KUALA NERUS, 24 September - Kontinjen Kuala Terengganu dan Kemaman menguasai acara berbasikal kriterium pada temasya Sukan Terengganu (SUTERA 2025) apabila masing-masing berjaya membawa pulang pingat emas menerusi kategori wanita dan lelaki di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Shah, di sini, hari ini.
Pelumba dari Kuala Terengganu, Ameera Alya Md Zahiruddin muncul juara kategori wanita selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 49 minit 30 saat mengatasi wakil Kuala Nerus, Azri Masturina Batrisya Arzimawi yang meraih pingat perak dengan catatan maasa 49 minit 30.15 saat.

Dalam kategori lelaki pula, kontinjen Kemaman menonjol apabila Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Abdul Fadhil Sham mencatat masa terpantas dengan catatan 46 minit 58 saat.
Kemaman turut menambah kutipan pingat menerusi Tengku Najib Tengku Norizan yang membawa pulang gangsa dengan catatan masa 47 minit 53 saat.
Sementara itu, Muhammad Rabbani Hashim dari Kuala Nerus yang menjadi tumpuan ramai pula terpaksa berpuas hati meraih pingat perak apabila mencatatkan masa 47 minit.

Acara kriterium membuka temasya SUTERA hari ini, menyaksikan acara wanita disertai tujuh peserta membabitkan daerah Kemaman, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu telah berlangsung melibatkan enam pusingan kayuhan berjarak 24 kilometer.
Manakala, kategori lelaki pula melibatkan penyertaan seluruh daerah kecuali Dungun dengan 17 peserta bersaing dalam lapan pusingan bagi menghabiskan jarak 32 km.