lightning-solid
Berita :
SUTERA Medan Pembinaan Bakat Sukan Terengganu
SUTERA Medan Pembinaan Bakat Sukan Terengganu
Mohd Irsyadi Abu Bakar
24 Sep 25
503

KUALA NERUS, 24 September- Penganjuran Sukan Terengganu (SUTERA) merupakan langkah kerajaan negeri bagi mewujudkan keseimbangan disiplin sukan di setiap daerah dalam Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, SUTERA yang kini memasuki edisi ketiga bukan sekadar acara sukan, namun ia adalah manifestasi kerajaan negeri dalam membina masyarakat yang sihat, cergas dan seimbang duniawi dan ukhrawi.

"Penyertaan dalam temasya ini disertai secara aktif oleh majlis sukan daerah di mana kita percaya ia satu langkah strategik dalam menggerakkan pembangunan sukan dan pembinaan bakat yang mampan mestilah bermula dari peringkat akar umbi.

"Sebelum ini, tumpuan pembangunan sukan hanya tertumpu di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, namun melalui SUTERA kita telah meletakkan hala tuju yang jelas yang mana pembangunan sukan mestilah menyeluruh ke setiap daerah bagi semua disiplin sukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu dalam merasmikan Majlis Pembukaan SUTERA edisi ketiga di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, semalam.

Tambahnya, usaha seperti ini bukan sahaja membuka peluang kepada rakyat negeri Terengganu, bahkan menjadi medan mencungkil bakat baru dalam arena sukan dalam membawa negeri ke peringkat lebih tinggi.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri komited memperkasa pembangunan sukan dengan lebih berstruktur dan menyeluruh, selari pembangunan ekonomi, sosial dan tadbir urus yang baik.

"Seiring itu, kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa prisnsip mesra syariah menjadi asas utama dalam penganjuran program sukan di Terengganu baik dari segi pemakaian dan pergaulan, mahupun pengurusan acara.

"Marilah kita terus berusaha, ia tidak akan terus berjaya tetapi mesti dimulakan dengan tangga pertama untuk kita mendaki ke atas demi mencari keredaan daripada Allah SWT," katanya.

SUTERA 2025 menyaksikan penyertaan lebih 2,000 atlet dan pegawai melibatkan lapan daerah.

Mempertandingkan 13 jenis sukan iaitu Bola Sepak, Bola Tampar, Tenis, Bola Jaring, Boling Padang, Olahraga, Berbasikal, Pencak Silat, Sepak Takraw, Ping Pong, Tenpin Boling dan E-sports, temasya ini diadakan selama lima hari bermula hari ini.

Sebanyak 332 pingat bakal menjadi rebutan semua kontinjen bagi memastikan mahkota kejuaraan berjaya digapai. 


Tag :

Artikel Berkaitan