KUALA NERUS, 26 September - Nur Fara Syuhada Mat Razali, 15, menampilkan aksi cemerlang dengan menjuarai acara 3000 meter larian berhalangan wanita pada Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.
Meskipun tidak berjaya memperbaharui rekod peribadi (PB), Syuhada tetap melakar emas buat kontinjen Kuala Nerus dengan catatan masa 12:58.2s, mengatasi pesaing terdekat, Nur Ain Safiyyah Mohd Suhaimi dari Marang (15:10.00s) dan Nur Liyana Batrisya Khairol Azwan dari Kuala Terengganu (16:22.9s).
"Saya sangat puas hati dengan pencapaian hari ini walaupun tidak dapat buat PB (rekod peribadi terbaik). Tiada saingan kuat jadi agak relaks, cuma dari segi masa tak dapat lebih baik daripada sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Anak jati Kuala Nerus itu, sebelum ini pernah mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila meraih emas dalam acara 3000 meter larian berhalangan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 (Malaysia Open), baru-baru ini.
Menurut pelari cilik itu, trek larian Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis, menjadi saksi larian berhalangan 3000 meter pertamanya dimana dia turut berjaya mencatat PB membanggakan dengan rekod 12:41.34s.
Walaupun tewas dalam acara 2000 meter larian berhalangan di MSSM akibat masalah kesihatan (gastrik), Syuhada mengakui dirinya lebih serasi untuk beraksi dalam jarak jauh kerana faktor ketahanan.
"Kalau saya pilih, saya pilih lagi jauh, 3000 meter. Saya memang berlatih pun untuk acara jarak jauh sebab 'endurance' lebih kuat," jelasnya yang kini sudah mempunyai empat tahun pengalaman dalam olahraga.
Jurulatihnya yang berasal dari negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan, 33, turut berpuas hati dengan prestasi anak didiknya meskipun kejohanan kali ini berlangsung dalam tempoh luar musim.
"Setakat ini saya tengok walaupun sekarang off season tapi sebenarnya membuatkan kejohanan tu menjadi lebih seronok. Kalau kita tengok, Terengganu ni untuk 'middle' dan 'long distance' bagi saya pesaing dia ramai. Pesaing ramai daripada sekolah sukan Bukit Jalil, daripada sekolah sukan Gambang dan juga sekolah sukan Malaysia Terengganu lah.
"Jadi kalau kita tengok, walaupun dia orang bersaing di peringkat negeri sekalipun dia masih rancak sebabnya ramai atlet daripada Terengganu. Jadi bila kita bertanding di sini walaupun atlet ini 'off season', lepas habis MSSM dia masih menunjukkan prestasi," katanya.
Tambahnya, keputusan yang diperolehi oleh Syuhada semalam masih berada di tahap yang memuaskan dan mencapai ekspektasi walaupun mempunyai perbezaan masa hampir sebanyak lapan saat berbanding rekod peribadinya sebelum ini.
Guru sukan itu turut mengungguli pingat emas dalam acara sama kategori lelaki di bawah kontijen Kuala Terengganu dengan rekod 10:21.4s, meninggalkan Kuala Nerus (10:35.4s) pada kedudukan perak dan Besut (10.49.7s) yang akur dengan gangsa.
Ahmad Luth yang kini berkhidmat di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu percaya Syuhada berpotensi menjadi bintang masa depan Terengganu, khususnya dalam acara jarak jauh.
Dengan usia yang masih muda serta disiplin latihan berterusan, Syuhada dilihat mampu menjadi permata baharu olahraga Terengganu yang bakal menggalas cabaran negeri di pentas kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan, sekali gus membuktikan SUTERA sebagai medan pembinaan bakat baru.