lightning-solid
Berita :
UIAM Dinobat Juara Sulung Sukan Mahasiswa Anak Terengganu 2.0
UIAM Dinobat Juara Sulung Sukan Mahasiswa Anak Terengganu 2.0
Muhamad Fazlee Aziz
10 Sep 25
433

KUALA TERENGGANU, 10 September – Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan sulung Sukan PERMATA Kebangsaan (SUPER-K) edisi kedua yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Pasir Panjang, di sini.

Kejayaan itu menobatkan UIAM sebagai pasukan pertama merangkul gelaran berprestij tersebut selepas kategori Juara Keseluruhan diperkenalkan buat kali pertama dalam penganjuran tahun ini.

SUPER-K 2.0 menghimpunkan seramai 380 pemain daripada 21 pasukan PERMATA seluruh universiti di Malaysia, sekali gus memperlihatkan pertambahan penyertaan berbanding edisi sulung yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pengarah SUPER-K 2.0, Muhammad Mustaqim Zachury berkata, kejayaan penganjuran kali ini membuktikan kejohanan tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa anak Terengganu serta berupaya mengangkat semangat kesukanan dan perpaduan di IPT.

“SUPER-K 2.0 bukan sekadar kejohanan, tetapi ruang membina sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa. Kita amat berbangga dengan penyertaan yang sangat menggalakkan tahun ini.

“Diharapkan kejohanan ini dapat diteruskan secara konsisten setiap tahun dengan skala yang lebih besar dan penyertaan lebih meluas pada masa akan datang,” katanya.

Majlis Perasmian Penutup disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

Kejohanan itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu serta penaja yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran di peringkat kebangsaan.

 


Artikel Berkaitan