SETIU, 25 September – Sebanyak 38,000 benih ikan dilepaskan ke Sungai Setiu dalam usaha memulihara dan meningkatkan sumber perikanan nelayan setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dijalankan secara tahunan dan setiap daerah menerima sejumlah benih ikan bagi tujuan memperkayakan sumber.
"Jangan ada aktiviti tuba, bom dan karen ikan yang semua ini menyebabkan kerosakan kepada sumber dan ekosistem.

"Sumber yang ada ini penting kepada generasi dan sebolehnya biarlah anak cucu kita merasai hasilnya nanti," beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat dan Insentif Input Akuakultur di Pengkalan Nyatoh, Kampung Beris Tok Ku.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Hasniah Othman dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Terdahulu sebanyak 38,000 anak benih ikan dilepaskan termasuklah spesis ikan baung 6,000, ikan lampam sungai 2,000 dan udang galah 30,000 ekor.
Program ini dilihat mampu memberi impak positif kepada kelestarian ekosistem sungai selain membantu meningkatkan pendapatan komuniti nelayan sungai.

Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 31 penerima, yang melibatkan 16 nelayan dari daerah Besut dan 15 nelayan dari daerah Setiu dan penyerahan insentif input akuakultur.