Artikel "Sukan" Terkini
Hulu Terengganu Juara Baharu Bola Sepak SUTERA 2025
KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Hulu Terengganu muncul pemenang pingat emas acara bola sepak Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 apabila menewaskan Kuala Nerus 1-0, sebentar tadi.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan pantas untuk mencari gol pendahuluan.
Bagaimanapun, pada minit ke-25, Hulu Terengganu berjaya memecah kebuntuan menerusi Mohd Firas Tarmizi yang menyempurnakan sepakan penalti.
Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Kuala Nerus cuba menyamakan kedudukan dengan menguasai kawasan lawan.
Namun, beberapa percubaan yang dilakukan gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Pada minit ke-63, Kuala Nerus hampir menyamakan kedudukan berpunca dari sepakan sudut, bagaimanapun tandukan penyerang Kuala Nerus ditampan pertahanan Hulu Terengganu tepat di garisan gawang.
Memasuki minit ke-70, Hulu Terengganu hampir memusnahkan harapan lawan, tetapi peluang satu lawan satu berdepan penjaga gol disia-siakan rembatan penyerang Hulu Terengganu yang tersasar ke sisi gawang.
Kuala Nerus cuba bangkit pada minit ke-77, sekali lagi bermula dengan sepakan sudut, sayangnya kali ini tandukan penyerangnya melambung melepasi palang gol.
Memasuki minit terakhir perlawanan, Hulu Terengganu sekali lagi berpeluang menambah jaringan, tetapi tidak berjaya disudahkan.
Keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Hulu Terengganu dinobatkan sebagai juara baharu bagi sukan bola sepak pada SUTERA 2025.
Pada dua edisi SUTERA yang lalu, Hulu Terengganu hanya menduduki tempat keempat dalam kedua-dua percubaan mereka.
Kali ini, Hulu Terengganu menuai hasil kegigihan lalu dengan menjuarai 'ibu pingat' bagi temasya sukan ini.
Dalam pada itu, pingat gangsa dimenangi juara edisi lalu iaitu daerah Marang yang 'membelasah' Setiu 7-1 dalam penentuan tempat ketiga, petang tadi.
26 Sep 25
896
Kemaman, Hulu Terengganu Juara Bola Tampar SUTERA 2025
KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Kemaman (Lelaki) dan Hulu Terengganu (Wanita) masing-masing muncul juara acara bola tampar Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 selepas menundukkan lawan pada perlawanan akhir yang berlangsung di UniSZA, hari ini.
Dalam kategori lelaki, Kemaman melakar kemenangan dramatik 3–2 ke atas Setiu pada perlawanan akhir sebelah petang. Pasukan itu bermula garang dengan menguasai dua set awal, sebelum Setiu bangkit menyamakan kedudukan.
Namun, Kemaman berjaya menoktahkan kemaraan Setiu sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas memuktamadkan set penentuan lantas dinobatkan sebagai juara.
Terdahulu pada aksi separuh akhir sebelah pagi, Kemaman menewaskan Dungun 3–0, manakala Setiu menundukkan Besut dengan keputusan 3–0.
Bagi kategori wanita, Hulu Terengganu membuktikan keampuhan apabila menewaskan Dungun 3–0 dalam aksi akhir, sekali gus membawa pulang gelaran juara.
Hulu Terengganu mara ke pentas akhir selepas menewaskan Besut 3–0 pada separuh akhir, manakala Dungun menyingkirkan Kemaman 3–2.
Sementara itu, Besut meraih gangsa dalam acara wanita selepas menundukkan Kemaman pada penentuan tempat ketiga dan keempat.
Acara bola tampar SUTERA 2025 yang berlangsung pada hari keempat temasya ini menyaksikan pertarungan penuh semangat daripada atlet daerah, kini tiba di penghujungnya.
Anjuran dwi tahunan kali ketiga itu, SUTERA 2025 yang mempertandingkan 13 acara dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula selasa lalu bakal melabuhkan tirai penutup pada 27 September 2025 ini.
