajar dengan visi TFCSB untuk terus melangkah ke hadapan sebagai kelab bola sepak yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan serantau," kata mereka dalam satu kenyataan, semalam.