lightning-solid
Berita :
Hulu Terengganu Juara Baharu Bola Sepak SUTERA 2025
Hulu Terengganu Juara Baharu Bola Sepak SUTERA 2025
Mohd Irsyadi Abu Bakar
26 Sep 25
896

KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Hulu Terengganu muncul pemenang pingat emas acara bola sepak Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 apabila menewaskan Kuala Nerus 1-0, sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan pantas untuk mencari gol pendahuluan.

Bagaimanapun, pada minit ke-25, Hulu Terengganu berjaya memecah kebuntuan menerusi Mohd Firas Tarmizi yang menyempurnakan sepakan penalti.

Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kuala Nerus cuba menyamakan kedudukan dengan menguasai kawasan lawan.

Namun, beberapa percubaan yang dilakukan gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Pada minit ke-63, Kuala Nerus hampir menyamakan kedudukan berpunca dari sepakan sudut, bagaimanapun tandukan penyerang Kuala Nerus ditampan pertahanan Hulu Terengganu tepat di garisan gawang.

Memasuki minit ke-70, Hulu Terengganu hampir memusnahkan harapan lawan, tetapi peluang satu lawan satu berdepan penjaga gol disia-siakan rembatan penyerang Hulu Terengganu yang tersasar ke sisi gawang.

Kuala Nerus cuba bangkit pada minit ke-77, sekali lagi bermula dengan sepakan sudut, sayangnya kali ini tandukan penyerangnya melambung melepasi palang gol.

Memasuki minit terakhir perlawanan, Hulu Terengganu sekali lagi berpeluang menambah jaringan, tetapi tidak berjaya disudahkan.

Keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Hulu Terengganu dinobatkan sebagai juara baharu bagi sukan bola sepak pada SUTERA 2025.

Pada dua edisi SUTERA yang lalu, Hulu Terengganu hanya menduduki tempat keempat dalam kedua-dua percubaan mereka.

Kali ini, Hulu Terengganu menuai hasil kegigihan lalu dengan menjuarai 'ibu pingat' bagi temasya sukan ini.

Dalam pada itu, pingat gangsa dimenangi juara edisi lalu iaitu daerah Marang yang 'membelasah' Setiu 7-1 dalam penentuan tempat ketiga, petang tadi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag :

Artikel Berkaitan