Artikel "Sukan" Terkini
SUTERA : Kuala Terengganu, Kemaman Raih Emas Pertama
KUALA NERUS, 24 September - Kontinjen Kuala Terengganu dan Kemaman menguasai acara berbasikal kriterium pada temasya Sukan Terengganu (SUTERA 2025) apabila masing-masing berjaya membawa pulang pingat emas menerusi kategori wanita dan lelaki di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Shah, di sini, hari ini.
Pelumba dari Kuala Terengganu, Ameera Alya Md Zahiruddin muncul juara kategori wanita selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 49 minit 30 saat mengatasi wakil Kuala Nerus, Azri Masturina Batrisya Arzimawi yang meraih pingat perak dengan catatan maasa 49 minit 30.15 saat.
Dalam kategori lelaki pula, kontinjen Kemaman menonjol apabila Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Abdul Fadhil Sham mencatat masa terpantas dengan catatan 46 minit 58 saat.
Kemaman turut menambah kutipan pingat menerusi Tengku Najib Tengku Norizan yang membawa pulang gangsa dengan catatan masa 47 minit 53 saat.
Sementara itu, Muhammad Rabbani Hashim dari Kuala Nerus yang menjadi tumpuan ramai pula terpaksa berpuas hati meraih pingat perak apabila mencatatkan masa 47 minit.
Acara kriterium membuka temasya SUTERA hari ini, menyaksikan acara wanita disertai tujuh peserta membabitkan daerah Kemaman, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu telah berlangsung melibatkan enam pusingan kayuhan berjarak 24 kilometer.
Manakala, kategori lelaki pula melibatkan penyertaan seluruh daerah kecuali Dungun dengan 17 peserta bersaing dalam lapan pusingan bagi menghabiskan jarak 32 km.
24 Sep 25
120
Tiada Lesen, Bawa Lebih Penumpang Punca Maritim Tahan Lapan Bot
KUALA TERENGGANU, 22 September- Tidak mempunyai lesen dan membawa penumpang berlebihan antara kesalahan yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu dalam operasi khas yang dilaksanakan di perairan Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, dalam operasi selama dua hari yang berakhir semalam itu, pihaknya berjaya menahan lapan bot penumpang dan sebuah bot kargo di atas pelbagai kesalahan, termasuk melanggar syarat kawasan operasi yang ditetapkan dalam lesen.
"Antara kesalahan lain yang dikesan adalah ketiadaan jaket keselamatan mencukupi, tiada lesen sah serta pengusaha yang mengambil risiko membawa muatan melebihi had.
"Tindakan begini jelas mengabaikan keselamatan penumpang.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha bot yang mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan.
"Operasi penguatkuasaan seumpama ini akan terus dipergiat terutama di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambahnya, operasi khas berkenaan turut menemui sebuah bot kargo yang ditahan pada pukul 3.00 petang semalam. Hasil pemeriksaan mendapati dua kru termasuk tekong warga tempatan membawa empat tong minyak petrol dan 48 tong minyak diesel dari Kuala Besut menuju ke Pulau Perhentian tanpa kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Kesemua bot bersama 15 kru termasuk tekong telah diiringi ke Jeti Maritim Negeri Terengganu dan Jeti Maritim Besut untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Hamiludin turut mengingatkan semua pengusaha bot supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan penumpang.
Orang awam pula diseru menyalurkan maklumat sebarang aktiviti mencurigakan melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam bagi membantu pihak berkuasa.
22 Sep 25
117
Semangat 'Setiu Fighters' Bakal Gegar SUTERA 2025
SETIU, 21 September – Kontinjen Setiu tampil dengan semangat juang tinggi bakal menggegarkan pentas Sukan Terengganu (SUTERA) 2025.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kontinjen Setiu bakal memberikan saingan hebat edisi SUTERA kali ini dan optimis dengan kedudukan yang lebih baik dari sebelum ini.
"Saya mengharapkan kita semua membawa semangat 'Setiu Fighters' dan menyumbang seberapa banyak kemenangan pada SUTERA nanti, katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Setiu di Mini Stadium Sungai Tarom.
Turut hadir Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor sebagai Pengerusi Majlis Sukan Daerah Setiu.
Beliau yang dilantik sebagai Chief de Mission (CDM) dibantu Timbalan 1 CDM, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof manakala ADUN Permaisuri, Mohd Yusof Majid dilantik Timbalan 2 CDM.
