KUALA NERUS, 27 Julai – Terengganu buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran acara sukan berprestij, Sirkit 2 Para Ping Pong Kebangsaan Allianz-MSN-TTAM 2025 yang berlangsung di Ar-Riyadah Residence, Kuala Nerus bermula 23 hingga 27 Julai.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Allianz Malaysia serta Persatuan Ping Pong Para Malaysia (TTAM) itu berjaya menarik penyertaan seramai 108 atlet para dari seluruh negara, kecuali Kuala Lumpur dan Perak.

Kejohanan yang mempertandingkan 16 kategori terbuka ini membabitkan penyertaan atlet berkeperluan intelektual (AI) dan fizikal, sekali gus menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat baharu selain menguji tahap persediaan atlet menghadapi temasya bertaraf lebih besar.
Pengarah Bahagian PARA MSN, Joherman Amir, yang turut hadir memeriahkan kejohanan berkata, penganjuran di Terengganu mencerminkan perkembangan positif sukan para negara dan wajar dimartabatkan sebagai antara acara utama dalam kalendar PARA kebangsaan.

“Prestasi atlet sangat membanggakan. Ini membuktikan bahawa sukan ping pong para semakin berkembang pesat dan berpotensi untuk terus diberi perhatian serius dalam pembangunan sukan OKU di Malaysia,” katanya dalam sidang media.
Turut hadir, Presiden Persatuan Ping Pong Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohd Asamudin A. Rahman.
Pemilihan Ar-Riyadah Residence sebagai venue utama penganjuran disifatkan tepat kerana kemudahan mesra OKU yang kondusif serta sokongan logistik yang baik, menjadikan kejohanan ini antara yang paling teratur dan inklusif setakat ini.
Penganjuran sirkit ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi Terengganu sebagai penganjur bertaraf tinggi, malah menegaskan komitmen negeri ini dalam memperkasa pembangunan sukan OKU secara progresif dan holistik.
