lightning-solid
Berita :
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
Terengganu Buktikan Skuad Wanita Masih Berdaya Saing
Ahmad Zaeem Zainudin
26 Jul 25
397

KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Skuad ragbi wanita Terengganu membuktikan potensi pemain akar umbi masih 'berkuasa' apabila membuka tirai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2025) dengan dua kemenangan meyakinkan, meskipun tidak dibarisi pemain kebangsaan bertaraf elit.

Beraksi dalam kategori Wanita Terbuka, pasukan tuan rumah yang rata-ratanya terdiri daripada bekas pemain Sukan Malaysia (SUKMA) terdahulu mempamerkan keserasian tinggi apabila menewaskan Melaka 46-00 sebelum membenam Sarawak 50-00 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Pengurus pasukan, Ahmad Sujairi Johari berkata, kejayaan hari pertama itu adalah hasil keyakinan pasukan terhadap kekuatan dalaman yang dibentuk sejak dari peringkat remaja.

"Kami tidak meletakkan skuad wanita Terengganu ini selaku pasukan pilihan bagi National 7s kali ini di mana kami hanya membariskan bekas-bekas pemain SUKMA terdahulu termasuk beberapa pemain lain untuk melengkapkan pasukan ini. Juga pasukan kami tidaklah didominasi oleh pemain-pemain berstatus kebangsaan.

"Melihat pada keputusan perlawanan hari pertama ini, komunikasi serta keserasian dalam pasukan menjadi kelebihan buat kami ketika ini.

"Cabaran sebenar untuk kami adalah pada keesokkan hari bagi penentuan peringkat kumpulan sebelum mara ke penentuan akhir pada Ahad ini," ujarnya.

Prestasi cemerlang ini dilihat sebagai cerminan kepada keberkesanan program pembangunan sukan wanita di Terengganu yang konsisten melahirkan bakat-bakat berdaya saing walaupun tanpa pendedahan antarabangsa secara langsung.

Meskipun tanpa status sebagai pasukan pilihan, skuad wanita Terengganu kini dilihat memiliki semangat dan momentum yang tepat untuk mencipta kejutan.


Artikel Berkaitan