Kata beliau, pada edisi SUTERA kali ini Setiu menyertai 12 daripada 13 acara yang dipertandingankan dengan penyertaan 181 atlet dan 49 pegawai.
SUTERA yang akan berlangsung dari 23 hingga 27 September di Kuala Nerus hujung minggu ini mencatatkan penyertaan seramai 181 atlet dan 49 pegawai.
Dengan semangat kesukanan yang membara, kontinjen Setiu diyakini mampu memberi saingan sengit dan mengharumkan nama daerah di pentas SUTERA 2025.
21 Sep 25
132
TSG SHIMANO Fellowship Ride 2025 Himpun 2,500 Pelumba
KUALA NERUS, 20 September- TSG SHIMANO Fellowship Ride 2025 berjaya menghimpunkan 2,500 peserta dalam acara yang berlangsung hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan, NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penganjuran edisi kelimat itu mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai lokasi tumpuan dalam acara berbasikal.
"Menawarkan dua cabang utama perlumbaan dengan laluan sejauh 107 kilometer (km) dan Fun Ride sejauh 40km, para peserta bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental malah menikmati keindahan panorama dan keramahan masyarakat di sini.
"Penyertaan dalam dan luar negara membuktikan Terengganu bukan sekadar negeri yang aktif dalam arena sukan, bahkan semakin menyerlah dalam pelancongan sukan dengan dikenali sebagai 'land of cyclist'.
"Selain itu, acara seperti ini terbukti memberi limpahan ekonomi yang signifikan kepada rakyat negeri ini bermula dari industri pelancongan perhotelan makanan sehingga kepada usahawan kecil tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penutup acara berkenaan di Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, hari ini.
Tambahnya, kerajaan Terengganu akan terus memberi komitmen bagi menganjurkan acara berbasikal pada masa akan datang dengan lebih aktif.
20 Sep 25
65
Faris Juara Piala Sultan Mizan 2025
SETIU, 14 September – Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2025 melakar detik penuh gemilang apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengisytiharkan Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari dari State of Terengganu Endurance Team sebagai juara CEI 2* 120KM individu dalam Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong.
Dengan catatan masa enam jam satu saat, Faris menunggang kuda kesayangannya, Schyva El Tercero menerima hadiah wang tunai RM18,000 beserta piala pusingan dan medal kemenangan. Lebih manis, Schyva El Tercero turut dinobatkan sebagai Kuda Terbaik kejohanan dengan hadiah tambahan RM25,000, piala serta penghormatan tertinggi apabila Sultan Mizan sendiri berkenan mencemar duli menyuapkan makanan kepada kuda terbaik itu.
Nama Faris Haikal bukan asing dalam dunia kuda lasak. Pada 2024, beliau pernah menggegarkan Lembah Bidong apabila menjulang Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu bagi kategori CEI*2 120KM dengan catatan enam jam lima minit. Pada edisi 2023 pula, beliau dinobatkan johan 120KM individu dalam Piala Sultan Mizan dengan hadiah wang tunai RM18,480, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai bintang masa depan sukan kuda lasak tanah air.
Naib johan tahun ini disandang Muhammad Izhar Hamzah dari Khalifah Arabian Endurance Team dengan masa enam jam 35 minit 08 saat, membawa pulang RM15,000 dan trofi. Tempat ketiga dimenangi penunggang Belarus, Viktoriya Melnikava dari pasukan yang sama, yang menunggang Kaet Tariq dengan hadiah RM10,000.
Dalam kategori CEI 1* 100KM, Mohammad Firdaus Hamid dari TNT Endurance Team muncul juara dengan catatan lima jam 52 minit 27 saat, diikuti rakan sepasukan Suhardi Ghani di tempat kedua dan Muhammad Aminuddin Musyarafi dari NEXT Endurance Team di tempat ketiga.
Sementara itu, kategori belia CEIYJ 1* 100KM dimenangi Abdullah Faqeh Muhammad dari Ar-Raudhah Al-Amin, diikuti pelumba Thailand, Jatupat Patijaroenchai dari Nahron Sri Riding Club.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Sultan Mizan dengan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, serta paduka anakanda. Majlis bertambah seri dengan keberangkatan Baginda berdua disertai kepimpinan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
14 Sep 25
102
Sultan Mizan Pimpin RTES Ungguli Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa
SETIU, 14 September – Keunggulan sukan berkuda lasak sekali lagi tersemat dalam lipatan sejarah apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berangkat memimpin pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) hingga berjaya meraih kejuaraan berpasukan dalam acara CEI 2* 120KM Kejohanan Antarabangsa Sultan Mizan Cup 2025 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong.
