Artikel "Semasa" Terkini
SUTERA 2025: Kontijen Kuala Terengganu Bolot Emas Terbanyak Acara Balapan
KUALA NERUS, 25 September - Kontinjen Kuala Terengganu muncul unggul di hari kedua kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) edisi ketiga apabila mendominasi acara balapan dengan meraih enam pingat emas, lima perak dan satu gangsa.
Acara berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan olahraga SUTERA kali ini.
Antara emas yang diraih adalah menerusi acara 100 meter wanita, 400 meter lelaki dan wanita, 800 meter wanita, 1500 meter wanita serta 3000 meter lari berhalangan lelaki.
Saingan sengit turut diwarnai oleh kontinjen Kuala Nerus yang mengutip lima emas, tiga perak dan tiga gangsa hasil kejayaan dalam acara seperti 100 meter lelaki, 800 meter lelaki, 1500 meter lelaki, 3000 meter lari berhalangan wanita dan lompat kijang lelaki.
Bagi kategori balapan, daerah lain yang turut mencuri tumpuan termasuk Setiu dengan emas dalam acara 4x400 meter wanita, serta Dungun dan Marang yang berjaya membawa pulang beberapa pingat perak dan gangsa.
Sementara itu, dalam acara padang, Kuala Nerus menambah koleksi pingat dengan kejayaan di lempar cakera lelaki (emas), selain pingat dalam lompat kijang dan lontar peluru lelaki.
Setiu pula cemerlang apabila membawa pulang emas dalam lompat kijang lelaki dan merejam lembing wanita, manakala Kemaman mendominasi acara lontar peluru lelaki.
Hulu Terengganu tidak pulang tangan kosong selepas menjuarai lompat jauh dan lompat kijang wanita, disusuli Marang yang mencatat kemenangan dalam lompat tinggi wanita.
Dengan baki beberapa acara olahraga dan sukan lain yang masih berlangsung, kedudukan pungutan pingat dijangka akan terus berubah dan menjanjikan saingan sengit antara kontinjen daerah.
25 Sep 25
719
38 Ribu Benih Ikan Dilepaskan Di Sungai Setiu
SETIU, 25 September – Sebanyak 38,000 benih ikan dilepaskan ke Sungai Setiu dalam usaha memulihara dan meningkatkan sumber perikanan nelayan setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dijalankan secara tahunan dan setiap daerah menerima sejumlah benih ikan bagi tujuan memperkayakan sumber.
"Jangan ada aktiviti tuba, bom dan karen ikan yang semua ini menyebabkan kerosakan kepada sumber dan ekosistem.
"Sumber yang ada ini penting kepada generasi dan sebolehnya biarlah anak cucu kita merasai hasilnya nanti," beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat dan Insentif Input Akuakultur di Pengkalan Nyatoh, Kampung Beris Tok Ku.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Hasniah Othman dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Terdahulu sebanyak 38,000 anak benih ikan dilepaskan termasuklah spesis ikan baung 6,000, ikan lampam sungai 2,000 dan udang galah 30,000 ekor.
Program ini dilihat mampu memberi impak positif kepada kelestarian ekosistem sungai selain membantu meningkatkan pendapatan komuniti nelayan sungai.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 31 penerima, yang melibatkan 16 nelayan dari daerah Besut dan 15 nelayan dari daerah Setiu dan penyerahan insentif input akuakultur.
25 Sep 25
80
NGO Puas Hati Kemajuan Projek ECRL di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 September – Badan Bukan Kerajaan (NGO) berpuas hati dengan kemajuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu yang kini mencapai 64.5 peratus siap di Stesen Kuala Terengganu, dengan operasi penuh dijangka bermula pada awal tahun 2027.
Pengerusi NGO Muafakat Sejahtera, Dato’ Yahaya Ali berkata, pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan lain termasuk NGO Prihatin telah mengadakan lawatan tapak dan diberi taklimat mengenai perkembangan projek oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
“Kami berpuas hati dengan kemajuan projek, terutama di Terengganu yang lebih cepat berbanding negeri lain.
“Berdasarkan taklimat, percubaan operasi dijangka bermula pertengahan 2026 sebelum beroperasi sepenuhnya awal 2027,” jelasnya ketika ditemui pihak media, semalam.
