KUALA TERENGGANU, 22 September- Tidak mempunyai lesen dan membawa penumpang berlebihan antara kesalahan yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu dalam operasi khas yang dilaksanakan di perairan Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, dalam operasi selama dua hari yang berakhir semalam itu, pihaknya berjaya menahan lapan bot penumpang dan sebuah bot kargo di atas pelbagai kesalahan, termasuk melanggar syarat kawasan operasi yang ditetapkan dalam lesen.
"Antara kesalahan lain yang dikesan adalah ketiadaan jaket keselamatan mencukupi, tiada lesen sah serta pengusaha yang mengambil risiko membawa muatan melebihi had.

"Tindakan begini jelas mengabaikan keselamatan penumpang.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha bot yang mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan.
"Operasi penguatkuasaan seumpama ini akan terus dipergiat terutama di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
