lightning-solid
Berita :
Skuad Trio Tenpin Boling Marang Puas Hati Raih Perak
Skuad Trio Tenpin Boling Marang Puas Hati Raih Perak
Abdul Fattah Kamarudin
25 Sep 25
96

KUALA TERENGGANU, 25 September – Pasukan tenpin boling lelaki Marang menepati sasaran apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara trio sempena Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Paya Bunga Sentral di sini, hari ini.

Barisan trio lelaki Marang terdiri daripada Mohd Alif Syafie Halim, Syed Irham Fakhri Syed Ahmad dan Muhammad Shafiq Suhaimi.

Ketua Jurulatih Tenpin Boling Marang, Mohammad Zulkhairie Mad Radzi, melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian tersebut memandangkan pemainnya berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh barisan kejurulatihan.

“Kita memang letakkan sasaran perak untuk acara trio. Kami tidak sasarkan emas kerana Kuala Terengganu dilihat lebih kuat.

"Tapi ada kejutan pula apabila Kemaman yang muncul juara,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan tersebut. 

Menurut beliau, barisan pemain yang membawa cabaran Marang kali ini terdiri daripada individu yang berpengalaman tinggi dalam arena tenpin boling.

“Tiga pemain yang kami bawa merupakan bekas jurulatih SUKMA Sarawak 2024, bekas pemain SUKMA 2022 dan pemain SUKMA 2024,” ujarnya.

Zulkhairie turut menyatakan keyakinan terhadap peluang pasukan dalam acara seterusnya.

“Bagaimanapun, kami kini memberi tumpuan kepada acara berpasukan lima lelaki esok kerana itu adalah acara sandaran emas kami,” jelasnya.
 


Artikel Berkaitan