Pasukan RTES yang dianggotai oleh Sultan Mizan, Tengku Muhammad Syukri Tengku Mahmood, Jasryn Jaffly dan Muhammad Aizad Mohd Riduan dinobatkan sebagai pasukan terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 berserta trofi dan pingat yang disempurnakan pengurniannya oleh baginda sendiri.
Dalam acara individu, Sultan Mizan yang beradu tenaga di bawah panji RTES, menamatkan perlumbaan penuh cabaran itu dengan catatan masa tujuh jam sembilan minit 55 saat, lantas mempersembahkan kejayaan yang mengharumkan nama negara. Baginda berkenan menerima hadiah tempat kelima yang disembahkan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Turut mencuri tumpuan, paduka anakanda baginda, Tengku Puteri Utama Raja yang mewakili Kelab RTES, telah mempersembahkan tunggangan cemerlang sehingga berjaya meraih tempat ketiga dalam acara Mini Endurance 15KM VIP.
Istiadat penyampaian hadiah penuh gilang-gemilang itu turut menyaksikan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Seri Setia Mahkota Raja, Tengku Puteri Utama Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan hadir oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia.
14 Sep 25
67
PSKT Dok Rilek, Himpun 315 Pelumba Cilik
KUALA TERENGGANU, 12 September - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) kembali hangat minggu ini dengan kehadiran lebih 300 pelumba cilik dari dalam dan luar negara yang akan berentap bermula esok.
Kali ini, PSKT menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Terengganu Pushbike 2025 yang menampilkan penyertaan dari (5 peserta) Indonesia, Thailand(23) dan Singapura(5).
Lebih menarik, sepanjang dua hari kejohanan PSKT menyediakan pakej istimewa memasuki galeri PSKT serendah RM15 sahaja.
Menurut pengarah program Terengganu Pushbike, Mohd Zul Fadhli Mohamed, sebanyak 315 peserta berumur antara dua hingga sembilan tahun akan bertanding dalam 21 kategori sepanjang dua hari kejohanan.
"Lapan kategori bagi hari pertama esok (campuran), manakala 13 kategori pada hari kedua.
"Tahun ini kita sediakan lebih kurang 300 meter bagi kategori empat tahun ke atas, tetapi untuk bawah tiga tahun kita akan pendekkan sedikit.
Antara pelumba yang mencuba litar sebelum kejohanan, hari ini.
"Paling menjadi tumpuan tentulah kategori terbuka dan biasanya lebih sengit kerana pelumba semua telah matang dan berkemahiran," katanya ketika ditemui selepas sesi percubaan litar, hari ini.
Dalam pada itu, seiring kejohanan ini turut diadakan pelbagai acara sampingan.
Antaranya ialah pertandingan mewarna, persembahan dikir barat, pertunjukan maskot, forum sains dan acara pentas yang menampilkan Sham Visa, Shidi DATA dan Ustaz Elyas Ismail.
Pertandingan mewarna menjadi salah satu acara sampingan yang diadakan.
12 Sep 25
265
UIAM Dinobat Juara Sulung Sukan Mahasiswa Anak Terengganu 2.0
KUALA TERENGGANU, 10 September – Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan sulung Sukan PERMATA Kebangsaan (SUPER-K) edisi kedua yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Pasir Panjang, di sini.
Kejayaan itu menobatkan UIAM sebagai pasukan pertama merangkul gelaran berprestij tersebut selepas kategori Juara Keseluruhan diperkenalkan buat kali pertama dalam penganjuran tahun ini.
SUPER-K 2.0 menghimpunkan seramai 380 pemain daripada 21 pasukan PERMATA seluruh universiti di Malaysia, sekali gus memperlihatkan pertambahan penyertaan berbanding edisi sulung yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pengarah SUPER-K 2.0, Muhammad Mustaqim Zachury berkata, kejayaan penganjuran kali ini membuktikan kejohanan tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa anak Terengganu serta berupaya mengangkat semangat kesukanan dan perpaduan di IPT.
