KUALA NERUS, 24 September - Kontinjen Kuala Nerus optimis untuk mengekalkan status sebagai juara bertahan Sukan Terengganu (SUTERA) setelah kali terakhir menjuarainya pada tahun 2021.
Ketua kontinjennya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr. Zaharudin Zahid memaklumkan, sebagai persediaan atlet-atlet mereka telah dikerahkan berlatih lebih awal dan diberi semangat mempertahankan tahta pada SUTERA edisi ketiga ini.
"Kita anggap kita sebagai tuan rumah kerana kebanyakan venue perlawanan di Kuala Nerus, jadi kita mempunyai tugas yang sangat besar untuk mempertahankan kejuaraan.
"(Dari segi) cabaran, saya nampak seimbang dan masing-masing dilihat membuat persediaan rapi, tetapi kita tidak akan bagi jalan mudah sebaliknya, komited mempertahankan Kuala Nerus.
"Kita juga menyertai semua acara bagi membolehkan kita mengumpul mata sebanyak mungkin," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan SUTERA 2025 yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, malam tadi.
Sebagai rekod, kontinjen Kuala Nerus merupakan antara pasukan terbaik dalam sepanjang tiga edisi penganjuran SUTERA apabila muncul sebagai naib juara pada edisi pertama (2019) dan begelar juara pada edisi kedua (2021).