KUALA NERUS, 26 September - Pasukan Kemaman (Lelaki) dan Hulu Terengganu (Wanita) masing-masing muncul juara acara bola tampar Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 selepas menundukkan lawan pada perlawanan akhir yang berlangsung di UniSZA, hari ini.
Dalam kategori lelaki, Kemaman melakar kemenangan dramatik 3–2 ke atas Setiu pada perlawanan akhir sebelah petang. Pasukan itu bermula garang dengan menguasai dua set awal, sebelum Setiu bangkit menyamakan kedudukan.

Namun, Kemaman berjaya menoktahkan kemaraan Setiu sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas memuktamadkan set penentuan lantas dinobatkan sebagai juara.
Terdahulu pada aksi separuh akhir sebelah pagi, Kemaman menewaskan Dungun 3–0, manakala Setiu menundukkan Besut dengan keputusan 3–0.
Bagi kategori wanita, Hulu Terengganu membuktikan keampuhan apabila menewaskan Dungun 3–0 dalam aksi akhir, sekali gus membawa pulang gelaran juara.

Hulu Terengganu mara ke pentas akhir selepas menewaskan Besut 3–0 pada separuh akhir, manakala Dungun menyingkirkan Kemaman 3–2.
Sementara itu, Besut meraih gangsa dalam acara wanita selepas menundukkan Kemaman pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Acara bola tampar SUTERA 2025 yang berlangsung pada hari keempat temasya ini menyaksikan pertarungan penuh semangat daripada atlet daerah, kini tiba di penghujungnya.
Anjuran dwi tahunan kali ketiga itu, SUTERA 2025 yang mempertandingkan 13 acara dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula selasa lalu bakal melabuhkan tirai penutup pada 27 September 2025 ini.