Menurut beliau, lawatan itu turut mewakili suara rakyat yang mahu mengetahui peluang dan manfaat projek berkenaan untuk jangka masa panjang, termasuk tambang ekonomi, dijelaskan tidak membebankan pengguna.
“Dengan siapnya projek ini, perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa tiga jam melalui perkhidmatan ekspres.
“Ini bukan sahaja memudahkan rakyat malah membuka peluang baharu dalam sektor ekonomi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, lawatan NGO ini juga berperanan sebagai pemerhati bagi memastikan projek mega tersebut tidak menimbulkan masalah sampingan yang menyusahkan orang ramai seperti kerosakan jalan, limpahan air, banjir dan tanah runtuh.
“Dengan siapnya projek ini nanti, ia menambahkan satu lagi jalan pengangkutan utama dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur (Pahang, Terengganu dan Kelantan) melalui jalan keretapi selain Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di negeri ini,” tambah Yahaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan MRL, khususnya Pengurus Projek Seksyen 3 (Kuala Terengganu), Md Daut Kanan dan kakitangan kerana memberi layanan mesra sepanjang lawatan.
25 Sep 25
492
Kuala Nerus Rangkul Emas Sepak Takraw SUTERA III
KUALA NERUS, 25 September – Kuala Nerus membuktikan ketajaman aksi apabila menundukkan Dungun dalam perlawanan dramatik, sekali gus muncul juara acara sepak takraw berpasukan lelaki sempena Temasya Sukan Terengganu Kali Ke-3 (SUTERA III) yang berlangsung di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini.
Kemenangan bermula di pusingan pertama apabila Regu A Kuala Nerus tampil garang dengan rentak bertenaga, menewaskan Dungun 15-10 dan 15-9 dalam straight set yang memukau penonton.
Namun, di pusingan kedua, regu B Dungun cuba bangkit penuh bersemangat dengan kemenangan 15-7 pada set pertama, tetapi kebangkitan itu segera dipadamkan apabila Kuala Nerus Regu B kembali gah pada set kedua dengan kemenangan 15-10.
Pertarungan penentuan menyaksikan regu Kuala Nerus B yang diterajui tekong Izham Putra M. Shaharin bersama gandingan Danish Irfan Azwan dan Adi Fikri M. Nasharuddin tampil penuh keyakinan, sebelum menutup kemaraan Dungun dengan kemenangan 15-10, sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada pasukan mereka.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, acara turut disaksikan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
25 Sep 25
236
Penjawat Awam Terengganu Digalak Buat Potongan Zakat Bulanan
KUALA TERENGGANU, 25 September – Penjawat awam di negeri ini digalak membuat bayaran zakat secara berjadual kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui gaji yang diterima.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia berkata, beliau difahamkan kadar agihan zakat kini telah melebihi 100 peratus daripada jumlah kutipan, justeru sumbangan kakitangan awam mampu membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Negeri Terengganu.
”Mudah-mudahan ia dihitung Allah S.W.T sebagai amal yang baik demi meraih keredaanNya,” ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika berucap menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman (WDI) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 42 orang penerima APC Bulanan WDI yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit dalam Wisma Darul Iman menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar penjawat awam mempertimbangkan untuk membuat potongan gaji bulanan kepada Tabung Darul Iman.
“Ia sebagai satu lagi inisiatif kebajikan membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Sumbangan berterusan ini bukan sahaja menyemai semangat solidariti, malah memberi impak besar kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Menurut beliau, Tabung Darul Iman membiayai pelbagai jenis bantuan antaranya dalam kategori bantuan perubatan dan juga bencana alam.
“Kedua-dua potongan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat namun layak mendapat pengecualian cukai selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” jelasnya.
25 Sep 25
121
Kerajaan Teliti Pandangan Rakyat, Arah SATU Bertindak
KUALA TERENGGANU, 24 September – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum dan menzahirkan keprihatinan terhadap aduan rakyat berhubung isu pelarasan tarif air yang mula dikuatkuasakan oleh Syarikat Air Terengganu (SATU) bermula 1 Ogos 2025.
Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Nara Setia, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada hari ini telah membincangkan perkara itu secara terperinci dengan menilai semua aspek berkaitan bagi memastikan keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mengarahkan SATU untuk melakukan penelitian semula dari segenap aspek dan seterusnya mengemukakan pelan bertindak baharu dalam masa terdekat.
“Langkah ini penting agar segala aduan dan keresahan pengguna yang terkesan dapat disantuni dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi antara tumpuan utama kerajaan adalah kesan bebanan kos sara hidup rakyat ekoran kenaikan tarif berkenaan, selain mengambil kira peningkatan kos operasi yang ditanggung SATU.
Untuk rekod, kenaikan tarif air di seluruh negara termasuk di Terengganu dibuat selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat pembekalan air negeri, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.
24 Sep 25
1778
Skuad Tenpin Boling Kuala Terengganu Raih Emas
KUALA TERENGGANU, 24 September - Skuad tenpin boling Kuala Terengganu terus menampilkan aksi cemerlang apabila menyumbang pingat emas pada Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 selepas pasangan Nur Saadah Mohd Zamri dan Khairina Fatiha Abd Latif mengungguli acara tenpin boling beregu (wanita) di pentas akhir yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Paya Bunga Sentral di sini, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas gandingan tersebut mengumpul keseluruhan 2,052 mata untuk mengatasi pencabar terdekat iaitu pasangan Sulaiha Sulaiman dan Teh Sufia Danisha Mohd Sufian dari kontinjen Kuala Nerus yang terpaksa berpuas hati membawa pulang perak dengan meraih keseluruhan 1,950 mata.
Pingat gangsa menjadi milik pasangan kontinjen Kemaman, Nur Alia Hqadeeja Zawawi dan Nur Atikah Abdul Rahim yang mengutip keseluruhan 1,945 mata.
Temasya Sukan Terengganu Kali-3 (SUTERA-III) 2025 berlangsung dari 23 hingga 27 September ini menampilkan 332 pingat yang menjadi rebutan semua kontinjen bertanding.
Sebanyak 13 acara dipertandingkan dalam kejohanan dwi tahunan itu antaranya bola sepak, olahraga, bola tampar, tenis, lawn bowls, berbasikal, badminton, bola jaring, tenpin boling, sepak takraw, pencak silat, ping pong dan e-sports.
24 Sep 25
529
Terengganu Perkukuh U-BES Lahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi
KUALA TERENGGANU, 24 September – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bersedia berkongsi kaedah serta penambahbaikan Program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) bagi melahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi (UBT) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, usaha itu dilihat penting dalam memastikan anak muda bukan sahaja mampu memulakan perniagaan tetapi turut berkembang seiring dengan tuntutan pasaran semasa.
“Kerajaan negeri melalui YPU akan sentiasa memberi sokongan kepada para usahawan belia, sama ada dalam bentuk perbincangan, nasihat atau bimbingan.
“Kita mahu mereka bukan sekadar berniaga kecil-kecilan tetapi mampu menjadi usahawan yang berdaya saing, mempunyai jaringan luas serta kekuatan jenama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sembang Usahawan Alumni U-BES di Crystal Cruise, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Program yang merupakan pertama kali diadakan itu berjaya menghimpunkan 40 peserta U-BES dari batch 1.0 - 4.0 (10 orang setiap batch) daripada jumlah keseluruhan seramai 159 peserta sejak mula diperkenalkan.
Menurutnya lagi, antara langkah yang dirancang adalah mendapatkan khidmat pempengaruh terkenal bagi membantu mempromosikan produk serta perniagaan usahawan muda Terengganu.
“Pendekatan ini penting kerana media sosial kini menjadi platform utama pemasaran. Apabila ada wajah dikenali mempromosikan produk, ia akan memberi impak besar kepada penjenamaan dan jualan,” katanya.
UBES merupakan satu inisiatif Terengganu untuk membantu warga muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
Antara keistimewaan program ini adalah penyediaan latihan dan bimbingan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang berkaitan, Geran Peralatan sehingga RM5,000 serta Geran Pembangunan Perniagaan sehingga RM2,000 di samping pemantauan perniagaan.