26 Sep 25
34
Nur Fara Syuhada Permata Baru Olahraga Terengganu
KUALA NERUS, 26 September - Nur Fara Syuhada Mat Razali, 15, menampilkan aksi cemerlang dengan menjuarai acara 3000 meter larian berhalangan wanita pada Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.
Meskipun tidak berjaya memperbaharui rekod peribadi (PB), Syuhada tetap melakar emas buat kontinjen Kuala Nerus dengan catatan masa 12:58.2s, mengatasi pesaing terdekat, Nur Ain Safiyyah Mohd Suhaimi dari Marang (15:10.00s) dan Nur Liyana Batrisya Khairol Azwan dari Kuala Terengganu (16:22.9s).
"Saya sangat puas hati dengan pencapaian hari ini walaupun tidak dapat buat PB (rekod peribadi terbaik). Tiada saingan kuat jadi agak relaks, cuma dari segi masa tak dapat lebih baik daripada sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Nur Fara Syuhada
Anak jati Kuala Nerus itu, sebelum ini pernah mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila meraih emas dalam acara 3000 meter larian berhalangan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 (Malaysia Open), baru-baru ini.
Menurut pelari cilik itu, trek larian Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis, menjadi saksi larian berhalangan 3000 meter pertamanya dimana dia turut berjaya mencatat PB membanggakan dengan rekod 12:41.34s.
Walaupun tewas dalam acara 2000 meter larian berhalangan di MSSM akibat masalah kesihatan (gastrik), Syuhada mengakui dirinya lebih serasi untuk beraksi dalam jarak jauh kerana faktor ketahanan.
"Kalau saya pilih, saya pilih lagi jauh, 3000 meter. Saya memang berlatih pun untuk acara jarak jauh sebab 'endurance' lebih kuat," jelasnya yang kini sudah mempunyai empat tahun pengalaman dalam olahraga.
Jurulatihnya yang berasal dari negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan, 33, turut berpuas hati dengan prestasi anak didiknya meskipun kejohanan kali ini berlangsung dalam tempoh luar musim.
Jurulatih kepada Syuhada, Ahmad Luth
"Setakat ini saya tengok walaupun sekarang off season tapi sebenarnya membuatkan kejohanan tu menjadi lebih seronok. Kalau kita tengok, Terengganu ni untuk 'middle' dan 'long distance' bagi saya pesaing dia ramai. Pesaing ramai daripada sekolah sukan Bukit Jalil, daripada sekolah sukan Gambang dan juga sekolah sukan Malaysia Terengganu lah.
"Jadi kalau kita tengok, walaupun dia orang bersaing di peringkat negeri sekalipun dia masih rancak sebabnya ramai atlet daripada Terengganu. Jadi bila kita bertanding di sini walaupun atlet ini 'off season', lepas habis MSSM dia masih menunjukkan prestasi," katanya.
Tambahnya, keputusan yang diperolehi oleh Syuhada semalam masih berada di tahap yang memuaskan dan mencapai ekspektasi walaupun mempunyai perbezaan masa hampir sebanyak lapan saat berbanding rekod peribadinya sebelum ini.
Guru sukan itu turut mengungguli pingat emas dalam acara sama kategori lelaki di bawah kontijen Kuala Terengganu dengan rekod 10:21.4s, meninggalkan Kuala Nerus (10:35.4s) pada kedudukan perak dan Besut (10.49.7s) yang akur dengan gangsa.
Ahmad Luth yang kini berkhidmat di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu percaya Syuhada berpotensi menjadi bintang masa depan Terengganu, khususnya dalam acara jarak jauh.
Dengan usia yang masih muda serta disiplin latihan berterusan, Syuhada dilihat mampu menjadi permata baharu olahraga Terengganu yang bakal menggalas cabaran negeri di pentas kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan, sekali gus membuktikan SUTERA sebagai medan pembinaan bakat baru.
