KUALA NERUS, 20 September- TSG SHIMANO Fellowship Ride 2025 berjaya menghimpunkan 2,500 peserta dalam acara yang berlangsung hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan, NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penganjuran edisi kelimat itu mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai lokasi tumpuan dalam acara berbasikal.
"Menawarkan dua cabang utama perlumbaan dengan laluan sejauh 107 kilometer (km) dan Fun Ride sejauh 40km, para peserta bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental malah menikmati keindahan panorama dan keramahan masyarakat di sini.
"Penyertaan dalam dan luar negara membuktikan Terengganu bukan sekadar negeri yang aktif dalam arena sukan, bahkan semakin menyerlah dalam pelancongan sukan dengan dikenali sebagai 'land of cyclist'.
"Selain itu, acara seperti ini terbukti memberi limpahan ekonomi yang signifikan kepada rakyat negeri ini bermula dari industri pelancongan perhotelan makanan sehingga kepada usahawan kecil tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penutup acara berkenaan di Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, hari ini.
Tambahnya, kerajaan Terengganu akan terus memberi komitmen bagi menganjurkan acara berbasikal pada masa akan datang dengan lebih aktif.