“SUPER-K 2.0 bukan sekadar kejohanan, tetapi ruang membina sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa. Kita amat berbangga dengan penyertaan yang sangat menggalakkan tahun ini.
“Diharapkan kejohanan ini dapat diteruskan secara konsisten setiap tahun dengan skala yang lebih besar dan penyertaan lebih meluas pada masa akan datang,” katanya.
Majlis Perasmian Penutup disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Kejohanan itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu serta penaja yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran di peringkat kebangsaan.
10 Sep 25
433
Songket Tradisional Iringi Perjuangan Ragbi Terengganu
KUALA NERUS, 8 September - Di sebalik kemenangan skuad Ragbi Terengganu dalam aksi sulung Piala Agong 2025 kelmarin tersemat satu rahsia pada jersi yang digunakan para pemain Terengganu.
Rekaan jersi berwarna hitam putih itu memaparkan motif Pucuk Rebung tersebunyi dan motif songket tradisional Terengganu yang direka dan ditaja Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) khusus bagi skuad 'Sang Penyu' mengharungi Piala Agong 2025.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pihak yayasan, rekayasa jersi berkenaan dizahirkan sebagai identiti Ragbi Terengganu yang membawa simbol ketabahan, kerjasama dan kebanggaan Terengganu.
"Usaha menyatukan dinamik ragbi dan keindahan seni nongkat, kita bukan sekadar mengenakan pakaian kepada atlet, tetapi juga melengkapkan mereka denga sebuah cerita.
"Setiap jalinan benang akan membisikkan warisan kita kepada dunia, menjadikan para pemain sebagai duta jiwa Terengganu," jelas kenyataan terbabit.
Secara amnya, rekaan terbaru itu bertujuan melestarikan warisan asli kaftangan songket yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
YTNZ memahami bahawa budaya tidak hanya terpelihara dalam muzium, sebaliknya ia hidup apabila ditenun dalam masa kini.
"Jersi lebih daripada sekadar uniform; ia adalah warisan yang bergerak. Bersama-sama, kita boleh memberikan Terengganu satu simbol yang lebih kekal daripada trofi, iaitu kebanggaan yang tidak akan lekang," menurut kenyataan itu.
Tonggak import Terengganu, Waidilo Alipate dan kapten pasukan, Mohammad Nasharuddin Ismail mempamerkan jersi rekaan YTNZ.
08 Sep 25
731
Kontinjen Hulu Terengganu Sasar 9 Pingat Emas di SUTERA 2025
HULU TERENGGANU, 8 September – Kontinjen Hulu Terengganu menyasarkan kutipan sembilan pingat emas pada Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 yang bakal berlangsung hujung bulan ini.
Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah, berkata sasaran itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan acara sukan daripada tujuh sebelum ini kepada 13 acara pada edisi kali ini.
Menurutnya, kontinjen Hulu Terengganu akan menghantar seramai 250 atlet yang akan bersaing dalam pelbagai acara termasuk bola sepak raga, sepak takraw, pencak silat, bola tampar, ping pong, tenis, tenpin boling dan e-sukan.
“Dengan pertambahan acara, kita percaya ada ruang peningkatan. Justeru, sasaran kita kali ini ialah sembilan emas, tiga perak dan 11 gangsa. Insya-Allah dengan latihan rapi serta sokongan semua pihak, kita mampu mencapainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Bapa Angkat serta Jabatan Angkat Kontinjen Hulu Terengganu di Ulu Garden, Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang.
Menurutnya lagi, pada edisi 2021 Hulu Terengganu sekadar membawa pulang satu emas, lapan perak dan 13 gangsa, sekali gus menamatkan saingan di tangga ketujuh daripada lapan daerah yang bertanding.
Tambah Mohd Fadli, majlis tersebut turut menjadi platform untuk merakamkan penghargaan kepada bapa angkat, jabatan angkat, anak syarikat kerajaan serta penaja yang banyak menyalurkan sumbangan dalam memastikan temasya kali ini berlangsung dengan jayanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, menegaskan bahawa selain kejayaan pingat, atlet perlu menjaga disiplin, semangat kesukanan serta mengekalkan imej pakaian patuh syariah yang menjadi identiti atlet Terengganu.
Katanya, penyertaan dalam SUTERA bukan sekadar medan persaingan, malah pentas penting melahirkan atlet pelapis negeri yang mampu melangkah ke SUKMA dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
08 Sep 25
585