26 Sep 25
2407
SUTERA 2025: Kontijen Kuala Terengganu Bolot Emas Terbanyak Acara Balapan
KUALA NERUS, 25 September - Kontinjen Kuala Terengganu muncul unggul di hari kedua kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga apabila mendominasi acara balapan dengan meraih enam pingat emas, lima perak dan satu gangsa.
Acara berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan olahraga SUTERA kali ini.
Antara emas yang diraih adalah menerusi acara 100 meter wanita, 400 meter lelaki dan wanita, 800 meter wanita, 1500 meter wanita serta 3000 meter lari berhalangan lelaki.
Saingan sengit turut diwarnai oleh kontinjen Kuala Nerus yang mengutip lima emas, tiga perak dan tiga gangsa hasil kejayaan dalam acara seperti 100 meter lelaki, 800 meter lelaki, 1500 meter lelaki, 3000 meter lari berhalangan wanita dan lompat kijang lelaki.
Bagi kategori balapan, daerah lain yang turut mencuri tumpuan termasuk Setiu dengan emas dalam acara 4x400 meter wanita, serta Dungun dan Marang yang berjaya membawa pulang beberapa pingat perak dan gangsa.
Sementara itu, dalam acara padang, Kuala Nerus menambah koleksi pingat dengan kejayaan di lempar cakera lelaki (emas), selain pingat dalam lompat kijang dan lontar peluru lelaki.
Setiu pula cemerlang apabila membawa pulang emas dalam lompat kijang lelaki dan merejam lembing wanita, manakala Kemaman mendominasi acara lontar peluru lelaki.
Hulu Terengganu tidak pulang tangan kosong selepas menjuarai lompat jauh dan lompat kijang wanita, disusuli Marang yang mencatat kemenangan dalam lompat tinggi wanita.
Dengan baki beberapa acara olahraga dan sukan lain yang masih berlangsung, kedudukan pungutan pingat dijangka akan terus berubah dan menjanjikan saingan sengit antara kontinjen daerah.
25 Sep 25
713
Skuad Trio Tenpin Boling Marang Puas Hati Raih Perak
KUALA TERENGGANU, 25 September – Pasukan tenpin boling lelaki Marang menepati sasaran apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara trio sempena Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Paya Bunga Sentral di sini, hari ini.
Barisan trio lelaki Marang terdiri daripada Mohd Alif Syafie Halim, Syed Irham Fakhri Syed Ahmad dan Muhammad Shafiq Suhaimi.
Ketua Jurulatih Tenpin Boling Marang, Mohammad Zulkhairie Mad Radzi, melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian tersebut memandangkan pemainnya berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh barisan kejurulatihan.
“Kita memang letakkan sasaran perak untuk acara trio. Kami tidak sasarkan emas kerana Kuala Terengganu dilihat lebih kuat.
"Tapi ada kejutan pula apabila Kemaman yang muncul juara,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan tersebut.
Menurut beliau, barisan pemain yang membawa cabaran Marang kali ini terdiri daripada individu yang berpengalaman tinggi dalam arena tenpin boling.
“Tiga pemain yang kami bawa merupakan bekas jurulatih SUKMA Sarawak 2024, bekas pemain SUKMA 2022 dan pemain SUKMA 2024,” ujarnya.
Zulkhairie turut menyatakan keyakinan terhadap peluang pasukan dalam acara seterusnya.
“Bagaimanapun, kami kini memberi tumpuan kepada acara berpasukan lima lelaki esok kerana itu adalah acara sandaran emas kami,” jelasnya.
25 Sep 25
96
SUTERA 2025: 'Photo Finish' Penentu Juara 4x100M Lelaki
KUALA NERUS, 25 September - Hanya 26 detik menjadi penentu yang memisahkan nasib dua kuartet dalam perlumbaan akhir 4x100M lelaki Sukan Terengganu (SUTERA) 2025, semalam.
