KUALA NERUS, 25 September – Kuala Nerus membuktikan ketajaman aksi apabila menundukkan Dungun dalam perlawanan dramatik, sekali gus muncul juara acara sepak takraw berpasukan lelaki sempena Temasya Sukan Terengganu Kali Ke-3 (SUTERA III) yang berlangsung di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini.
Kemenangan bermula di pusingan pertama apabila Regu A Kuala Nerus tampil garang dengan rentak bertenaga, menewaskan Dungun 15-10 dan 15-9 dalam straight set yang memukau penonton.
Namun, di pusingan kedua, regu B Dungun cuba bangkit penuh bersemangat dengan kemenangan 15-7 pada set pertama, tetapi kebangkitan itu segera dipadamkan apabila Kuala Nerus Regu B kembali gah pada set kedua dengan kemenangan 15-10.

Pertarungan penentuan menyaksikan regu Kuala Nerus B yang diterajui tekong Izham Putra M. Shaharin bersama gandingan Danish Irfan Azwan dan Adi Fikri M. Nasharuddin tampil penuh keyakinan, sebelum menutup kemaraan Dungun dengan kemenangan 15-10, sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada pasukan mereka.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, acara turut disaksikan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