24 Sep 25
142
SUTERA : Kuala Terengganu, Kemaman Raih Emas Pertama
KUALA NERUS, 24 September - Kontinjen Kuala Terengganu dan Kemaman menguasai acara berbasikal kriterium pada temasya Sukan Terengganu (SUTERA 2025) apabila masing-masing berjaya membawa pulang pingat emas menerusi kategori wanita dan lelaki di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Shah, di sini, hari ini.
Pelumba dari Kuala Terengganu, Ameera Alya Md Zahiruddin muncul juara kategori wanita selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 49 minit 30 saat mengatasi wakil Kuala Nerus, Azri Masturina Batrisya Arzimawi yang meraih pingat perak dengan catatan maasa 49 minit 30.15 saat.
Dalam kategori lelaki pula, kontinjen Kemaman menonjol apabila Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Abdul Fadhil Sham mencatat masa terpantas dengan catatan 46 minit 58 saat.
Kemaman turut menambah kutipan pingat menerusi Tengku Najib Tengku Norizan yang membawa pulang gangsa dengan catatan masa 47 minit 53 saat.
Sementara itu, Muhammad Rabbani Hashim dari Kuala Nerus yang menjadi tumpuan ramai pula terpaksa berpuas hati meraih pingat perak apabila mencatatkan masa 47 minit.
Acara kriterium membuka temasya SUTERA hari ini, menyaksikan acara wanita disertai tujuh peserta membabitkan daerah Kemaman, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu telah berlangsung melibatkan enam pusingan kayuhan berjarak 24 kilometer.
Manakala, kategori lelaki pula melibatkan penyertaan seluruh daerah kecuali Dungun dengan 17 peserta bersaing dalam lapan pusingan bagi menghabiskan jarak 32 km.
24 Sep 25
126
Jalan Batu Rakit Runtuh 99 Peratus Siap Dibaiki
KUALA NERUS, 23 September – Projek pembaikan jalan di Kampung Tanjung, Batu Rakit yang rosak akibat hakisan kini hampir siap sepenuhnya apabila mencapai tahap 99 peratus kemajuan pembinaan.
Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato' Hanafiah Mat ketika ditemui dalam satu lawatan ke tapak kerja pembaikan jalan di Kampung Tanjung, Batu Rakit.
Beliau berkata, kerja pembinaan 16 unit benteng pemecah ombak (breakwater) di kawasan berkenaan turut menunjukkan kemajuan positif dengan 13 unit daripadanya telah mencapai kira-kira 47 peratus pembinaan.
"Kita dapat lihat di kawasan Jalan Kampung Tanjung, kerja-kerja pembinaan kini hampir 99 peratus siap dan dijangka diserahkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 7 Oktober ini kepada Kerajaan Negeri.
"Bagi projek benteng pemecah ombak (breakwater) pula, sebanyak 13 daripada 16 struktur telah siap dibina, dengan kemajuan keseluruhan sekitar 47 peratus.
"Saya berharap menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November ini, projek ini dapat memberi perlindungan sekali gus menyelamatkan kawasan yang sebelum ini sering terjejas teruk akibat hakisan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kerja Raya, Anuar Mohd Azlan, Jurutera Daerah Jabatan Perparitan Dan Saliran (JPS) Kuala Nerus, Ir. Aisyah Abu Bakar serta Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Hanafiah juga mencadangkan langkah tambahan bagi mengukuhkan kawasan pesisir berhampiran, termasuk cadangan menambah pasir di beberapa kawasan tumpuan penduduk.
"Selain itu, saya telah mencadangkan agar kawasan hadapan Kedai Pok Nong, atau sedikit ke hadapan berhampiran Warung Adik-Beradik, ditambah dengan lapisan pasir yang sesuai.
"Langkah ini diharap dapat memberikan perlindungan tambahan dan memastikan kawasan tersebut lebih selamat menjelang musim monsun kali ini, insya-Allah," ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau menegaskan bahawa projek berkenaan, buat masa ini telah dilaksanakan mengikut perancangan asal tanpa sebarang tambahan kos.
"Dan rumah biru ni pun nampaknya tidak kritikal mana dah", katanya merujuk kepada keadaan terkini sekitar banglo biru selepas hampir roboh akibat hakisan teruk yang mula berlaku pada awal tahun ini.
23 Sep 25
1984