Dalam acara olahraga yang berlangsung di Stadium Eagbi Tengku Muhammad Ismail itu, kuartet Kuala Terengganu muncul pemenang pingat emas selepas mencatatkan masa terpantas 41.71 saat.
Manakala, pingat perak diraih kuartet Kuala Nerus yang mencatatkan masa 41.71, menyaksikan situasi 'photo finish' diputuskan di garisan penamat.
Tempat ketiga menjadi milik kuartet Dungun dengan catatan masa 42.84 saat.
Aksi sengit tersebut menambah seri hari pertama temasya SUTERA 2025 yang turut menawarkan beberapa lagi pingat emas dalm acara olahraga.
Dalam acara 4x100M wanita, pingat emas digondol daerah Kuala Nerus yang menewaskan Kuala Terengganu di tempat kedua dan Kemaman (ketiga).
Bagi acara 5000M wanita pula, Kuala Terengganu membolot pingat emas dan perak, manakala gangsa menjadi milik daerah Marang.
25 Sep 25
128
Kuala Nerus Rangkul Emas Sepak Takraw SUTERA III
KUALA NERUS, 25 September – Kuala Nerus membuktikan ketajaman aksi apabila menundukkan Dungun dalam perlawanan dramatik, sekali gus muncul juara acara sepak takraw berpasukan lelaki sempena Temasya Sukan Terengganu Kali Ke-3 (SUTERA III) yang berlangsung di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini.
Kemenangan bermula di pusingan pertama apabila Regu A Kuala Nerus tampil garang dengan rentak bertenaga, menewaskan Dungun 15-10 dan 15-9 dalam straight set yang memukau penonton.
Namun, di pusingan kedua, regu B Dungun cuba bangkit penuh bersemangat dengan kemenangan 15-7 pada set pertama, tetapi kebangkitan itu segera dipadamkan apabila Kuala Nerus Regu B kembali gah pada set kedua dengan kemenangan 15-10.
Pertarungan penentuan menyaksikan regu Kuala Nerus B yang diterajui tekong Izham Putra M. Shaharin bersama gandingan Danish Irfan Azwan dan Adi Fikri M. Nasharuddin tampil penuh keyakinan, sebelum menutup kemaraan Dungun dengan kemenangan 15-10, sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada pasukan mereka.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, acara turut disaksikan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
25 Sep 25
230
SUTERA Medan Pembinaan Bakat Sukan Terengganu
KUALA NERUS, 24 September- Penganjuran Sukan Terengganu (SUTERA) merupakan langkah kerajaan negeri bagi mewujudkan keseimbangan disiplin sukan di setiap daerah dalam Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, SUTERA yang kini memasuki edisi ketiga bukan sekadar acara sukan, namun ia adalah manifestasi kerajaan negeri dalam membina masyarakat yang sihat, cergas dan seimbang duniawi dan ukhrawi.
"Penyertaan dalam temasya ini disertai secara aktif oleh majlis sukan daerah di mana kita percaya ia satu langkah strategik dalam menggerakkan pembangunan sukan dan pembinaan bakat yang mampan mestilah bermula dari peringkat akar umbi.
"Sebelum ini, tumpuan pembangunan sukan hanya tertumpu di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, namun melalui SUTERA kita telah meletakkan hala tuju yang jelas yang mana pembangunan sukan mestilah menyeluruh ke setiap daerah bagi semua disiplin sukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu dalam merasmikan Majlis Pembukaan SUTERA edisi ketiga di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, semalam.
Tambahnya, usaha seperti ini bukan sahaja membuka peluang kepada rakyat negeri Terengganu, bahkan menjadi medan mencungkil bakat baru dalam arena sukan dalam membawa negeri ke peringkat lebih tinggi.
Oleh itu katanya, kerajaan negeri komited memperkasa pembangunan sukan dengan lebih berstruktur dan menyeluruh, selari pembangunan ekonomi, sosial dan tadbir urus yang baik.
"Seiring itu, kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa prisnsip mesra syariah menjadi asas utama dalam penganjuran program sukan di Terengganu baik dari segi pemakaian dan pergaulan, mahupun pengurusan acara.
"Marilah kita terus berusaha, ia tidak akan terus berjaya tetapi mesti dimulakan dengan tangga pertama untuk kita mendaki ke atas demi mencari keredaan daripada Allah SWT," katanya.
SUTERA 2025 menyaksikan penyertaan lebih 2,000 atlet dan pegawai melibatkan lapan daerah.
Mempertandingkan 13 jenis sukan iaitu Bola Sepak, Bola Tampar, Tenis, Bola Jaring, Boling Padang, Olahraga, Berbasikal, Pencak Silat, Sepak Takraw, Ping Pong, Tenpin Boling dan E-sports, temasya ini diadakan selama lima hari bermula hari ini.
Sebanyak 332 pingat bakal menjadi rebutan semua kontinjen bagi memastikan mahkota kejuaraan berjaya digapai.
24 Sep 25
503
Skuad Tenpin Boling Kuala Terengganu Raih Emas
KUALA TERENGGANU, 24 September - Skuad tenpin boling Kuala Terengganu terus menampilkan aksi cemerlang apabila menyumbang pingat emas pada Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 selepas pasangan Nur Saadah Mohd Zamri dan Khairina Fatiha Abd Latif mengungguli acara tenpin boling beregu (wanita) di pentas akhir yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Paya Bunga Sentral di sini, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas gandingan tersebut mengumpul keseluruhan 2,052 mata untuk mengatasi pencabar terdekat iaitu pasangan Sulaiha Sulaiman dan Teh Sufia Danisha Mohd Sufian dari kontinjen Kuala Nerus yang terpaksa berpuas hati membawa pulang perak dengan meraih keseluruhan 1,950 mata.
Pingat gangsa menjadi milik pasangan kontinjen Kemaman, Nur Alia Hqadeeja Zawawi dan Nur Atikah Abdul Rahim yang mengutip keseluruhan 1,945 mata.
Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 berlangsung dari 23 hingga 27 September ini menampilkan 332 pingat yang menjadi rebutan semua kontinjen bertanding.
Sebanyak 13 acara dipertandingkan dalam kejohanan dwi tahunan itu antaranya bola sepak, olahraga, bola tampar, tenis, lawn bowls, berbasikal, badminton, bola jaring, tenpin boling, sepak takraw, pencak silat, ping pong dan e-sports.
24 Sep 25
523
SUTERA 2025: Kuala Nerus Mahu Kekal Juara
KUALA NERUS, 24 September - Kontinjen Kuala Nerus optimis untuk mengekalkan status sebagai juara bertahan Sukan Terengganu (SUTERA) setelah kali terakhir menjuarainya pada tahun 2021.
Ketua kontinjennya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr. Zaharudin Zahid memaklumkan, sebagai persediaan atlet-atlet mereka telah dikerahkan berlatih lebih awal dan diberi semangat mempertahankan tahta pada SUTERA edisi ketiga ini.
"Kita anggap kita sebagai tuan rumah kerana kebanyakan venue perlawanan di Kuala Nerus, jadi kita mempunyai tugas yang sangat besar untuk mempertahankan kejuaraan.
"(Dari segi) cabaran, saya nampak seimbang dan masing-masing dilihat membuat persediaan rapi, tetapi kita tidak akan bagi jalan mudah sebaliknya, komited mempertahankan Kuala Nerus.
"Kita juga menyertai semua acara bagi membolehkan kita mengumpul mata sebanyak mungkin," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan SUTERA 2025 yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, malam tadi.
Sebagai rekod, kontinjen Kuala Nerus merupakan antara pasukan terbaik dalam sepanjang tiga edisi penganjuran SUTERA apabila muncul sebagai naib juara pada edisi pertama (2019) dan begelar juara pada edisi kedua (2021).
24 Sep 25
717